Thursday, December 18, 2008

Najib umum calon BN esok


KUALA LUMPUR 17 Dis. - Calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu akan diumumkan Sabtu ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau mengesahkan mengenai perkara itu ketika ditanya oleh pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) projek Edible Garden di antara Felda dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di sini hari ini.
Bagaimanapun, Najib enggan mengulas lanjut mengenai calon BN yang akan diumumkan Sabtu ini.
Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu Datuk Razali Ismail pada 28 November lalu.
Pada pilihan raya 8 Mac lalu, Razali menewaskan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusof dengan majoriti 628 undi.
Berikutan kekosongan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 17 Januari depan sebagai tarikh pilihan raya kecil kawasan itu manakala 6 Januari sebagai hari penamaan calon.
dipetik dari Utusan Malaysia

Tuesday, December 2, 2008

BN akan hadapi saingan sengit


KUALA LUMPUR 1 Dis. - Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said mengakui Barisan Nasional (BN) akan berhadapan saingan sengit pembangkang dalam usaha mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil nanti.
Katanya, ini kerana tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Wakaf Mempelam, Ladang dan Batu Burok dalam Parlimen itu dimenangi Pas pada pilihan raya umum Mac lalu, manakala hanya satu kerusi DUN dimenangi BN iaitu Bandar.
"Kita akui mungkin berhadapan pertandingan sengit tapi kita akan tetap pertahankan," katanya.
Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Projek Buku Elektronik antara Kerajaan Terengganu, syarikat Top IT Industries Sdn. Bhd., Intel Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Kerusi Parlimen Kuala Terengganu kosong apabila penyandangnya yang merupakan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail meninggal dunia secara mengejut pada Jumaat lalu, kerana diserang sakit jantung.
Ditanya mengenai calon kerusi tersebut nanti, Ahmad berkata, buat masa ini beliau masih belum membuat sebarang keputusan mengenainya lagi.
"Sudah tentu kita akan pilih calon yang ada potensi untuk menang. Bila sudah ada senarai calon nanti saya akan serah kepada Perdana Menteri. Keputusan akhir beliau yang akan buat," katanya.
Beliau berkata, BN tidak memikirkan soal calon dari parti pembangkang mana yang akan berlawan dengan calon BN tetapi akan lebih menumpukan kepada persiapan jentera BN bagi pilihan raya kecil itu nanti.
Katanya, mesyuarat mengenai gerak kerja pilihan raya kecil itu akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan semua aspek yang akan memastikan BN mendapat kemenangan.
Ahmad berkata, terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menentukan tarikh pilihan raya kecil.
"Tetapi kalau bulan ini mungkin agak sulit sedikit sebab keadaan banjir di Terengganu. Tetapi apa pun terpulang kepada SPR," katanya.
Kerusi Parlimen Kuala Terengganu dimenangi Allahyarham Razali pada pilihan raya umum 2004 menewaskan calon Pas, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dengan majoriti 1,933 undi.
Pada pilihan raya umum Mac lalu, Razali mengekalkan kerusi tersebut setelah menewaskan calon Pas, Mohamad Sabu dengan majoriti 628 undi.

Ingatan Muhyiddin kepada Kayveas



PUTRAJAYA 1 Dis. - Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengingatkan Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP), Datuk M. Kayveas agar tidak mengeluarkan kenyataan berupa ugutan kepada Barisan Nasional (BN).
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, ingatan itu perlu kerana ia tidak memberi gambaran yang baik tentang perpaduan dan kesatuan parti-parti komponen dalam BN.
Malah, tegasnya, ia juga selaras dengan janji yang pernah dibuat oleh semua pemimpin parti komponen BN sebelum ini yang mahu 'tenggelam dan timbul bersama BN'.
''Selepas menghadapi pilihan raya umum lalu, kita tahu ada pelbagai isu dan perkara yang perlu diperkukuh dan diperbaiki bagi memantapkan kembali kedudukan BN.
''Jadi saya fikir adalah lebih baik Kayveas membawa apa yang dirasakan tidak puas hati ke mesyuarat Dewan Tertinggi BN daripada membuat sebarang kenyataan berupa ugutan ke atas perkara yang belum dibincangkan lagi," katanya.
Dipetik dari Utusan Online