Sunday, April 18, 2010

Sikap cemari masjid dikutuk

IPOH 17 April – Pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik mewakili umat Islam di negeri ini mengecam tindakan penyokong pembangkang membaling telur busuk dan memijak papan tanda membantah pembabitan Apco Worldwide di Masjid Sultan Idris Shah II di sini semalam.

Menurut mereka, tindakan ‘biadab’ dan ‘kurang ajar’ kumpulan tersebut bukan sahaja mencemarkan kesucian masjid malah sangat memalukan agama Islam.

Pengerusi Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, perbuatan mereka merosakkan lagi imej Islam yang kini terjejas teruk akibat dakyah Barat.

“Sekiranya hendak membantah, ada banyak cara lain boleh dibuat, bukannya memilih rumah ibadat untuk berpolitik bagi meraih perhatian rakyat.

“Perbuatan itu memalukan umat Islam,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan penyokong pembangkang mencemarkan kesucian Masjid Sultan Idris Shah II semasa mengadakan demonstrasi di sini petang semalam.

Dalam perhimpunan tersebut, mereka membaling telur busuk dan selipar pada papan tanda mengecam pembabitan Apco Worldwide sehingga menyebabkan jemaah masjid terkena percikannya.

Tindakan tersebut turut mendapat kecaman Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang menegaskan perbuatan itu adalah haram dan patut dihentikan.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib berkata, tindakan pembangkang khususnya penyokong tegar Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menghairankan kerana itulah sikap sebenar mereka.

Katanya, sikap sama pernah ditunjukkan semasa membantah pelantikan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar dengan berkumpul di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar dan berbaring di jalan raya untuk menahan kenderaan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.

“Ini adalah sikap mereka yang telah lama kita tahu dan sebab itu mereka beria-ia hendak duduk dalam jawatankuasa masjid kerana hendak mempolitikkan masjid berkaitan apa jua keadaan, baik berhimpun secara haram atau menghina dan memaki hamun sesama umat Islam,” ujarnya.

Menurut beliau, dakwaan pembangkang mengenai pembabitan Apco Worldwide dalam pembentukan gagasan 1Malaysia sebenarnya cuma satu tuduhan untuk mengelirukan rakyat.

Jelasnya, semua sedia maklum, idea 1Malaysia lahir daripada pemikiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan tiada langsung kaitan dengan firma Israel mahu pun Amerika Syarikat.

“Sebenarnya, pembangkang risau tengok rakyat berbilang kaum semakin bersatu melalui konsep 1Malaysia kerana itu timbul tuduhan meniru slogan ‘Satu Israel’ dan kononnya kita guna khidmat firma negara itu sedangkan ia tidak tepat,” katanya.

Ketua Penerangan Kesatuan Anak- anak Muda Islam (KAMI) Perak, Hafizul Abd. Hamid pula meminta penyokong pembangkang terutama daripada Pas dan PKR supaya berhenti mempolitikkan masjid untuk kepentingan sempit politik parti mereka.

“Tindakan pembangkang khususnya penyokong Pas langsung tidak melambangkan identiti parti itu sebagai pejuang Islam.

“Apa yang berlaku semalam adalah satu perbuatan biadab dan kurang ajar, apatah lagi ia dilakukan di pekarangan masjid dan menjelang sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah Isnin ini,” katanya.

************************************************************************************

SENTAP HATI PUTRI MEMBACA BERITA INI...MEMANG TAK DAPAT DINAFIKAN INILAH SIKAP SEBENAR PARTI PEMBANGKANG INI.MULUT MENYEBUT PARTI YANG MEMPERJUANGKAN ISLAM.TAPI INIKAH DIA CARANYA??????INILAH JADI KALAU POLITIK DAH MENGUASAI DIRI..TAK TAU MANA BETUL MANA SALAH........

No comments: