Tuesday, May 12, 2009

Perubahan UMNO satu keperluan

Dipetik dari sumber : Bharian online

KUALA LUMPUR 11 Mei - Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan perubahan terhadap parti itu bukan lagi satu pilihan tetapi sudah menjadi satu keperluan yang tidak boleh dipandang ringan.
Sehubungan itu katanya, UMNO perlu berani membuat perubahan jika parti keramat orang Melayu itu mahu terus kekal relevan terutama di kalangan generasi muda hari ini.
Katanya, perubahan yang hendak dicapai juga hendaklah ikhlas dan sama sekali tidak boleh bersifat retorik semata-mata kerana rakyat hari ini memiliki minda yang kritis dan lebih terbuka.
Kata beliau, untuk UMNO mahu kekal, ia perlu merasai aspirasi dan denyutan nadi rakyat.
“UMNO tiada pilihan, kalau ingin menjadi parti relevan, parti yang teras pada pemerintahan, UMNO mesti merupakan parti berani buat perubahan, menerajui pembaharuan, berada di saf hadapan untuk menunjukkan hala tuju baru bagi negara kita secara keseluruhan.
“Kalaulah kita berada di kelok pembaharuan selama ini, kalaulah kita adalah parti yang menerajui perubahan, mengapa kita tidak sekali lagi bangkit dan muncul sebagai parti yang berani membuat perubahan.
“Saya yakin, walau pahit sekali pun pengalaman kita selama ini, walaupun kita berada di dalam keadaan getir, tetapi jika sanggup belajar daripada pengalaman waima pahit dan getir, kita jadikan itu sebagai ingatan dan sanggup lakukan perubahan besar, insya-Allah kita boleh bangkit menjadi parti lebih kuat, subur dan berjaya lagi,’’ katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan 63 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam ini.
Hadir sama Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Presiden, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Najib berkata, budi yang ditabur UMNO selama ini bukan kecil dan tidak boleh dinafikan, tetapi untuk parti itu terus mendapat tempat di hati rakyat, ia tidak hanya boleh bergantung kepada jasanya semata-mata.
“Saya mengajukan perubahan kerana mana-mana parti yang tidak berani buat perubahan, walaupun parti itu banyak jasa, akhirnya jasa itu akan tinggal dalam lipatan sejarah,” katanya
Tambah beliau, UMNO perlu menyemai budaya-budaya baru yang berpaksi pada semangat sanggup berkhidmat dan meletakkan kepentingan rakyat lebih daripada kepentingan lain.
“Budaya yang tawaduk, merendah diri, suka menyusur bersama-sama dengan rakyat mestilah budaya yang kita pupuk di kalangan ahli-ahli parti,” katanya.
Beliau berkata, jasa baik para pemimpin sebenarnya dinilai oleh rakyat sepanjang masa.
“Jangan ingat khidmat kita yang ikhlas itu tidak akan diperhatikan dan dihargai oleh rakyat, dan akhirnya sebagai orang Islam, kita percaya Allah SWT adalah penilai yang sebaik-baiknya kepada kita,” jelas beliau.
Pada majlis itu, beliau turut menyentuh gagasan pentadbirannya iaitu Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Katanya, soal Satu Malaysia bukanlah sesuatu yang baru sebaliknya penyambung kepada gagasan-gagasan para pemimpin lain sebelum ini.
“Apabila saya menyusul dengan Satu Malaysia, ia berpaksi kepada Perlembagaan negara kita, berpaksi pada Rukun Negara, hakikat dan realiti bahawa kita adalah negara majmuk dan kejayaan UMNO mestilah bersandar pada kejayaan orang Melayu dan sokongan rakan-rakan kita dalam Barisan Nasional (BN).
“Dengan semangat kebersamaan ini, maka kita akan dapat kekuatan yang baru untuk menghadapi pelbagai cabaran,” katanya.
Beliau juga menyentuh mengenai kemelut politik di Perak dan berkata, UMNO akan mencari penyelesaian yang terbaik berhubung perkara itu.
“Dalam sejarah UMNO, kita pernah terima keputusan mahkamah haramkan UMNO dan kita telah bangkit daripada keputusan itu dengan membina UMNO yang kita warisi sekarang.
“Saya percaya kita perlu ada semangat yang sama, kita menang dua keputusan mahkamah, kita kalah satu, kalau dari segi moralnya 2:1, ini bukan penghujung jalan, masih ada jalan untuk difikirkan langkah-langkah yang sewajarnya,” katanya.
Katanya, beliau akan bersama-sama pemimpin UMNO dan BN mencari akan berusaha bersama mencari jalan penyelesaian.

1 comment:

Budak Parit said...

Wahai Putri;
Untuk berubah UMNO perlu:
1. Tukar mindset - jagan percaya kepada perkara khurafat; misalnya UMNO parti keramat - Orang Melayu dah pergi keangkasa - jadi orang Melayu dah tak percaya kepada UMNO parti keramat lagi
2. Bersihkan UMNO dari rasuah - Walk the talk - this can be done by Najib himself, clean himself against the corrupt allegation - Altantuya, Scorpene submarine, Shukoi Jet fighter from Russia. Reprimand UMNO leader who is under rasuah investigation like Ali Rustam of Melaka
3. Jangan minta rakyat membalas budi - zaman dah maju - taktik ni rakyat tak main dgn konsep terhutang budi. Rakyat dah tau bahawa semua itu dah memeng tanggung jawap kerajaan yang memerintah.
4. Jangan dengar cakap cakap pengampu pengampu UMNO. Semua itu adalah pihak yang berkepentingan. Semua itu adalah sokong yang membawa rebah! Dengar cakap rakyat yang tidak berkepentingan - baru boleh percaya
5. Revamp semua dasar yang rakyat tak mahu - ISA, OSA, secret act, pelacuran institusi polis dan perundangan, SPR and badan pencegah rasuah. Semua badan ini should be answerable to parlimen, bukan kabinet. Jika diletakkan dibawah kabinet, sampai bila bila pun rakyat tak percaya bahawa badan badan ini adalah bebas!
6. Cakap biar serupa bikin - selesai kan isu Perak - kembalikan hak memilih kerajaan kepada rakyat Perak. Lagi panjang krisis diPerak, lagi raqmai yang hilang kepercayaan kepada UMNO!

Jadi Putri, bolehkah UMNO, sekurang kurangnya melakukan 6 perkara diatas - kalau tak boleh, jawapnya Najib bercakap macam ayam jantan - kokok berderai derai, ekor bergelumang tahi!