Thursday, June 11, 2009

Kumpulan bayangan di sebalik tragedi

Dipetik dari: Utusan Online

BANGKOK 10 Jun - Tragedi pembunuhan di Masjid Al-Furqan di Narathiwat, selatan Thailand, malam Isnin lepas mungkin dilakukan oleh satu 'kumpulan bayangan' yang mahu menyemai rasa tidak percaya dan konflik antara penduduk yang majoritinya umat Islam dengan penganut Buddha dan dengan kerajaan, kata seorang penggubal undang-undang terkenal di Thai.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Parlimen Thai mengenai Keselamatan Nasional, Jehrrming Tohtayong, berkata, beliau percaya ia dilakukan oleh satu kumpulan baru yang mahu menimbulkan kekacauan dan keganasan di antara penduduk tempatan.

"Kami mempunyai maklumat seorang penduduk menghilangkan diri beberapa hari sebelum insiden itu. Setengah orang kata dia tidak bersetuju dengan kumpulan militan sebelum menghilangkan diri," katanya ketika ditemu bual di sini.

Jehrrming, yang mengetuai jawatankuasa yang mengawal isu-isu keselamatan, berkata ia bukan perkara mudah untuk menentukan orang yang sebenarnya terbabit dalam serangan itu yang menyaksikan 10 jemaah masjid terbunuh ketika menunaikan solat Isyak manakala seorang lagi di hospital malam tadi manakala 12 lagi yang cedera masih dirawat di hospital.

Sambil mengakui kumpulan pemisah terbabit dalam kebanyakan insiden kegansan di wilayah itu, Anggota Parlimen dari Narathiwat itu berkata, ada juga kumpulan dadah dan mafia tempatan terbabit dalam sesetengah kekacauan itu. Panglima Angkatan Tentera, Jen. Anupong Paochinda menafikan tuduhan bahawa pasukan keselamatan menjadi dalang dalam tragedi pembunuhan di masjid itu.

Lebih daripada 3,500 orang telah terbunuh sejak Januari 2004 apabila kumpulan pemisah menyambung semula kempen bersenjata bagi mendapatkan kemerdekaan bagi wilayah Yala, Narathiwat dan Pattani yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam.

Jehrrming berkata, kerajaan yang ada sekarang di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva mendapat kerjasama yang baik daripada rakyat tetapi ramai yang takut untuk bekerjasama secara terbuka bagi mengekalkan keamanan di wilayah itu berikutan tindak balas daripada kumpulan pemberontak.

Walaupun dengan menghantar 60,000 anggota keselamatan di wilayah yang bergolak yang bersempadan dengan Malaysia, Jehrrming berkata, ia agak sukar bagi pasukan keselamatan untuk menyediakan perlindungan kepada keseluruhan penduduk sambil menambah bahawa polisi jangka panjang yang menggalakkan keadilan, pembangunan dan pendidikan yang lebih baik memainkan peranan yang penting bagi menyelesaikan krisis itu.

Beliau juga menafikan dakwaan di dalam sesetengah media Thai bahawa kumpulan pemberontak itu mendapat sokongan Malaysia dengan berkata Kerajaan Malaysia sedang bekerjasama dengan Thailand untuk membangunkan wilayah itu.

Katanya, adalah penting bagi kerajaan untuk mengambil penduduk tempatan yang berasa mereka dibiarkan sebegitu lama sambil memberi contoh reputasi ketiga-tiga wilayah itu sebagai antara yang termiskin antara 76 wilayah di Thailand walaupun mempunyai sumber semulajadi yang banyak.

Berhubung inkues Tak Bai yang membersihkan pegawai kerajaan daripada tuduhan berhubung kematian 85 orang Islam pada Oktober 2004, Jehrrming berkata, keputusan itu berdasarkan kepada siasatan yang dijalankan oleh kerajaan sebelum ini sambil menambah bahawa beliau percaya Abhisit akan memberi keutamaan terhadap kes itu jika keluarga terbabit membuat rayuan.

Sementara itu, Ketua Biro Bernama Kelantan, Mohd Razman Abdullah melaporkan dari Narathiwat, bahawa seorang anggota kumpulan pemisah yang hanya mahu dikenali sebagai Seman Abdullah berkata, adalah mustahil insiden itu dilakukan oleh kumpulan pemisah Islam.
"Kejadian itu tidak melambangkan tindakan puak pemisah Islam kerana perbuatan membunuh orang Islam sendiri bercanggah dari matlamat perjuangan asal," katanya.

Seman mendakwa kawasan serangan itu merupakan kubu kuat kumpulan pemisah dan tiada sesiapa yang berani menyerang kawasan itu kecuali pihak yang mempunyai kelengkapan senjata yang canggih serta maklumat perisikan yang tinggi.

"Kita tidak menuduh sesiap termasuk tentera atau askar upahan cuma tindakan itu akan mengundang tindak balas daripada pihak yang menjadi mangsa," katanya. - Bernama

No comments: