Monday, June 1, 2009

Calon PKR menang



MANSOR Othman (tengah) mengangkat tangan sambil diperhatikan calon Bebas, Nai Khan Ari (kanan) selepas diumumkan memenangi kerusi DUN Penanti di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.
BUKIT MERTAJAM 31 Mei - Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Mansor Othman menang dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti yang mencatatkan peratusan keluar mengundi paling buruk dalam sejarah pilihan raya negara ini.
Mansor, 59, menewaskan tiga calon Bebas dengan majoriti 5,558 undi iaitu bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56, yang memperoleh 392 undi; pengurus kilang, Nai Khan Ari, 41, (494) dan pengurus kem motivasi, Kamarul Ramizu Idris, 42, (56).
Aminah, Nai Khan dan Kamarul Ramizu hilang wang pertaruhan.
Pengumuman itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahaya kira-kira pukul 8.25 malam semalam di Pusat Pengumpulan Peti Undi di Dewan Perdana, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini.
Beliau turut mengumumkan bahawa pilihan raya tersebut mencatatkan 106 undi rosak.
Peratus keluar mengundi bagi pilihan raya kecil ini adalah sebanyak 46 peratus bersamaan dengan 7,100 undi daripada 15,384 pengundi berdaftar.
DUN Penanti mempunyai 15,384 pengundi biasa dan 24 pengundi pos dengan 72.68 peratus adalah pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina, 2.39 peratus India dan 0.71 peratus bangsa lain.
Pilihan Raya Kecil DUN Penanti diadakan selepas penyandangnya Mohammad Fairus Khairuddin meletak jawatan dengan alasan mahu melanjutkan pengajian ke peringkat pasca ijazah.
Dalam pilihan raya umum lalu, Mohammad Fairus memenangi kerusi tersebut dengan 7,346 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dengan majoriti 2,219.
Pengunduran Mohammad Fairus dikaitkan dengan tindakan PKR yang mahu kerusi DUN berkenaan dikosongkan bagi memberi laluan kepada Mansor yang dikatakan calon pilihan yang lebih layak memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri I.
Tidak mahu terjebak dengan mainan politik PKR, Dewan Tertinggi BN yang bermesyuarat pada 18 Mei lalu memutuskan untuk tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil DUN Penanti.
Keputusan itu dicapai sebulat suara pada mesyuarat tersebut yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

No comments: