Friday, April 16, 2010

Pemilihan calon kehendak pengundi - Muhyiddin


P. Kamalanathan (tengah) di umumkan sebagai calon Barisan Nasional bagi Parlimen P.094 Hulu Selangor oleh Muhyiddin di Bukit Beruntung, semalam.


HULU SELANGOR 15 April - Ketua Penerangan MIC, P. Kamalanathan diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor, 25 April ini.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis di Markas Induk BN, di Bukit Sentosa di sini hari ini.

Dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, pemilihan Kamalanathan yang merupakan anak jati Rawang dilakukan selepas mengambil kira pandangan pengundi di kawasan Parlimen ini yang mahu seorang muka baru diketengahkan.

''Kamalanathan adalah seorang anak muda yang berkelulusan tinggi, fasih dalam tiga bahasa dan tidak mempunyai sebarang rekod buruk, pemilihan beliau menepati semangat gagasan 1Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan," katanya.

Beliau berkata, pemilihan calon daripada MIC itu membuktikan bahawa UMNO tidak tamak dan ingin mengambil kesempatan.

''Kita berpegang kepada semangat setiakawan, ini kerusi MIC, maka kita berikan kepada MIC untuk bertanding.

''Kamalanathan bukannya bertanding atas nama MIC tetapi BN. Beliau akan memberi perkhidmatan kepada semua penduduk tanpa mengira kaum," katanya.

Mengenai Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon yang paling layak, Muhyiddin berkata, beliau sudah bercakap dengan Mugilan sebelum pengumuman dilakukan.

''Saya jelaskan kepada beliau bahawa mungkin hari ini bukan rezeki beliau dan meminta kerjasama untuk turun berkempen, beliau memberi jaminan akan berbuat demikian," katanya.

Pada sidang akhbar selepas itu, Muhyiddin menjelaskan, BN mengambil masa agak panjang untuk membuat keputusan bagi memastikan calon yang dipilih benar-benar memenuhi kehendak pengundi.

''Selama dua minggu kita turun padang mendengar pandangan pengundi dan mereka ternyata mahukan muka baru, oleh itu kita sepakat mencalonkan Kamalanathan kerana beliau mempunyai kriteria yang dikehendaki,'' katanya.

Ditanya ketidakhadiran Datuk G.Palanivel ke majlis itu, Muhyiddin secara terus terang berkata, Timbalan Presiden MIC mungkin sedikit kecewa kerana tidak terpilih.

''Tetapi itu biasalah, kita manusia. Namun saya yakin sebagai Timbalan Presiden MIC, beliau pasti akan turun untuk berkempen bagi membantu BN, lagi pula Kamalanathan bukan orang asing bagi beliau," katanya.

Kamalanathan yang berkelulusan ijazah Komunikasi Massa dari Universiti Edith Cowan, Australia. Beliau adalah Pegawai Perhubungan Awam Serba Wangi Sdn. Bhd anak syarikat Beras Nasional (BN) dan telah menjadi ahli MIC sejak berusia 18 tahun.

dipetik dari: http://www.utusan.com.my

No comments: