Friday, May 29, 2009

KOMUNIS MENENTANG PENJAJAH? KENAPA MEMBUNUH?

DARI SURAT PEMBACA BERITA HARIAN 29/5/09 MS 34

Waris 12,000 korban komunis masih anggap Chin Peng ‘berhutang nyawa’SETENGAH abad lebih kemerdekaan menyaksikan negara berada dalam kestabilan politik, kemantapan dan kemajuan ekonomi selain kemakmuran serta kesejahteraan sosial segenap lapisan rakyatnya.Keadaan sedemikian dimungkinkan kerana perpaduan nasional yang padu dan erat, hasil kerjasama serta permuafakatan sehingga mengukuh semangat kekitaan dan kepunyaan seluruh masyarakat.Hakikat itu menjadikan kemerdekaan selama ini sebagai tanggungjawab masyarakat dalam proses pembinaan satu rupa bangsa dan negara Malaysia.Justeru, jika ada pihak mengambil kesempatan dengan usaha licik hendak mengeruhkan suasana harmoni sedia ada, pasti mereka akan dianggap petualang negara dan bangsa lantaran tidak mengambil kira atau menjaga sensitiviti rakyat.Tindakan kerajaan tidak membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, pulang ke Malaysia, seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah keputusan bijak dan jitu. Semua pihak patut menghormatinya.Keputusan kerajaan itu dibuat bagi mengelak timbul rasa kurang senang dan tidak puas hati di kalangan anggota pasukan keselamatan dan keluarga mereka yang pernah menjadi mangsa kekejaman komunis ketika darurat pada 1948-60 dulu.Malah, sensitiviti masyarakat setempat dan seluruh negara yang pernah merasai derita dan sengsara keganasan komunis turut tersentuh dan terbayang-bayang kegagalan Rundingan Damai Baling 1955 itu akibat keangkuhan komunis meneruskan perjuangan bersenjata.Chin Peng dilaporkan kini menetap di perkampungan khas di Selatan Thailand, persekitaran yang lazim kepadanya seperti terbongkarnya terowong rahsia tidak lama dulu.Menurut Gordon P Means (1976:290), darurat 12 tahun itu mengorbankan 11,609 nyawa termasuk 1,345 anggota keselamatan dan 2,473 orang awam.Angka itu belum mengambil kira yang cedera terhimpit dalam penderitaan sepanjang hayat.Kerajaan Persekutuan terpaksa menanggung kos RM203 juta (1953) dan RM169 juta (1954) untuk menentang ancaman komunis yang tidak beradab dan tidak berperikemanusiaan itu.Ketika Jepun menyerah kalah sementara menunggu ketibaan pasukan bantuan Inggeris dari India, Bintang Tiga mengambil kesempatan membunuh orang Melayu yang disyaki bersubahat dan bekerjasama dengan Jepun dan Inggeris.Mengikut cerita arwah bapa, ketika itu usia saya baru enam bulan dan seluruh kampung kami, Parit (2) Chikus (Sungai Manik) terletak tiga kilometer saja dari pekan Langkap, dijejaki dan digeledah puak berkenaan.Kami bersembunyi dalam semak beberapa langkah saja daripada jejak mereka.Mujur saya tidak menangis, sekali gus dapat menyelamatkan kami empat beranak sementara ramai jiran dikelar hidup-hidup sementara mayat mereka digantung di atas pokok dalam keadaan leher terkulai, menjadikan tempat itu fobia kepada penduduk sampai sekarang.Dalam perjumpaan dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Chin Peng dilaporkan berkata, perjuangan PKM yang diharamkan itu ialah menentang penjajah Inggeris.Kini, ada usaha diberitakan hendak menggiatkan fahaman komunis itu semula konon menentang penjajah bentuk baru.Biar apapun labelnya, ancaman komunis tetap berbahaya dan boleh merobek keamanan hidup rakyat, kestabilan politik nasional dan kemakmuran negara.Sensitiviti rakyat dapat dijaga dengan tidak mengungkit-ungkit nostalgia silam penuh tragis zaman darurat itu demi kelangsungan hidup berpremiskan perpaduan nasional sejati seperti dikecapi selama ini.
DR ILLIAS ZAIDI,Akademi Buku Malaysia,Kuala Lumpur.

No comments: