Saturday, April 17, 2010

Berita Tengah (kecuali Wilayah Persekutuan)

April 12, 2010 21:03 PM

Kampus UiTM Serendah Akan Dibina Jika BN Kuasai Selangor Pada PRU Akan Datang

HULU SELANGOR, 12 April (Bernama) -- Cadangan membina kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Serendah akan diteruskan jika Barisan Nasional (BN) menguasai Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa bertemu jentera pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.

"Beliau berkata jika BN dapat menawan Selangor, maka UiTM akan dibina dan dikembali kepada YBK (Yayasan Basmi Kemiskinan) sepertimana perancangan asal," katanya kepada pemberita, di sini Isnin.

Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno sebelum itu menyampaikan biasiswa YBK kepada 38 pelajar miskin bagi sekolah menengah dan sekolah rendah di sini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini mengesahkan cadangan pembinaan kampus UiTM oleh YBK di Serendah, Rawang itu dibatalkan selepas kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang enggan meluluskan tapak.

Ekoran tindakan kerajaan Selangor itu kampus tersebut dipindahkan ke Jasin, Melaka.

Pada 1 April lepas, sekumpulan penduduk dari Hulu Selangor menghantar memorandum yang ditandatangani 10,000 penduduk kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) meminta badan itu menyiasat Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana didakwa menyekat projek pembinaan kampus itu.

Mereka mendakwa tindakan Abdul Khalid itu menutup peluang untuk mereka menambah pendapatan.

-BERNAMA

No comments: