Friday, April 16, 2010

Isyarat kepada pengundi Hulu Selangor

HULU SELANGOR 15 April - Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Tan Wei Shu mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini memberi petanda kepada pengundi-pengundi bahawa kepimpinan PKR semakin tidak diyakini pemimpin-pemimpinnya sendiri.

Sambil menyifatkan ia waktu yang tepat kerana bakal berlangsungnya Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, apa yang dilakukan oleh wakil rakyat berkenaan adalah satu yang agak klasik.

"Ia kerana sebelum ini beberapa Ahli Parlimen PKR sudah pun berbuat demikian. Ini menandakan PKR sudah sampai ke peringkat tidak boleh diyakini dan dipercayai oleh pemimpin mereka sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor di sini hari ini.

Muhyiddin mengulas tindakan Wei Shu yang dalam pengumumannya menyatakan tindakan itu dilakukan kerana kecewa dipergunakan oleh individu tertentu.

Sebelum ini empat ADUN PKR juga sudah melakukan tindakan yang sama. Mereka ialah Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering), Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang), Mohd.Radzhi Salleh (Lunas) dan Badrol Hisham Abdullah (Pelabuhan Klang).

Ahli Parlimen PKR yang berbuat demikian pula ialah Datuk Mohamed Zahrain Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai) manakala Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu) dipecat daripada parti tersebut.

Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri berkata, Wei Shu juga bertindak demikian selepas mendapati perjuangan PKR adalah sia-sia dan menilai sikap sebenar Penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bijak berkata-kata.

"Mungkin pada awal dahulu beliau begitu yakin dengan kepimpinan Anwar dan terpengaruh dengan kata-kata Penasihat PKR tersebut tetapi selepas dua tahun beliau sudah dapat menilai keadaan sebenar.

"Tetapi apa pun sebabnya termasuklah tidak diberi tempat sewajarnya dan layanan yang saksama, beliau berasa kecewa kerana perjuangan dalam PKR tidak ada apa-apa makna," katanya.

Mengenai calon BN, P. Kamalanathan yang akan berhadapan dengan calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim yang dianggap 'heavyweight', Muhyiddin menolak tafsiran tersebut.

Sambil berseloroh beliau berkata, "Mungkin kalau ditimbang, Zaid berat sikit daripada Kamalanathan tetapi sebenarnya PKR menggunakan psikologi kononnya Zaid lebih berwibawa."

"Tetapi kalau kita lihat rekod Zaid, ia bukanlah baik sangat. Saya tidak mahu menyentuh apa-apa tentang beliau, biarlah ia dinilai oleh pengundi-pengundi. Lagipun dia orang asing.

"Apabila saya turun bertemu rakyat di Hulu Selangor, mereka mahu orang (calon) di sini yang dekat dan tahu masalah mereka, soal dia 'heavyweight' atau tidak, itu tidak penting."

No comments: