Wednesday, April 30, 2008

PENGGAL PERTAMA PARLIMEN KE-12


Berebut mahu tanya soalan No.1-

Dipetik dari Utusan Malaysia


PENGGAL pertama Parlimen ke-12 dibuka semalam dengan andaian dan ramalan yang persidangan kali ini menjanjikan suatu kelainan.


Ditambah dengan kehadiran semula 'orang lama' daripada parti pembangkang iaitu Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ramai menjangkakan sidang kali ini akan lebih panas dan bergegar.


Malah kehadiran muka-muka baru seperti ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir, ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar turut dinanti-nantikan - mereka diharap akan membawa perubahan dalam sidang dewan dengan membangkitkan isu-isu baru termasuk yang melibatkan golongan muda.


Justeru dengan pembukaan penggal pertama Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin itu, peluang kini terbuka luas untuk ahli-ahli Parlimen menonjolkan diri masing-masing menerusi cara mereka sendiri.


Dan pembangkang nampaknya telah mula menunjukkan 'taring' apabila membangkitkan rasa tidak puas hati terhadap beberapa isu. Malangnya isu yang dibangkitkan itu sebenarnya agak remeh dan tidak perlu diperbesar-besarkan.


Ketua Whip pembangkang, Mohamed Azmin Ali, kelmarin membangkitkan mengenai soal undangan ke majlis perasmian persidangan serta isu kedudukan soalan lisan daripada wakil rakyat pembangkang yang didakwa tidak diberi layanan sewajarnya.


Misalnya isu Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tidak menerima undangan rasmi untuk upacara pembukaan sidang Parlimen.


Mohamed Azmin juga mempertikaikan kenapa ahli Parlimen 'junior' seperti Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim diberi peluang pertama mengemukakan soalan lisan manakala soalan Wan Azizah diletakkan di nombor tiga.


Malah Mohamed Azmin juga mempersoalkan kenapa daripada 10 soalan pertama, hanya tiga soalan diberi kepada pembangkang iaitu Wan Azizah, Kit Siang dan Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli (Pas-Kuala Krai). Selebihnya adalah soalan wakil rakyat BN.


Parlimen adalah institusi yang dihormati, kewibawaannya tidak sepatutnya diremehkan dengan perkara-perkara sekecil itu.


Begitu juga mengenai turutan soalan lisan, turutan pertanyaan seharusnya mengikut kepentingan soalan bukannya individu.


"Jangan nilai individu, nilai soalan yang dikemukakan oleh individu itu," kata Razali ketika ditanya mengenai isu tersebut di lobi Parlimen semalam.


Menurut Razali, setiap wakil rakyat dikehendaki mengemukakan 15 soalan dan turutan soalan-soalan yang diserahkan itu ditentukan berdasarkan kepentingan isu-isu yang dibangkitkan tanpa mengira siapa yang bertanyakan soalan.


Sebelum ini pun semasa Kit Siang menjadi Ketua Pembangkang, layanan yang diberikan kepadanya adalah sama dan soalan beliau tidak semestinya menjadi soalan pertama.


"Mana ada peruntukan yang menyatakan soalan pertama mestilah soalan daripada Ketua Pembangkang," jelas Razali sambil menyatakan soalannya menjadi soalan pertama kerana isu melibatkan kepentingan rakyat.


Razali antara lain mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri mengenai langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk menambah baik kualiti kehidupan rakyat terutama dalam aspek peneguhan kuasa beli pengguna, keselamatan awam dan integrasi kaum.


Sementara soalan Wan Azizah pula mengenai komitmen kerajaan dalam melaksanakan sistem tender terbuka dan jenis serta justifikasi projek melebihi RM10 juta - sama ada dibuat secara rundingan atau tender tertutup.


Soalan daripada Kit Siang ialah soalan kelima iaitu beliau bertanyakan Perdana Menteri mengenai 10 pembaharuan yang akan dilakukan oleh kerajaan dalam tempoh 12 bulan untuk menunjukkan beliau sedar mengenai hajat rakyat dalam 'tsunami politik' pada 8 Mac lalu.


Satu lagi ialah soalan ketujuh daripada Dr. Mohd. Hatta yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan adakah pakar kesihatan awam diiktiraf setaraf dengan pakar klinikal dari segi pembayaran elaun pakar.


Peranan ahli Parlimen di Dewan Rakyat adalah untuk menjaga kepentingan rakyat dengan membangkitkan isu yang melibatkan kebajikan mereka.

No comments: