Monday, August 18, 2008

PM tumpu 5 perkara sebelum berundur 2010

Petikan dari Berita Harian

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau menumpukan kepada lima perkara dalam melaksanakan usaha yang dijanjikan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) dan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sebelum berundur pada 2010.

Perdana Menteri berkata tumpuannya kini termasuklah program di bawah inisiatif pembangunan koridor dan penambahbaikan seperti sistem kehakiman dan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“Perjuangan untuk membina dan memartabatkan negara bangsa tidak ada noktahnya kerana itulah lumrah pentadbiran dan banyak lagi yang perlu diusahakan dari kini sehingga 2010 dan seterusnya





“Saya percaya bahawa makna dan impak sesebuah pentadbiran hanya boleh dilihat dengan jelas selepas masa yang secukupnya berlalu, juga seseorang Perdana Menteri tidak akan merasa berpuas hati tetapi akan sentiasa berusaha untuk meneruskan penambahbaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Chow Kon Yeow (DAP-Tanjong) yang ingin tahu apakah kerja yang ingin disempurnakan oleh Abdullah sebelum berundur pada 2010 dan pencapaian beliau yang paling memuaskan sehingga kini.

Abdullah berkata usaha pertama yang menunjukkan hasil ialah pembasmian kemiskinan dan pengurangan jurang pendapatan iaitu kadar kemiskinan negara telah berkurangan dari 5.7 peratus pada 2004 kepada 3.6 peratus pada tahun lalu.

Beliau berkata penekanan kepada prestasi mula membawa perubahan yang positif dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di mana tahap keuntungan bersih bagi Kumpulan 20 GLC terpilih adalah kira-kira 91 peratus lebih tinggi daripada tahap keuntungan sebelum bermulanya inisiatif “Transformasi GLC”.

“Ketiga, usaha untuk menggerakkan semula sektor pertanian dan industri asas tani telah membawa kesedaran akan kepentingan strategik sektor ini bukan sahaja kepada ekonomi negara tetapi juga bagi keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata perkara keempat adalah penekanan kepada sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan yang menunjukkan beberapa penambahbaikan terutamanya di perkhidmatan kaunter servis agensi kerajaan.

Penekanan kepada infrastruktur insaniah, katanya, telah menumpukan kerajaan dan masyarakat kepada aspek pembangunan yang lebih berteraskan pengetahuan, budaya dan minda. — Bernama


-------------------------------------------------------------------------------------
Syabas Pak Lah....

No comments: