Friday, April 23, 2010

ANWAR DIRUJUK JAWATANKUASA HAK

http://www.utusan.com.my

KUALA LUMPUR 22 April - Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul untuk menghadapkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengeluarkan kenyataan mengelirukan yang mengaitkan gagasan 1Malaysia dengan sebuah syarikat perhubungan awam yang didakwanya mempunyai kaitan dengan Israel.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee memutuskan demikian secara undian suara setelah ahli-ahli Parlimen pembangkang berkeras enggan mendengar penggulungan usul itu yang sepatutnya dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, sebaliknya mendesak agar ia ditarik balik.

Semasa pengundian suara dibuat, ahli-ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar beramai-ramai daripada Dewan Rakyat kerana tidak berpuas hati dengan usul berkenaan yang didakwa mereka sebagai cacat dan melanggar peraturan mesyuarat.

Percubaan mempertikaikan usul itu sudah dibuat pada permulaan sidang Dewan pagi ini semasa Yang Dipertua, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengendalikan sidang.

Ia terus dilakukan sebelum Dewan berhenti rehat semasa Timbalan Yang Dipertua, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengendalikan persidangan.

Namun, percubaan kali ketiga pembangkang semasa persidangan disambung semula pada sesi sebelah petang tetap tidak berjaya sehingga menyebabkan mereka memutuskan untuk keluar daripada Dewan dan tidak mengambil bahagian dalam pengundian.

Pada sesi sebelah pagi sebelum perbahasan usul itu dimulakan, Datuk Kamarudin Jaffar (Pas-Tumpat) bangkit mendakwa usul itu telah menghina Dewan Rakyat dan mencabuli hak jawatankuasa berkenaan.

Beliau menyifatkan usul itu sebagai cacat dengan mengatakan ia bertujuan memohon jawatankuasa itu menentukan bentuk hukuman dan bukannya untuk menyiasat sama ada Anwar bersalah atau sebaliknya.

Bagaimanapun, Pandikar Amin menolaknya sambil membacakan Peraturan Mesyuarat 43 dengan menegaskan bahawa usul berkenaan tidak cacat, malah ia adalah teratur dan menepati peraturan mesyuarat.

''Keputusan ini adalah muktamad, sesiapa yang mempertikaikan akan diperintah untuk berehat seketika," katanya.

Usul yang dibawa oleh Mohamed Nazri ialah seperti berikut:

''Bahawa pada 17 Mac 2010, Yang Berhormat Ahli Parlimen Permatang Pauh ketika mengambil bahagian dalam perbahasan usul menjunjung kasih atas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong telah mengeluarkan kenyataan '1999 Satu Israel. 2009 Apco menasihati Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib 1Malaysia'.

"Bahawa Yang Berhormat Ahli Parlimen Permatang Pauh telah mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan serta membuat dakwaan yang sangat serius dan menyalahi hak dan keistimewaan sebagai ahli Parlimen serta merupakan satu penghinaan kepada dewan ini.

''Maka inilah dipersetujui bahawa Ahli Yang Berhormat Permatang Pauh hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Jawatankuasa ini hendaklah membuat syor jenis hukuman yang setimpal yang patut Dewan kenakan ke atas Ahli Yang Berhormat Permatang Pauh".

Seramai empat wakil masing-masing daripada parti pembangkang dan kerajaan membahaskan usul itu dengan tempoh 15 minit.

Ahli parlimen daripada BN ialah Datuk Nur Jazlan Mohamad (Pulai), Datuk Abdul Rahman Dahlan (Kota Belud), Khairy Jamaluddin (Rembau) dan Mohamed Nazri manakala daripada pembangkang ialah Azmin Ali (PKR-Gombak), Lim Kit Siang (DAP- Ipoh Timur), Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) dan Anwar sendiri.

Sementara itu, Anwar bersedia dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk mempertahankan kenyataannya berhubung dakwaan kaitan gagasan 1Malaysia dengan firma perunding asing, Apco Worldwide dan kerajaan Israel.

Katanya, beliau akan berbincang dengan wakil pembangkang yang menganggotai jawatankuasa itu selain menyediakan dokumen dan bukti-bukti untuk dikemukakan pada siasatan itu nanti.

''Saya akan hadir ke jawatankuasa itu tetapi dengan bantahan keras dan bukti-bukti saya," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

******************************************************************

PutriMalaysia: ANWAR : Pandai cakap pandaila tanggung...

No comments: