Tuesday, June 23, 2009

BN tetap teguh – Najib

PUTRAJAYA 22 Jun – Kerajaan Barisan Nasional (BN) tetap berupaya mentadbir negara biarpun tanpa konsep kerajaan perpaduan yang cadangannya tiba-tiba muncul setelah diuar-uarkan dahulu oleh Pas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebenarnya tidak timbul isu pakatan pembangkang menolak cadangan kerajaan perpaduan kerana idea itu bukannya datang dari BN.
Namun, kata beliau, oleh kerana Pas sendiri berhasrat merealisasikannya dan apatah lagi ia bertujuan kebaikan, maka BN menyambutnya secara terbuka.

“Tidak timbul (isu) kerajaan BN lemah sebab pelawaan itu (cadangan kerajaan perpaduan) datang daripada Pas dahulu.

“Maknanya kalau tidak ada kerajaan perpaduan ke, apa benda pun, kerajaan kita (BN) masih kukuh dan mampu melaksanakan agenda pembaharuan yang kita gariskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Ketua-Ketua Perwakilan Malaysia Ke-7 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Perdana Menteri mengulas keputusan majlis pimpinan pakatan pembangkang hari ini menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan dengan UMNO yang disifatkan suatu fitnah dan tindakan untuk menggugat kekuatan mereka.

Dalam satu kenyataan yang diedarkan di Parlimen, pakatan pembangkang menyifatkan idea itu sebagai fitnah dan tohmahan jahat serta tindakan terdesak UMNO untuk menggugat kekuatan pakatan pembangkang.

“Semua parti dalam pakatan mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan pakatan pembangkang bagi membentuk Kerajaan Persekutuan,” menurut kenyataan yang ditandatangani pemimpin tiga parti pembangkang terbabit iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas) dan Lim Kit Siang (DAP).

Mengulas lanjut, Najib berkata, apabila cadangan kerajaan perpaduan dicetuskan oleh Pas menerusi Abdul Hadi, kerajaan BN pimpinannya menyambutnya secara positif.

“Maknanya kita bersikap terbuka kalau sesuatu itu dibuat untuk tujuan mencari kebaikan.
“(Selepas ini) kita tetap dengan pendirian bahawa apabila sesuatu yang baik itu untuk negara, ia mestilah diusahakan bersama walaupun idea itu datang dari pembangkang,” katanya.

Ditanya kemungkinan akan ada lagi cadangan ke arah kerajaan perpaduan pada masa depan, beliau berkata:”Siapa yang tahu apa yang akan terjadi pada masa depan, segalanya tidak mustahil dalam politik.”

Cadangan kerajaan perpaduan Pas-UMNO yang dicetuskan Abdul Hadi serta disokong timbalannya, Nasharudin Mat Isa bagaimanapun ditentang hebat oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta semua sekutu mereka dalam pakatan pembangkang.
**********************************************************************************
Kenapa pakatan pembangkang beriya-riya nak tolak kerajaan perpaduan walhal isu ni diterbitkan dari kalangan mereka sendiri. Lim Kit Siang takut andainya PAS dan UMNO bergabung kita akan jadi lebih kuat. Anwar pulak memang dari dulu tak pernah nak terima kebaikan yang didepan mata malah semua benda nak di putar belitkan...

Patuhi langkah kesihatan elak H1N1 - Perdana Menteri

PUTRAJAYA 22 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan orang ramai supaya memberi kerjasama mematuhi langkah-langkah kesihatan yang ditetapkan dalam menangani wabak selesema babi atau Influenza A (H1N1).

Selepas dua sekolah ditutup setakat ini akibat penularan tempatan penyakit itu, Perdana Menteri menegaskan, hanya prosedur dan langkah kesihatan yang ketat sahaja dapat mencegah H1N1 dari merebak.

''Kita ambil berat penyakit ini. Ia mudah merebak kerana penyebarannya boleh berlaku secara mengejut, justeru kita mesti menghindarkan apa yang telah dinasihati untuk mengelak perkara yang lebih buruk berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Ketua-Ketua Perwakilan Malaysia ke-7 di sini hari ini.

Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Assunta 2, Petaling Jaya menjadi sekolah kedua diarah ditutup hari ini hingga Jumaat berikutan penularan tempatan H1N1.

Semalam, SJKC Jalan Davidson, Kuala Lumpur, ditutup sehingga Jumaat berikutan perkara sama.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, bagi Seri Cempaka International School, Batu 9 Cheras, Selangor; SMK Seksyen 9 Shah Alam; dan SMK Damansara Utama, Petaling Jaya pula hanya masing-masing satu kelas diarah tutup mulai hari ini hingga Jumaat.

Dalam pada itu, di SM Wangsa Maju, Kuala Lumpur, satu kelas turut diarah tutup sehingga 25 Jun ini.
..........................................................................................................................................................................
PutriMalaysia:
Diharap seluruh rakyat Malaysia mengambil berat tentang perkara ini....

Tuesday, June 16, 2009

Kaji selidik tolak kepulangan Chin Peng

YAN 15 Jun - Lapan puluh peratus daripada 10,000 responden kaji selidik berkumpulan Jabatan Penerangan Malaysia tidak mahu Chin Peng dibenarkan pulang mahupun diberi kerakyatan.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Datuk Abdullah Morad berkata, kaji selidik itu dilakukan di kalangan pelbagai kaum di seluruh negara setelah timbul cadangan pihak tertentu yang bersetuju membenarkan Chin Peng pulang atas aspek kemanusiaan.

"Kajian mendapati rakyat semua kaum tidak dapat menerima Chin Peng kerana kekejaman yang pernah dilakukannya sewaktu zaman darurat dan selepas negara mencapai kemerdekaan," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Program Sepakat Bestari peringkat Daerah Yan di Kampung Singkir Laut di sini hari ini.

Katanya, kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan Chin Peng dibenar pulang atas alasan kerajaan pernah membenarkan beberapa anggota komunis pulang ke tanah air hanya akan menimbulkan kekeliruan.

"Negara boleh menjadi porak-peranda dan rakyat akan terkeliru jika isu Chin Peng terus dimainkan oleh pemimpin politik pembangkang sebagai modal meraih simpati.

"Walaupun rakyat menolak hasrat kepulangan Chin Peng, tetapi masih ada pihak tertentu terutama pemimpin politik menjadikan ia sebagai isu," kata Abdullah. - BERNAMA

2 Aspek Utama 1 Malaysia

Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan gagasan 1Malaysia adalah amat berbeza daripada konsep asimilasi yang diamalkan di negara lain, di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan bagi digantikan dengan satu identiti nasional baru.

Perdana Menteri berkata, konsep gagasan tersebut juga jauh berbeza daripada konsep Malaysian Malaysia parti pembangkang yang tidak bertunjangkan kepada Perlembagaan Persekutuan.
Formula 1Malaysia akan terlaksana dalam dua aspek utama iaitu penerapan teras-teras perpaduan dan nilai-nilai aspirasi.
Teras-teras perpaduan:
*Penerimaan antara semua kaum dan rakyat Malaysia.
*Prinsip-prinsip kenegaraan berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara
*Keadilan Sosial.

Nilai-nilai aspirasi merangkumi:
*Budaya kecemerlangan dalam melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab.
*Budaya ketepatan dari segi menghormati waktu dan meningkatkan kecekapan.
*Keberanian untuk berinovasi dan meneroka peluang-peluang baru.
*Meritokrasi dalam memberikan tugasan kepada yang paling layak melaksanakannya berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan dasar negara.
*Kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada negara.
*Ketabahan mengharungi cabaran mendatang dan integriti dalam segala urusan dan transaksi.

Monday, June 15, 2009

Kualiti udara kian pulih

Utusan online

KUAlA LUMPUR 14 Jun - Kualiti udara di sekitar Lembah Klang yang merosot sejak beberapa hari lalu terus mencatatkan pemulihan hari ini apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan kawasan tersebut berada pada tahap sederhana dan bukan lagi pada tahap tidak sihat.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, kualiti udara beransur pulih berikutan hujan sejak tiga hari sebelum ini.
Menurut kenyataan itu, Lembah Klang mencatatkan bacaan IPU sederhana iaitu 73 berbanding sebelum ini pada tahap tidak sihat iaitu 101 hingga 200.
''Bacaan IPU bagi Petaling Jaya, Cheras dan Shah Alam masing-masing pada 60, 65 dan 62 pagi ini.
''Daripada 48 kawasan yang dipantau, hari ini 27 kawasan mencatatkan bacaan IPU yang baik termasuk di Kangar, Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang dan Tawau, Sabah iaitu masing-masing 22, 20 dan 24,'' kata kenyataan itu.
Tambah JAS, pihaknya akan terus meningkatkan aktiviti rondaan udara dan darat bagi tujuan pemantauan, mengesan awal dan mencegah aktiviti pembakaran terbuka.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka agar dapat mengurangkan pelepasan asap.
.........................................................................................................................................................................
Putrimalaysia: Alhamdulillah....

Tahan DSAI bawah ISA – bekas perajurit

KUALA LUMPUR 14 Jun – Tindakan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah hukuman selayaknya terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta kerajaan membenarkan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibenarkan pulang ke negara ini.
Pengerusi Badan Bertindak Halang Kemasukan Chin Peng (BBHKCP), Pegawai Waran 2 (B) Othman Ab. Majid menegaskan, provokasi Anwar itu jelas menghangatkan kembali isu tersebut yang boleh menjejaskan keharmonian dan kestabilan negara.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan segera bertindak dan jangan membiarkan mana-mana individu yang sengaja cuba mengeruhkan keadaan dan meniup api persengketaan.
“Kami bekas perajurit amat terkilan dan kecil hati, isu Chin Peng sebenarnya bukan isu politik tetapi malangnya ia dipolitikkan kerana semua sedia maklum bahawa PKM pertubuhan ganas, jadi kenapa perlu diperjuangkan.
“Kemarahan kami yang pernah bertempur dengan komunis walaupun telah lama tetapi masih lagi panas dan membara, jadi apabila permintaan tidak masuk akal itu dibangkitkan semula ia seperti menyiram minyak di atas bara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dipetik dari utusan online
************************************************************************************
Setuju sangat dengan cadangan tu...Anwar cuba mempolitikkan isu Chin Peng ...

‘Sanggup gadai agama, bangsa’

IPOH 14 Jun – Gagasan Melayu Perak (GMP) menyifatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sanggup menjual dan menggadai apa sahaja termasuk maruah agama, bangsa dan negara semata-mata untuk menjadi Perdana Menteri.


Presidennya, Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, ia juga jelas menunjukkan bahawa Anwar sebagai seorang pemimpin yang sudah tenggelam punca apabila meminta kerajaan membenarkan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibenarkan pulang.


“Kalau boleh kita tafsir kenyataan itu jelas dan nyata ia adalah untuk kepentingan politik peribadinya untuk meraih sokongan orang bukan Melayu khasnya kaum Cina.


“Dia tahu seluruh orang Melayu menentang kemasukan Chin Peng dan tahu perasaan bekas-bekas perajurit negara, tetapi dia tetap juga buat kenyataan seumpama itu.


“Anwar adalah seorang pemimpin yang sanggup berbuat apa sahaja termasuk menggadaikan maruah bangsa, negara dan agama demi kepentingan politik peribadinya,” katanya kepada

Anwar terus dibidas

IPOH 14 Jun – Pelbagai pihak termasuk Gagasan Melayu Perak (GMP) dan Badan Bertindak Halang Kemasukan Chin Peng (BBHKCP) terus mengecam Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta kerajaan membenarkan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng pulang ke Malaysia.

'Kami bekas perajurit amat terkilan dan kecil hati, isu Chin Peng sebenarnya bukan isu politik tetapi malangnya ia dipolitikkan. Provokasi Anwar itu boleh menjejaskan keharmonian dan kestabilan negara'
-Othman Ab. Majid

Pengerusi Badan Bertindak Halang Kemasukan Chin Peng
'Anwar sudah tenggelam punca sehingga sanggup membela Chin Peng.
Dia tahu orang Melayu menentang kemasukan pemimpin komunis itu dan tahu perasaan bekas-bekas perajurit negara, tetapi dia tetap juga buat kenyataan seumpama itu'
-Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail
Presiden Gagasan Melayu Perak
****************************************************************************************
Putri rasa pelik dan hairan dengan tindakan yang dilakukan oleh Anwar. Apa saja yang difikir Anwar ni. Jangankan kerana nak jadi Perdana Menteri sangat dia sanggup mengenepikan perasaan para pejuang tanah air yang lukanya masih berdarah disebabkan oleh Komunis.Anwar ni seperti mahu menegakkan benang yang basah. Dah terang-terang tau Chin Peng tu pernah menjadi musuh utama Malaysia lagi la dia nk bangkitkan lagi kemarahan parajurit tanah air dengan tindakannya meminta kerajaan membenarkan kepulangan Chin Peng itu. Kalaulah Anwar fikir kita kena bagi peluang kedua tetapi ,semasa Chin Peng bermaharajalela membunuh dengan rakus ribuan nyawa di tanah Melayu ketika itu adakah dia berfikir akan memberikan peluang kedua kepada nyawa yang tidak bersalah itru untuk terus hidup. Fikirlah Anwar. banyak lagi cara Chin Peng boleh kembali bersama keluarganya..Suruh saja keluarganya pergi ke sana melawatnya. Takkan timbul masalah. Fikir gune hati bukan otak saje......

Thursday, June 11, 2009

Kumpulan bayangan di sebalik tragedi

Dipetik dari: Utusan Online

BANGKOK 10 Jun - Tragedi pembunuhan di Masjid Al-Furqan di Narathiwat, selatan Thailand, malam Isnin lepas mungkin dilakukan oleh satu 'kumpulan bayangan' yang mahu menyemai rasa tidak percaya dan konflik antara penduduk yang majoritinya umat Islam dengan penganut Buddha dan dengan kerajaan, kata seorang penggubal undang-undang terkenal di Thai.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Parlimen Thai mengenai Keselamatan Nasional, Jehrrming Tohtayong, berkata, beliau percaya ia dilakukan oleh satu kumpulan baru yang mahu menimbulkan kekacauan dan keganasan di antara penduduk tempatan.

"Kami mempunyai maklumat seorang penduduk menghilangkan diri beberapa hari sebelum insiden itu. Setengah orang kata dia tidak bersetuju dengan kumpulan militan sebelum menghilangkan diri," katanya ketika ditemu bual di sini.

Jehrrming, yang mengetuai jawatankuasa yang mengawal isu-isu keselamatan, berkata ia bukan perkara mudah untuk menentukan orang yang sebenarnya terbabit dalam serangan itu yang menyaksikan 10 jemaah masjid terbunuh ketika menunaikan solat Isyak manakala seorang lagi di hospital malam tadi manakala 12 lagi yang cedera masih dirawat di hospital.

Sambil mengakui kumpulan pemisah terbabit dalam kebanyakan insiden kegansan di wilayah itu, Anggota Parlimen dari Narathiwat itu berkata, ada juga kumpulan dadah dan mafia tempatan terbabit dalam sesetengah kekacauan itu. Panglima Angkatan Tentera, Jen. Anupong Paochinda menafikan tuduhan bahawa pasukan keselamatan menjadi dalang dalam tragedi pembunuhan di masjid itu.

Lebih daripada 3,500 orang telah terbunuh sejak Januari 2004 apabila kumpulan pemisah menyambung semula kempen bersenjata bagi mendapatkan kemerdekaan bagi wilayah Yala, Narathiwat dan Pattani yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam.

Jehrrming berkata, kerajaan yang ada sekarang di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva mendapat kerjasama yang baik daripada rakyat tetapi ramai yang takut untuk bekerjasama secara terbuka bagi mengekalkan keamanan di wilayah itu berikutan tindak balas daripada kumpulan pemberontak.

Walaupun dengan menghantar 60,000 anggota keselamatan di wilayah yang bergolak yang bersempadan dengan Malaysia, Jehrrming berkata, ia agak sukar bagi pasukan keselamatan untuk menyediakan perlindungan kepada keseluruhan penduduk sambil menambah bahawa polisi jangka panjang yang menggalakkan keadilan, pembangunan dan pendidikan yang lebih baik memainkan peranan yang penting bagi menyelesaikan krisis itu.

Beliau juga menafikan dakwaan di dalam sesetengah media Thai bahawa kumpulan pemberontak itu mendapat sokongan Malaysia dengan berkata Kerajaan Malaysia sedang bekerjasama dengan Thailand untuk membangunkan wilayah itu.

Katanya, adalah penting bagi kerajaan untuk mengambil penduduk tempatan yang berasa mereka dibiarkan sebegitu lama sambil memberi contoh reputasi ketiga-tiga wilayah itu sebagai antara yang termiskin antara 76 wilayah di Thailand walaupun mempunyai sumber semulajadi yang banyak.

Berhubung inkues Tak Bai yang membersihkan pegawai kerajaan daripada tuduhan berhubung kematian 85 orang Islam pada Oktober 2004, Jehrrming berkata, keputusan itu berdasarkan kepada siasatan yang dijalankan oleh kerajaan sebelum ini sambil menambah bahawa beliau percaya Abhisit akan memberi keutamaan terhadap kes itu jika keluarga terbabit membuat rayuan.

Sementara itu, Ketua Biro Bernama Kelantan, Mohd Razman Abdullah melaporkan dari Narathiwat, bahawa seorang anggota kumpulan pemisah yang hanya mahu dikenali sebagai Seman Abdullah berkata, adalah mustahil insiden itu dilakukan oleh kumpulan pemisah Islam.
"Kejadian itu tidak melambangkan tindakan puak pemisah Islam kerana perbuatan membunuh orang Islam sendiri bercanggah dari matlamat perjuangan asal," katanya.

Seman mendakwa kawasan serangan itu merupakan kubu kuat kumpulan pemisah dan tiada sesiapa yang berani menyerang kawasan itu kecuali pihak yang mempunyai kelengkapan senjata yang canggih serta maklumat perisikan yang tinggi.

"Kita tidak menuduh sesiap termasuk tentera atau askar upahan cuma tindakan itu akan mengundang tindak balas daripada pihak yang menjadi mangsa," katanya. - Bernama

1Malaysia dilancar besar-besaran

Dipetik dari Utusan Malaysia

PUTRAJAYA 10 Jun - Gagasan 1Malaysia akan dilancarkan secara besar-besaran oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 27 Jun ini.
Program yang dijangka disertai 10,000 orang terdiri dari kalangan anggota Kabinet, pegawai tinggi kerajaan, pemimpin Sabah dan Sarawak, pemimpin parti-parti pembangkang serta perwakilan golongan muda itu akan memperjelaskan kepada umum pendekatan dan gerak kerja gagasan tersebut.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim (gambar) berkata, mesyuarat Kabinet hari ini memberi lampu hijau supaya gagasan itu dilancarkan bermula pukul 8 pagi.

"Di situ nanti, lambang dan lagu 1Malaysia akan dilancarkan secara rasminya.

"Signifikannya pelancaran ini adalah supaya dapat memperjelaskan kepada khalayak tentang konsep, kaedah, pendekatan dan gerak kerja 1Malaysia yang disusun setiap masa agar mencapai matlamat Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Pihak kementerian sedang menyusun serapi mungkin pelancaran program ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Gagasan 1Malaysia diumumkan Najib April lalu bagi meningkatkan penghayatan rakyat pelbagai kaum dan agama terhadap aspek perpaduan nasional.

Bagaimanapun sejak kebelakangan ini, banyak pihak mengemukakan pelbagai tuntutan atas nama 1Malaysia yang jika diamati lebih menjurus kepada faedah kaum tertentu sahaja dan bukannya untuk semua anggota masyarakat.

Ahad lalu, Najib berkata, gagasan 1Malaysia tidak sekali-kali menyimpang daripada roh Perlembagaan Persekutuan sama ada secara tersurat atau tersirat.

Kata Perdana Menteri, 1Malaysia bukanlah konsep atau formula baru sebaliknya matlamat akhir gagasan iaitu perpaduan nasional menjadi wawasan utama pemerintah terdahulu yang telah diterjemahkan dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan prakarsa sepanjang lebih lima dekad yang lepas.

Monday, June 1, 2009

Calon PKR menang



MANSOR Othman (tengah) mengangkat tangan sambil diperhatikan calon Bebas, Nai Khan Ari (kanan) selepas diumumkan memenangi kerusi DUN Penanti di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.
BUKIT MERTAJAM 31 Mei - Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Mansor Othman menang dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti yang mencatatkan peratusan keluar mengundi paling buruk dalam sejarah pilihan raya negara ini.
Mansor, 59, menewaskan tiga calon Bebas dengan majoriti 5,558 undi iaitu bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56, yang memperoleh 392 undi; pengurus kilang, Nai Khan Ari, 41, (494) dan pengurus kem motivasi, Kamarul Ramizu Idris, 42, (56).
Aminah, Nai Khan dan Kamarul Ramizu hilang wang pertaruhan.
Pengumuman itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahaya kira-kira pukul 8.25 malam semalam di Pusat Pengumpulan Peti Undi di Dewan Perdana, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini.
Beliau turut mengumumkan bahawa pilihan raya tersebut mencatatkan 106 undi rosak.
Peratus keluar mengundi bagi pilihan raya kecil ini adalah sebanyak 46 peratus bersamaan dengan 7,100 undi daripada 15,384 pengundi berdaftar.
DUN Penanti mempunyai 15,384 pengundi biasa dan 24 pengundi pos dengan 72.68 peratus adalah pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina, 2.39 peratus India dan 0.71 peratus bangsa lain.
Pilihan Raya Kecil DUN Penanti diadakan selepas penyandangnya Mohammad Fairus Khairuddin meletak jawatan dengan alasan mahu melanjutkan pengajian ke peringkat pasca ijazah.
Dalam pilihan raya umum lalu, Mohammad Fairus memenangi kerusi tersebut dengan 7,346 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dengan majoriti 2,219.
Pengunduran Mohammad Fairus dikaitkan dengan tindakan PKR yang mahu kerusi DUN berkenaan dikosongkan bagi memberi laluan kepada Mansor yang dikatakan calon pilihan yang lebih layak memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri I.
Tidak mahu terjebak dengan mainan politik PKR, Dewan Tertinggi BN yang bermesyuarat pada 18 Mei lalu memutuskan untuk tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil DUN Penanti.
Keputusan itu dicapai sebulat suara pada mesyuarat tersebut yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.