Wednesday, October 29, 2008

Tunda beli Eurocopter

Oleh NIZAM YATIM (utusan online)

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan telah membuat keputusan untuk menangguhkan pembelian helikopter Eurocopter EC725 sebagai langkah berjimat cermat berikutan krisis kewangan dunia.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, keputusan itu akan membolehkan perbelanjaan pembelian yang keseluruhannya bernilai RM1.67 bilion disalurkan untuk projek lain yang boleh memberi faedah secara langsung kepada rakyat tanpa kerajaan membuat sebarang pinjaman baru.

“Keputusan telah dibuat pada Mesyuarat Exco Majlis Ekonomi yang dipengerusikan saya pada 13 Oktober lalu supaya Eurocopter tidak dibeli pada waktu ini sebab kita memerlukan peruntukan ini untuk membiayai banyak projek lain yang boleh memberi kesan berganda kepada rakyat.

Thursday, October 23, 2008

Kenapa Hindraf terus diberi muka?

Oleh Zulkiflee Bakar (Utusan Online)

PADA 15 Oktober lalu, kerajaan mewartakan Hindu Rights Action Force (Hindraf) sebagai sebuah pertubuhan haram - satu tindakan yang menetapkan penglibatan sesiapa juga dalam pertubuhan itu merupakan satu kesalahan dari segi undang-undang.

Berikutan keputusan itu Hindraf diletakkan sebaris dengan pertubuhan yang pernah diwartakan haram iaitu Parti Komunis Malaya (PKM), Nasrulhaq, Al-Maunah dan Al-Arqam.

Sehari selepas itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pula menegaskan bahawa polis akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Hindraf jika ia masih menjalankan aktiviti selepas diwartakan sebagai sebuah pertubuhan haram.

Namun begitu apa yang berlaku semalam di pekarangan Parlimen yang menyaksikan sekumpulan penyokong pertubuhan haram itu berhimpun telah menimbulkan persoalan kenapa tindakan tidak diambil ke atas mereka.

Bukan sahaja dibenarkan berhimpun, malah mereka boleh masuk ke bangunan Parlimen.

Ini kerana Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar sudah menegaskan, sesiapa juga yang terlibat dengan pertubuhan berkenaan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Tetapi malangnya semalam mereka berkumpul seolah-olah mereka bukanlah sebuah pertubuhan haram dan membuat tuntutan mendesak kerajaan mengembalikan pasport antarabangsa milik Pengerusinya, P. Waytha Moorthy.

Bayangkanlah apa yang akan berlaku seandainya yang berkumpul tersebut ialah anggota-anggota Al-Arqam yang pernah diharamkan oleh kerajaan suatu ketika dulu.

Sebaik Al-Arqam diharamkan, pihak berkuasa melakukan pemantauan rapi dan mereka yang terlibat dalam apa juga bentuk perhimpunan pasti akan meringkuk dalam lokap. Bukan sahaja orang dewasa, kanak-kanak turut diangkut sekali oleh pihak polis dan sama-sama disumbatkan ke dalam lokap bersama ibu bapa mereka.

Justeru dalam soal ini, kerajaan dan pihak berkuasa harus tegas serta tidak terlalu berlembut atau memberi muka kepada Hindraf.

Ini kerana pewartaan Hindraf sebagai sebuah pertubuhan haram tidak seharusnya menjadi sekadar satu rekod pentadbiran negara atau untuk memberi amaran semata-mata.

Sebaliknya, ia harus disusuli dengan tindakan tegas supaya orang ramai memahami bahawa Hindraf adalah benar-benar sebuah pertubuhan haram dan tidak boleh aktif sama sekali, bukannya diharamkan di atas kertas sahaja.

Apa yang dilakukan oleh penyokong-penyokong Hindraf semalam jelas menunjukkan mereka seolah-olah cuba mencabar pihak berkuasa.

Mereka tahu bahawa pertubuhan itu diharamkan dan mengerti apa yang mereka lakukan melanggar undang-undang tetapi mereka lakukan juga.

Ini semua terjadi kerana ada parti politik yang masih terus membela biarpun aktiviti Hindraf seperti mana kata Syed Hamid boleh mencetuskan kebangkitan penentangan sebahagian rakyat keturunan India terhadap kerajaan serta menimbulkan kebencian di antara orang Melayu dan India di negara ini.

Oleh itu apa istimewanya penyokong-penyokong Hindraf ini sehinggakan mereka berkumpul secara terbuka di pekarangan Parlimen pun masih belum ada tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa?

Kalau kita masih ingat pada tahun 1994, apabila Al-Arqam diharamkan bukan sahaja semua markas pertubuhan itu diserbu oleh polis dan aset mereka dirampas, malah kita menyaksikan bagaimana berbondong-bondong pengikut Al-Arqam 'diangkut' ke dalam trak polis tanpa mengira siang dan malam.

Mereka dibawa ke balai polis untuk diambil keterangan dan ada pula yang dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai tuduhan.

Malah tindakan terhadap pengikut Al-Arqam itu berterusan hingga hari ini di mana koperasi Rufaqa dan ahli-ahlinya yang dikatakan tunas pertubuhan haram turut dikenakan tindakan undang-undang. Oleh itu kenapa Hindraf tidak diberi layanan yang sama?

Atas nama keadilan dan kesamarataan, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas ke atas Hindraf kerana ia tidak harus dilihat seolah-olah mempunyai keistimewaan kerana masih bebas bergerak dan melakukan apa sahaja biarpun ia sudah diwartakan secara rasmi sebagai pertubuhan haram.

Apa yang dibimbangkan jika pihak berkuasa terus berlembut, penyokong-penyokong Hindraf akan terus aktif dan sama sekali tidak akan mempedulikan pewartaan terhadap pengharaman mereka.

Oleh itu sebelum kumpulan tersebut menjadi 'besar kepala' bertindaklah segera. Kita yakin sebahagian besar masyarakat India akan menyokong tindakan tegas kerajaan kerana mereka cintakan kedamaian dalam negara pelbagai kaum ini.

Bahagian Sokongan Keluarga ditubuh

Dipetik dari Utusan Online

PUTRAJAYA 22 Okt. - Malaysia menjadi negara Islam pertama mewujudkan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di bawah Jabatan Kehakiman Syariah (JKS) bagi mengatasi masalah penguatkuasaan perintah mahkamah berhubung soal pemberian nafkah dan penjagaan anak selepas perceraian

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pewujudan bahagian tersebut adalah komitmen JKS bagi memastikan wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa perceraian mendapat perlindungan serta dapat menjalani kehidupan dengan sempurna.

Menurutnya, ia juga merupakan antara usaha berterusan JKS dalam memartabatkan perundangan Islam di negara ini.

''BSK adalah lambang kepada komitmen JSK untuk menguatkuasakan perintah mahkamah dalam soal pemberian nafkah kepada bekas isteri dan anak-anaknya setelah berlaku perceraian.

''Perintah mahkamah walaupun diterima namun pelaksanaan tidak dapat dilakukan disebabkan kedegilan, kegagalan dan ketidakmampuan suami," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Penubuhan BSK di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie, Datuk Ibrahim Lembut.

Pada majlis itu, JSK menerima RM500,000 daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk diagihkan kepada BSK seluruh negara.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya berharap BSK dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan berkesan, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang agak sukar masa kini.

Malah, kata beliau, ia juga selaras dengan harapan masyarakat Islam mahu melihat institut kekeluargaan Islam di negara ini diurus dengan baik.

''Harapan itu perlu kerana kita tidak mahu lagi melihat perundangan Islam dilihat sebagai sistem alternatif sebaliknya ia harus menjadi tunjang kepada sistem yang ada di dunia ini.

''Saya percaya dalam suasana masalah ekonomi, politik dan sosial yang semakin rumit untuk diselesaikan, kini adalah masa yang sesuai untuk kita tonjolkan kelebihan sistem perundangan Islam," katanya.

************************************************************************************************

Tahniah dan syabas diucapkan kepada Malaysia dengan tertubuhnya Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di bawah Jabatan Kehakiman Syariah (JKS) bagi mengatasi masalah penguatkuasaan perintah mahkamah berhubung soal pemberian nafkah dan penjagaan anak selepas perceraian. Diharap bahagian ini bukan hanyalah pada nama dan dapat dijalankan dengan jayanya dalam memartabatkan sistem perundangan Islam....

-putrimalaysia-


CUTI 2 HARI UNTUK DEEPAVALI (MP PADANG SERAI)

MP Padang Serai (PKR) melahirkan kesedihan kerana Perayaan Deepavali hanya diberikan cuti sehari sahaja . MP Padang Serai berkata cuti yang diberikan selama satu hari tidak cukup dan menunjukkan kerajaan BN kurang prihatin terhadap masyarakat India dan meminta agar cuti diberikan selama dua hari. MP Padang Serai menyimpang daripada tajuk perbahasan apabila mencelah ketika MP Bandar Kuching berbahas mengenai KWSP dan EPF. Wajar juga apa yang dikatakan oleh MP Padang Serai. Apapun Putri ambil peluang ucapkan Selamat Menyambut Perayaan Deepavali kepada semua kaum India di Malaysia.
-putrimalaysia-

KERANA MULUT, MP BUKIT GELUGOR KARPAL SINGH DIGANTUNG DUA HARI

Oleh : Pemikir

MP Wangsa Maju (PKR) dalam persidangan Dewan 23 Okt, telah menyentuh mengenai rasional mengadakan majlis menyambut hari raya oleh kerajaan. Beliau sepatutnya faham bahawa program hari raya yang telah di adakan bertahun-tahun bertujuan untuk mengukuhkan perpaduan rakyat seluruh Malaysia. Beliau menuduh bahawa program ini sebagai rasuah dalam Dewan sungguh tidak masuk akal. Mp Wangsa Maju perlu menyokong segala usaha untuk mengukuhkan keharmonian rakyat.
MP yang juga Menteri jabatan Perdana Menteri menolak tuduhan karut MP Wangsa Maju. Dewan juga mendengar celahan oleh MP Padang Serai di mana Menteri hanya dengar suara tetapi tidak kelihatan MP tersebut.
Dewan menjadi gamat apabila pembangkang mengalihkan perbahasan apabila MP Gelugor, Karpal Singh meminta Menteri menarik balik perkataan yang kononnya menyentuh status OKU. Karpal Singh menggunakan perkataan kasar seperti kurang ajar dan Speaker tidak serius sehingga Tan Sri Speaker memutus untuk menggantungkan kehadiran Karpal Singh dalam Dewan selama dua hari. MP Permatang Pauh (PKR) merayu agar Tan Sri Speaker menarik balik perintah itu. Speaker berpendapat bahawa pembangkang supaya beradab, jangan biadap dan juga minta maaf . Speaker menyebut bahawa MP Ipoh Timur selalu melanggar peraturan Dewan.
Speaker tidak berganjak dengan keputusannya bahawa MP Bukit Gelugor di bawa keluar Dewan untuk membolehkan perbahasan dimulakan

UMNO SAKIT TUA... (TUN MUSA HITAM)

Dipetik dari Utusan Online

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berkata UMNO kini berdepan dengan masalah 'sakit tua' yang hanya dapat disembuhkan sekiranya generasi muda diberi peluang menduduki jawatan utama dalam parti itu pada pemilihan Mac depan.

Beliau berkata, pemilihan pemimpin muda untuk jawatan selain Presiden dan Timbalan Presiden itu amat penting bagi membolehkan format pemikiran UMNO diubah supaya ia selari dengan kehendak rakyat.

Katanya, format pemikiran itu baru itu tidak akan dapat dicapai sekiranya UMNO terus diterajui golongan yang tidak mampu berubah disebabkan oleh faktor usia dan budaya politik yang telah ketinggalan zaman.

"Pada hemat saya, UMNO sedang menghadapi 'penyakit tua', 61 tahun umurnya dan penyakit tua ini tidak boleh diperbaiki oleh orang-orang yang tua.

"Maksud saya ialah mereka yang nak bertanding dalam UMNO, memegang jawatan-jawatan tertinggi haruslah terdiri daripada golongan muda yang memiliki idea-idea baru," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran media siri dialog yang dikenali sebagai 'Bridges - Dialog Kearah Budaya Keamanan' anjuran Yayasan Keamanan Antarabangsa di sini hari ini.

Beliau berkata, UMNO juga harus menyedari kemerosotan sokongan rakyat terhadapnya pada pilihan raya umum lalu mempunyai kaitan rapat dengan masalah persepsi.

Katanya, antara yang menyumbang kepada masalah persepsi itu adalah isu rasuah, salah guna kuasa dan memikul tanggungjawab yang merupakan satu tuntutan rakyat.

Katanya, rakyat pasti tidak akan menerima apa yang diperkatakan oleh pemimpin jika pemimpin terbabit tidak mempunyai kredibiliti pada pandangan mereka.

"Kalau imej mereka sudah tidak diterima, apa juga yang dikatakan oleh pemimpin-pemimpin itu tidak akan diterima oleh rakyat," tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Musa berkata beliau kurang senang melihat cara calon-calon pemilihan UMNO berkempen kerana mereka banyak memperkatakan mengenai isu-isu berkaitan emosi, perkauman dan agama.

Beliau berkata, isu-isu berkaitan masalah ekonomi yang amat penting tidak disentuh oleh para calon sedangkan ia merupakan perkara yang menghantui pemikiran rakyat.

Katanya, isu seperti ekonomi penting untuk membuktikan UMNO sebagai parti yang mengikut perkembangan semasa dan peka dengan dunia luar.
*************************************************************************************
Putri rasakan pendapat Tan Sri Musa Hitam ini ada betulnya. Berilah peluang kepada kepimpinan yang muda untuk merubah corak UMNO mengikut peredaran zaman. Jangan takut menghadapi perubahan. Andainya perubahan itu membawa kepada kebaikan adalah amat perlu ia dilakukan . Generasi muda mempunyai idea-idea baru yang jika kena caranya mampu memberi kebaikan kepada UMNO itu sendiri. Kalau tidak sampai bila pun UMNO akan berada pada takuk lama. Tetapi bukanlah terus meminggirkan orang lama. Kesepaduan antara generasi muda dan orang lama perlu agar UMNO menjadi lebih mantap dan masalah yang dihadapi diselesaikan mengikut acuan baru.
-putrimalaysia-

Thursday, October 16, 2008

Hindraf diisytihar haram

KUALA LUMPUR 15 Okt. – Kerajaan hari ini mewartakan Hindu Rights Action Force (Hindraf) sebagai sebuah pertubuhan haram, satu tindakan yang menetapkan penglibatan sesiapa juga dalam pertubuhan itu merupakan satu kesalahan dari segi undang-undang.

Dalam satu kenyataan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, perintah itu dibuat hasil daripada pemantauan dan penyiasatan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) semenjak pertubuhan berkenaan ditubuhkan.

“Pengisytiharan itu diwartakan berkuat kuasa hari ini setelah (KDN) berpuas hati dengan segala fakta dan bukti bahawa Hindraf telah dan sedang digunakan bagi maksud memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara dan akhlak,” katanya.

Selain Hindraf, antara pertubuhan lain yang pernah diwartakan sebagai haram ialah Parti Komunis Malaya (PKM), Nasrulhaq, Al-Maunah dan Al-Arqam.

PKM diwartakan sebagai pertubuhan haram kerana mengangkat senjata menentang kerajaan dan pemberontaknya mencetuskan kacau bilau melalui cara keganasan dan membunuh anggota tentera sejak zaman sebelum merdeka.

Pergerakan Al-Arqam diharamkan berikutan kegiatan dan ajaran sesatnya menggugat ketenteraman negara.

Anggota-anggota Al-Maunah pula merompak senjata dari kem tentera bagi menggulingkan kerajaan. Beberapa ketuanya kemudian dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memerangi Yang di-Pertuan Agong dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Menurut Syed Hamid, kegiatan Hindraf bertentangan dengan Seksyen 5(1) Akta Pertubuhan 1966 dan ia boleh memudaratkan keselamatan awam, keamanan, ketertiban dan nilai-nilai moral di negara ini.

Beliau berkata, jika kegiatan Hindraf tidak dibendung, ketenteraman awam dan kedaulatan negara bakal terancam di samping keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum akan turut terjejas.

Jelasnya, tindakan pengharaman yang diambil itu bukan berasaskan kepada satu atau dua kegiatan Hindraf yang menyalahi peraturan dan undang-undang tetapi meliputi rentetan semua kegiatan serta aktiviti semenjak Hindraf ditubuhkan.

Selain itu, beliau mengakui Hindraf mempunyai ciri-ciri sebagai sebuah pertubuhan kerana mengemukakan permohonan pendaftaran kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 16 Oktober 2007.

Walaupun pendaftarannya tidak pernah diluluskan, pertubuhan Hindraf telah bergerak aktif dengan menganjurkan beberapa perhimpunan awam dan demonstrasi tanpa permit serta mengeksploitasi isu-isu perkauman.

Kesan kegiatan Hindraf itu, ujar Syed Hamid, ia mencetuskan kebangkitan penentangan sebahagian rakyat keturunan India terhadap kerajaan serta menimbulkan kebencian di antara orang Melayu dan India di negara ini.

Di samping itu, Hindraf juga, kata beliau, berusaha mendapatkan sokongan dari negara asing bagi memberi tekanan kepada kerajaan supaya tunduk kepada tuntutan-tuntutan mereka sehingga memberi kesan buruk kepada imej negara.

Menteri Dalam Negeri itu menasihatkan orang ramai supaya tidak melibatkan diri dengan pertubuhan Hindraf yang diharamkan dalam apa cara sekali pun pada masa akan datang.
************************************************************************************
Putri lega akhirnya HINDRAF diharamkan. Jangan la pulak nanti isu ni nak di politikkan dan wujud pulak statement "diskriminasi". Terang-terang apa yang dibuat HINDRAF ni salah. Sepatutnya lepas kejadian pertama tu HINDRAF dimansuhkan. Tapi kerajaan masih lagi memberi peluang mereka membetulkan keadaan. Sampailah kejadian terbaru yang putri rasa semua rakyat tahu iaitu sikap kurang ajar mereka yang tidak menghormati Majlis Rumah Terbuka sempena Aidilfitri. Syabas kerajaan. Langkah ini memang wajar dan patut sangat agar rakyat tahu mengikut undang-undang.
-putrimalaysia-

Wednesday, October 15, 2008

MINYAK TURUN LAGI......


MASIH ramai pengguna yang tidak menyedari bahawa petrol RON97 dan RON92 yang dibeli mereka sebenarnya menerima subsidi kerajaan kira-kira 30 sen masing-masing selain diesel yang turut diberi subsidi. Pada masa ini, pengguna membayar RM2.45 seliter untuk petrol RON97 dan RM2.30 seliter untuk RON92 manakala diesel RM2.40 seliter. Sebagai contoh, bagi setiap 8 liter petrol RON97 yang dibeli pada harga RM19.60, mereka sebenarnya hanya membayar untuk 7 liter kerana bakinya disubsidi oleh kerajaan. Atas dasar kebertanggungjawaban, kerajaan sudah dua kali menurunkan harga petrol dengan pelarasan terbaru pada 24 Sept lepas setelah harga pasaran minyak dunia berkurangan kepada RM109 setong. Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk menurunkan lagi harga petrol jika harga pasaran bahan itu terus menyusut. Kelihatan seorang pengguna melihat jumlah yang perlu dibayarnya bagi 8 liter petrol RON97. Foto Bernama
*************************************************************************************
Berkuat kuasa hari ini harga minyak turun. Sudah semestinya ini merupakan berita yang amat gembira bagi rakyat Malaysia khususnya yang menaiki kenderaan sendiri. Peliknya tiada pula ucapan terima kasih yang diberikan. Kalau sebelum ini masa kerajaan menaikkan harga minyak macam-macam cemuhan yang diterima pihak kerajaan.erm. Harap-harap rakyat Malaysia bersyukurlah dengan keadaan sekarang ni.
-putrimalaysia-

Tuesday, October 14, 2008

UMNO tetap parti teras BN

oleh: Citra Adora

Baru-baru ini Gerakan iaitu salah satu daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) telah membuat satu kenyataan bahawa semua parti komponen dalam BN perlu dibubarkan dan diganti dengan sebuah parti pelbagai kaum. Rasional cadangan mereka ini adalah kerana merasakan parti BN yang ada sekarang ini hanya tertumpu kepada satu kaum majoriti dalam satu-satu parti, maknanya bersifat perkauman.Gerakan adalah sebuah parti yang keahliannya terdiri daripada berbilang kaum, majoriti ahlinya adalah kaum Cina. Hanya sedikit keahlian daripada kaum-kaum lain. Barisan peneraju utama parti ini adalah berbangsa Cina.Kenyataan Gerakan berhubung pembubaran BN ini pastinya mengundang rasa jengkel dan tidak senang parti komponen BN lain khususnya UMNO yang telah lama wujud sebelum Malaysia mendapat kemerdekaan dan penubuhan parti Perikatan lagi (kini Barisan Nasional).Umum mengakui dan menyedari bahawa BN dianggotai oleh UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan beberapa parti komponen lain adalah begitu mantap dan kukuh hasil daripada konsep perkongsian kuasa yang dipersetujui dan dimeterai bersama sejak dahulu lagi.Cadangan Gerakan agar BN dibubarkan menjadi satu parti berbilang kaum (single and multi-racial party) adalah tidak munasabah dan relevan serta tidak mengambil kira survivor politik serta sensitiviti rakan komponen lain yang telah lama wujud sebelum Gerakan seperti UMNO, MCA dan MIC. Sudah pastilah parti-parti ini tidak ingin terkubur begitu sahaja setelah berhempas-pulas memastikan survival parti masing-masing untuk terus kukuh berdiri sejak zaman pramerdeka lagi. Masakan UMNO, MCA dan MIC senang-senang mahu dikuburkan begitu sahaja.Saya selaku orang Melayu, ahli muda UMNO dan rakyat marhaen amat menyokong kenyataan Menteri Penerangan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek bahawa sebarang cadangan untuk mewujudkan BN sebagai satu parti pelbagai kaum adalah ibarat seperti membubarkan UMNO yang selama ini merupakan tunjang kepada kerajaan yang memerintah yakni BN.Gerakan perlu sedar bahawa UMNO adalah parti dominan dalam BN yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan kerajaan BN selama 51 tahun memerintah Malaysia yang mana telah mengharungi pelbagai cabaran dan ujian namun tetap berjaya menangani segala onak dan duri untuk membangunkan Malaysia.Gerakan melihat UMNO seolah-olah sebagai punca prestasi buruk BN dalam Pilihan raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu. Kononnya konflik dalaman UMNO telah menjejaskan keutuhan BN. Padahal hakikat sebenar ialah beberapa parti komponen BN yang lain termasuklah Gerakan telah kalah teruk dalam pilihan raya tersebut. Parti UMNOlah yang telah menyelamatkan maruah BN untuk terus menang dan mentadbir negara meskipun tidak mendapat dua pertiga majoriti undi. Lima negeri jatuh ke tangan pembangkang. Tsunami politik yang paling buruk melanda negara dan kerajaan BN. Jadi di mana silapnya berhubung perkara ini? Adakah parti komponen BN benar-benar bekerjasama dengan UMNO? Tepuk dada tanya selera. Gerakan perlu mengubah sikap dan tidak terus-terusan menuding jari kepada UMNO seolah-olah bersalah dan perlu bertanggungjawab atas kekalahan teruk dalam PRU 12.UMNO meskipun merupakan parti dominan telah banyak memberi apa yang diinginkan oleh parti komponen lain. UMNO tidak membeza-bezakan keistimewaan antara parti-parti komponen. Semuanya dilayan sama rata, tiada bersifat perkauman. Konsep perkongsian kuasa dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab, jujur, telus dan prihatin. Konsep kesepakatan dan perundingan yang diguna pakai diterima oleh semua pihak. UMNO juga tidak memperhambakan parti-parti komponen dalam BN tetapi UMNO memang perlu bertegas dalam membuat sesuatu keputusan berhubung beberapa perkara yang melibatkan ketuanan Melayu dan Perlembagaan Negara. Keistimewaan hak-hak orang Melayu tidak boleh disangkal dan diperkotak-katikkan kerana realitinya orang Melayu adalah kaum pribumi Malaysia.Jika dibandingkan antara UMNO dan Gerakan, ia umpama langit dengan bumi. UMNO memiliki infrastruktur yang luas di mana keahliannya ada di merata-rata di seluruh pelosok tanah air baik di kampung-kampung mahupun di bandar-bandar. Manakala Gerakan hanya dianggotai oleh mereka yang tinggal di bandar. Sesungguhnya Gerakan belum layak untuk menentang UMNO jika mereka berhajat untuk berbuat demikian.UMNO masih relevan dan tidak perlu dirombak, dibubar, diruntuh atau sebagainya. Jika UMNO hancur, maka akan hancurlah perjuangan politik orang Melayu di buminya sendiri. BN sekarang masih tetap utuh dan stabil untuk terus memperjuangkan kelangsungan hidup rakyat Malaysia.Peranan UMNO sebagai parti teras dalam BN perlu dikekalkan bagi terus memimpin parti-parti komponen lain. UMNO adalah model terbaik sebuah parti yang berjaya menyatu-padukan masyarakat majmuk di Malaysia sekali gus memartabatkan Malaysia di persada dunia.

Pembangkang mengarut, buang masa


Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan tindakan parti pembangkang yang menetapkan Disember ini sebagai tarikh baru untuk menubuhkan kerajaan sebagai mengarut dan hanya membuang masa.

Perdana Menteri berkata, usaha pembangkang itu tidak akan berjaya kerana tiada sebab untuk untuk mana-mana anggota kerajaan melompat menyertai pembangkang yang kalah pada pilihan raya umum lalu.

"Mereka tak akan berjaya. Mereka ingat kita ini bodoh. Ahli kita tidak akan meninggalkan parti kerana Barisan Nasional (BN) adalah di pihak yang menang.

"Kita membentuk kerajaan yang kuat dan kita akan terus lakukan apa yang kita mampu untuk membangunkan negara. Ini adalah satu peluang bagi parti, jadi kenapa pula ada yang mahu meninggalkan parti,'' katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Serantau Amerika Syarikat-Dunia Islam di sini hari ini.

Abdullah diminta mengulas tarikh baru yang ditetapkan oleh Ketua Pembangkang. Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merampas kuasa daripada BN.

Selepas gagal mengambil alih kerajaan pada tarikh 16 September seperti disasarkan sebelum ini, Anwar dalam ceramahnya di Kota Bharu baru-baru ini dilaporkan menetapkan pula awal Disember sebagai tarikh baru menubuhkan kerajaan.

Ketua pembangkang itu seterusnya mendakwa beliau mempunyai cukup bilangan Ahli Parlimen BN yang akan melompat untuk membentuk kerajaan sebelum Hari Raya Aidiladha yang dijangka disambut pada 8 Disember depan.
Dipetik dari Utusan Malaysia