Tuesday, June 16, 2009

Kaji selidik tolak kepulangan Chin Peng

YAN 15 Jun - Lapan puluh peratus daripada 10,000 responden kaji selidik berkumpulan Jabatan Penerangan Malaysia tidak mahu Chin Peng dibenarkan pulang mahupun diberi kerakyatan.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Datuk Abdullah Morad berkata, kaji selidik itu dilakukan di kalangan pelbagai kaum di seluruh negara setelah timbul cadangan pihak tertentu yang bersetuju membenarkan Chin Peng pulang atas aspek kemanusiaan.

"Kajian mendapati rakyat semua kaum tidak dapat menerima Chin Peng kerana kekejaman yang pernah dilakukannya sewaktu zaman darurat dan selepas negara mencapai kemerdekaan," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Program Sepakat Bestari peringkat Daerah Yan di Kampung Singkir Laut di sini hari ini.

Katanya, kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan Chin Peng dibenar pulang atas alasan kerajaan pernah membenarkan beberapa anggota komunis pulang ke tanah air hanya akan menimbulkan kekeliruan.

"Negara boleh menjadi porak-peranda dan rakyat akan terkeliru jika isu Chin Peng terus dimainkan oleh pemimpin politik pembangkang sebagai modal meraih simpati.

"Walaupun rakyat menolak hasrat kepulangan Chin Peng, tetapi masih ada pihak tertentu terutama pemimpin politik menjadikan ia sebagai isu," kata Abdullah. - BERNAMA

No comments: