Tuesday, May 19, 2009

Isu Perak: BN sedia berunding selepas keputusan mahkamah

KUALA LUMPUR 18 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) sedia berunding dengan pakatan pembangkang berhubung kemelut di Perak tetapi ia akan dilakukan selepas mahkamah membuat keputusan.

Beliau berkata, pada peringkat ini masing-masing harus menghormati keputusan sedia ada tanpa membuat sebarang tindakan yang boleh menimbulkan kekacauan serta menjejaskan ketenteraman awam.

‘‘Buat masa ini kita belum lagi berunding dengan pihak pembangkang kerana kita perlu tentukan kedudukan kes ini di sisi undang-undang. Kes ini mesti disahkan oleh mahkamah terlebih dahulu.

‘‘Oleh itu saya minta semua menghormati proses undang-undang dan masing-masing tidak boleh melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan kekacauan dan sekali gus boleh menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Perdana Menteri bagaimanapun mengulangi pendiriannya bahawa pembangkang tidak harus menetapkan sebarang syarat bagi mengadakan pertemuan tersebut.

Menjawab satu soalan lain, Najib berkata, terpulang kepada BN Perak untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Sementara itu, beliau menjelaskan tidak ada isu berbangkit berhubung dengan jaminan kerajaan sebanyak RM5 bilion kepada pihak Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

‘‘Ini bukan dalam bentuk wang tetapi dalam bentuk jaminan kerajaan. Kita (Kerajaan Pusat) merupakan rakan kongsi dengan kerajaan negeri.

‘‘Secara umumnya kita membuat jaminan, ini bukan hanya setakat RM5 bilion tetapi RM11 bilion. Kita mahu TIA membuat pelaburan di seluruh negara dan bukan hanya di Terengganu sahaja,” katanya.

Beliau berkata, dengan cara tersebut ia boleh merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara selain mampu menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI).

Hasil daripada kerjasama itu, katanya, pihak Kerajaan Pusat akan memperoleh 10 peratus daripada keuntungan keseluruhan yang diperoleh TIA.

No comments: