Thursday, February 12, 2009

Harga Gas Turun 32 Hingga 35 Peratus Mulai 1 Mac Ini

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Harga gas bagi sektor elektrik dan bukan elektrik di Semenanjung Malaysia akan dikurangkan sebanyak 32 peratus hingga 35 peratus mulai 1 Mac ini.Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Amirsham Abdul Aziz berkata pengurangan harga gas sebanyak RM7.06 hingga RM8.53 itu dapat mengurangkan kos menjalankan perniagaan industri-industri berkenaan dan khususnya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu kini.
"Secara keseluruhan, langkah ini akan meningkatkan daya saing dan seterusnya menyumbangkan kepada usaha pemulihan ekonomi negara," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.Amirsham berkata harga gas yang dibekalkan oleh Petroleum Nasional Berhad (Petronas) untuk sektor elektrik akan dikurangkan kepada RM10.70/million British thermal Unit (MMBtu) daripada RM 14.31/MMBtu."Harga gas yang dibekalkan oleh Gas Malaysia Sdn Bhd bagi sektor industri dan pelanggan lain yang menggunakan gas kurang daripada dua juta kaki padu sehari (mmscfd) dikurangkan daripada RM22.06/MMBtu kepada RM15/MMBtu.
"Manakala harga gas untuk sektor industri yang pengunaan gas melebihi dua mmscfd dikurangkan daripada RM23.88 MMBtu kepada RM15.35/MMBtu," katanya.Beliau berkata kerajaan turut memutuskan harga gas akan disemak semula dua kali setahun pada 1 Jan dan 1 Julai setiap tahun dan diskaun harga gas itu hanya terpakai untuk Semenanjung Malaysia.-- BERNAMA

Zambry Terima Senarai Calon Bukit Gantang

TAIPING, 11 Feb (Bernama) -- Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir berkata beberapa nama telah dikenalpasti sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.Beliau akan berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam masa terdekat untuk membincangkan senarai nama itu sebelum dibawa kepada pucuk pimpinan untuk diputuskan.
"Bagaimanapun, kita nak maklum balas dari bawah sebelum bawa ke pucuk pimpinan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat tertutup parti komponen BN Bukit Gantang di Pejabat Umno Bukit Gantang di sini petang ini.

pemilihan calon PRK perlu tepat

putri sekadar nak bagi pandangan.. dalam banyak-banyak PRK yang putri lihat nampaknya pemilihan calon yang seswai memang kurang dititik beratkan. bukan lah putri kata calon yang dipilih langsung tak berkaliber cumanya pendapat daripada peringkat akar umbi perlu lah diambil kira. so untuk PRK yang akan berlaku tak lama lagi ni benda ni akan jadi benda pertama yang di lihat. ermm ape2 pun harap BN akan menang dalam PRK kali ini.Selamat maju jaya dan selamat berjuang.....

Pilihan Raya Umum Ke-12 Jadi Pengajaran Untuk BN Perak

PerakBy: Ramjit--

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Perak pada pilihan raya umum tahun lepas akan dijadikan sebagai suatu pengajaran dalam usaha memantapkan kestabilan politik di negeri itu.Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir berkata pelantikan barisan exco yang berpengalaman dilihat sebagai langkah pertama memulihkan keadaan politik selain memastikan agenda pembangunan ekonomi di negeri itu dilaksanakan dengan sebaiknya."Di sebaliknya (kekalahan BN negeri pada pilihan raya umum), BN akan melakukan sesuatu untuk membetulkan keadaan...kerajaan BN adalah kerajaan yang berpengalaman dalam melakukan perubahan demi kemajuan sesebuah institusi rakyat," katanya semasa ditemuramah oleh Dr Asraf Wajdi Datuk Dusuki dalam program Dialog@1 yang disiarkan di RTM1, malam Rabu.Beliau berkata, akhirnya nanti, hanya rakyat sendiri yang berhak membuat penilaian kerajaan mana yang lebih baik dan prihatin untuk menjaga kepentingan mereka.Katanya, walaupun wujud kepincangan dalam sesebuah kerajaan namun ia akan diperbetulkan demi kesejahteraan dan keamanan rakyat dan kerajaan BN negeri kini bersedia untuk membetulkan keadaan.Selain itu, Zambry berkata BN Perak akan meneruskan usaha membangunkan negeri itu bagi mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap BN di dalam situasi ekonomi yang tidak menentu pada masa ini.Katanya, antara usaha itu ialah dengan mewujudkan 'institusi rakyat', iaitu dengan melaksanakan dasar-dasar yang perlu demi kepentingan rakyat."Dari dulu sampai sekarang, dasar yang penting bagi kita adalah dasar rakyat, begitu apa yang dilakukan BN selama ini, apa saja dasar yang bawa kebaikan untuk rakyat, sebahagiannya telah dilaksanakan oleh kerajaan BN sebelum ini," katanya.Beliau berkata, dengan langkah itu, BN yakin ia mampu mempertahankan perpaduan, kesejahteraan dan kestabilan di negeri itu.-- BERNAMA

Pilihan raya kecil Bukit Gantang, Bukit Selambau mungkin serentak:SPR

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menolak kemungkinan tarikh pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang, Perak dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Selambau, Kedah diadakan serentak.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata keputusan mengenai perkara itu akan diputuskan pada mesyuarat khas esok, selepas pihaknya meneliti serta membincangkan dokumen berkaitan kekosongan kedua-kedua kerusi itu. Katanya, mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya kecil hanya boleh diadakan jika SPR dapat memastikan bahawa adanya kekosongan pada satu-satu kerusi Parlimen atau Dun berkenaan. “Bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang...kalau (penyandang) meninggal dunia, sudah tentu ada kekosongan. Kerusi Bukit Selambau pula, kita akan dapatkan maklumat dan dokumen sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

“Kalau kita dapat pastikan ada kekosongan kerusi DUN Bukit Selambau, kita akan adakan pilihan raya kecil. Kemungkinan lain (kalau tiada kekosongan), Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) sedia ada kekal,” katanya. Abdul Aziz berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada petugas-petugas pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu di sini, malam tadi. Kekosongan kerusi Parlimen Bukit Gantang berlaku ekoran kematian penyandangnya, Roslan Shaharum daripada PAS akibat diserang sakit jantung pada Isnin. Pada hari yang sama, V Arumugam, Dun Bukit Selambau. “Kita kena lihat semua aspek dan tidak membuat keputusan disebabkan dorongan pihak-pihak tertentu atau sebab kita menyokong pihak tertentu...tidak sama sekali.

“SPR menjalankan tugas dengan profesional, berdasarkan kepada undang-undang serta dokumen-dokumen yang diserahkan kepada kita. Setakat ini, pegawai-pegawai saya sedang siapkan dokumen berkenaan,” katanya. Terdahulu ketika berucap, Abdul Aziz berkata, pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang berlangsung dalam keadaan aman 17 Januari lalu, mendapat pujian daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin serta Jemaah Menteri dan pemimpin parti-parti politik. Katanya, semasa menghadap Tuanku Mizan bagi memaklumkan mengenai pilihan raya kecil itu baru-baru ini, Seri Paduka berasa bangga pilihan raya kecil itu dikendalikan dengan baik. Abdul Aziz berkata, pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu akan menjadi penanda aras serta contoh kepada mana-mana pilihan raya akan datang di negara ini. Calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut memenangi pilihan raya kecil itu dengan memperoleh 32,883 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang meraih 30,252 undi manakala calon, Bebas Azharudin Mamat @ Adam mendapat 193 undi. -Bernama
************************************************************************************************
putrimalaysia : Tahniah kepada kerajaan BN yang berjaya merampas kembali Perak daripada PR. Jangan sia-siakan peluang yang ada dan teruslah berkhidmat dengan lebih baik daripada sebelumnya...putri doakan kedua-dua pilihan raya ini akan memihak kepada BN...walaupun putri tahu bukan mudah namun jangan berundur sebelum berjuang.....

Thursday, February 5, 2009

Pakatan tumbang


TIMBALAN Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Jamaluddin (kanan), Mohd Osman (dua dari kanan) dan Yit Fong menyokong BN manakala Nasarudin (dua dari kiri) kembali sertai Umno.

Tiga Adun Bebas sokong Barisan
BN sedia tubuh kerajaan di Perak
Nizar bubar DUN tanpa perkenan Sultan


PUTRAJAYA: Tidak sampai setahun memerintah, kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Perak semalam tumbang dan Barisan Nasional (BN) kini bersedia membentuk kerajaan baru di negeri itu dengan majoriti mudah. Bibit kejatuhan kerajaan negeri itu bermula apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu, bertindak meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), diikuti tindakan yang sama Adun Jelapang dari DAP, Hee Yit Fong.


Ketiga-tiganya menjadi wakil rakyat Bebas dan mengisytiharkan sokongan terhadap BN, manakala Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai PKR baru-baru ini, berikrar kembali ke pangkuan Umno mulai semalam. Berikutan perkembangan itu, Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada sidang media di Ipoh mengumumkan tindakan drastik membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, tanpa terlebih dulu mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada sidang media di sini petang semalam pula berkata, beliau akan menghadap Sultan Perak secepat mungkin untuk memaklumkan secara rasmi bahawa BN Perak mempunyai sokongan yang diperlukan bagi menubuhkan kerajaan baru.
BN dan PR kini mempunyai bilangan kerusi DUN yang sama banyak, iaitu masing-masing 28 kerusi, tetapi BN boleh menubuhkan kerajaan negeri kerana ketiga-tiga wakil rakyat Bebas itu berikrar menyokong BN, termasuk dalam soal pelantikan Menteri Besar. Najib yang juga Pengerusi BN Perak berkata, tiga wakil rakyat Bebas itu memberitahu beliau bahawa mereka sudah menghantar surat kepada Sultan Perak untuk memaklumkan keputusan keluar daripada parti masing-masing. "Mereka memberi mandat kepada saya selaku Pengerusi BN Perak untuk mencalonkan nama Menteri Besar. "Mereka juga memberi aku janji akan bersama dan memberi sokongan kepada Menteri Besar yang dicalonkan oleh BN dan diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.

"(Oleh itu) kita ada 31 berbanding 28 (PR) yang termasuk Speaker tetapi tidak boleh mengundi dalam DUN," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Nasaruddin dan tiga Adun Bebas berkenaan. Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta sebahagian Adun BN negeri itu juga hadir. Mengenai calon Menteri Besar, Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, ia akan diumumkan dalam tempoh terdekat. Timbalan Perdana Menteri berkata, mengikut Fasal 16 Undang-undang Tubuh Negeri Perak, Menteri Besar hendaklah meletak jawatan bersama anggota Exconya jika hilang keyakinan atau majoriti di DUN. "Keempat-empat wakil rakyat ini sudah memaklumkan kepada Speaker DUN Perak, selain Presiden PKR dan Setiausaha Agung DAP hari ini (semalam) bahawa mereka tidak lagi menjadi ahli parti berkenaan. "Mereka sudah hilang keyakinan terhadap parti dan Menteri Besar Perak. Kita akan lihat perkembangan selepas ini... apa yang penting ialah bagi mereka menyertai kita," katanya. Ditanya bagaimana BN boleh menubuhkan kerajaan negeri, Najib berkata, Adun Behrang, Adun Changkat Jering dan Adun Jelapang akan menjadi "wakil Bebas mesra BN".
Mengenai tindakan Mohammad Nizar mengumumkan pembubaran DUN tanpa terlebih dulu mendapat perkenan Sultan Azlan Shah, Najib berkata hanya Sultan Perak boleh memperkenankan pembubaran DUN. Najib turut menyifatkan perkembangan terkini itu sebagai bermulanya era baru dalam politik di Perak dan seterusnya membolehkan BN berkhidmat kepada rakyat serta pengundi di negeri berkenaan. Menjawab soalan, Timbalan Perdana Menteri berkata keempat-empat wakil rakyat itu membuat keputusan menyokong BN berdasarkan kerelaan masing-masing tanpa habuan atau sogokan dan sebarang jawatan. Mengenai kes rasuah membabitkan Adun Behrang dan Changkat Jering, Najib berkata ia adalah isu yang berbeza. Beliau juga berkata, perkembangan yang berlaku tidak sampai sebulan selepas beliau dilantik Pengerusi BN dan Umno Perak adalah secara kebetulan.
dipetik dari Berita Harian Online
**************************************************************************************
Syabas diucapkan kepada kerajaan BN....