Saturday, April 24, 2010

KERAJAAN BN ADIL.......

HULU SELANGOR, 24 April (Bernama) -- Keputusan Dewan Rakyat untuk merujuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana membuat kenyataan mengelirukan berhubung konsep 1Malaysia dan Apco Worldwide membuktikan Barisan Nasional (BN) sentiasa bersikap adil walaupun dengan pembangkang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata BN boleh menggunakan kuasa majoriti di Dewan Rakyat dengan terus menghukum dan menggantung keanggotaan Anwar, tetapi BN mengambil jalan untuk memberi peluang kepada anggota Parlimen Permatang Pauh itu untuk membela diri.

"Kalau kita (BN) gunakan kepada kuasa majoriti, kita boleh terus hukumkan dia dan gantung keanggotaannya, tetapi kita tak (guna) jalan tersebut sebaliknya kita beri peluang untuk dia membela diri, mengeluarkan sebarang hujah dan selepas itu dia akan ditentukan dan diadili oleh jawatankuasa berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sarapan 1Malaysia di padang Kampung Gumut Tambahan, Kalumpang di sini pada Sabtu.

Turut hadir Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, timbalannya Heng Seai Kie, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan calon BN bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor P.Kamalanathan dan isterinya S.Shobana.

Pada Khamis lepas, Dewan Rakyat meluluskan usul untuk merujuk Anwar ke jawatankuasa itu kerana mengeluarkan kenyataan mengelirukan yang mengaitkan dasar gagasan 1Malaysia dengan Apco Worldwide, sebuah syarikat perhubungan awam dan strategi yang didakwanya mempunyai kaitan dengan Israel.

Najib berkata beliau percaya bahawa jawatankuasa itu akan meneliti secara mendalam mengenai dakwaan Anwar itu.

"Tentu sekali apa yang didakwa itu dianggap sebagai amat serius dan tiada asas serta bukti yang telah dikemukakan dalam hujah-hujahnya. Parlimen berpendapat dia patut dirujuk dalam jawatankuasa berkenaan.

"Saya percaya jawatankuasa berkenaan akan meneliti secara lebih mendalam," katanya.

-- BERNAMA

No comments: