Monday, April 19, 2010

Berita Hulu Selangor: Jangan mudah terpedaya taktik pembangkang

HULU SELANGOR 18 April - Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pengundi di Hulu Selangor supaya jangan mudah percaya dan terpengaruh dengan taktik pembangkang yang kini semakin ligat memburuk-burukkan kerajaan dalam kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pembangkang yang kian tertekan dengan pelbagai masalah dalaman mula menjaja pelbagai tuduhan buruk termasuk menuduh beliau mengamalkan sikap perkauman.

Selain itu, jelas beliau, pembangkang juga menuduh kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) berlaku zalim kepada rakyat sedangkan semua kejayaan yang dikecapi oleh rakyat negara ini sejak merdeka adalah hasil bantuan dan perancangan kerajaan.

"Kalau kerajaan zalim tidak mungkin tahap kemiskinan penduduk negara ini dapat dikurangkan sehingga hanya tiga peratus sahaja sekarang berbanding lebih 60 peratus rakyat yang miskin selepas merdeka.

"Malah kerajaan telah menetapkan komitmen untuk membasmi kemiskinan secara total pada tahun ini tanpa mengira kaum sama ada Melayu, Cina, India serta kaum-kaum lain, jadi apa kejamnya?

"Kita juga tidak menghalang mana-mana kaum untuk memiliki kekayaan dan kalau itu (kezaliman) berlaku tidak mungkin kaum Cina dapat menguasai bidang ekonomi. Apa yang kerajaan buat ialah membantu kaum yang masih ketinggalan secara adil," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian semasa men menghadiri Program Mesra Rakyat di bilik gerakan BN, di Hulu Yam Bahru, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin memberitahu dalam bidang pendidikan misalnya, kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti pendidikan dan menyediakan pelbagai bantuan bagi melahirkan generasi modal insan yang terpelajar.

Malah, jelasnya, hasil pentadbiran terancang kerajaan BN sejak kemerdekaan 52 tahun lalu, telah ramai pakar dan ilmuan tempatan lahir hasil daripada kemajuan bidang pendidikan yang dibangunkan secara inklusif.

"Mereka ini (pakar dan ilmuan) kemudiannya menyumbang buah fikiran dan tenaga untuk membangunkan negara yang mana hasilnya kita dapat lihat pada hari ini, di mana kemakmuran ekonomi, politik serta sosial jauh lebih baik berbanding negara membangun yang lain," katanya.

Mengenai tuduhan jahat pembangkang kononnya kerajaan bertanggungjawab membunuh Teoh Beng Hock dan sengaja mereka isu bagi mendakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes liwat, Muhyiddin menjelaskan kerajaan tidak pernah terbabit dalam isu tersebut.

Menurutnya, dalam isu Beng Hock, pembangkang sengaja mencari kepentingan politik apabila awal-awal lagi menuduh kerajaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertanggungjawab sedangkan siasatan belum lagi dijalankan pada ketika itu.

"Tunggulah kerana kes ini berada di mahkamah dan nanti kita lihat sama ada Beng Hock ini sengaja terjun atau dibunuh. Sebagai seorang bapa saya juga sedih dengan kematian mendiang tetapi ia tidak bermakna kita perlu mempolitikkan isu ini.

"Dalam kes liwat Anwar pula, bukan kerajaan yang bertanggungjawab. Kes ini disiasat selepas mangsa Mohd. Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis mengatakan dia diliwat. Jadi apa kaitan dengan kerajaan kerana dalam kes ini pengadu mahukan keadilan dan bukan BN yang bawa ke mahkamah,"tegasnya.

Terdahulu, dalam Program Mesra Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Choh, Rawang, Timbalan Perdana Menteri meluluskan peruntukan RM200,000 bagi membaik pulih tandas dan juga padang sekolah tersebut.

Selain itu, beliau turut menyerahkan 20 unit komputer bagi kegunaan kelab komputer sekolah tersebut dalam usaha melahirkan pelajar yang celik teknologi maklumat.

No comments: