Tuesday, October 14, 2008

Pembangkang mengarut, buang masa


Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan tindakan parti pembangkang yang menetapkan Disember ini sebagai tarikh baru untuk menubuhkan kerajaan sebagai mengarut dan hanya membuang masa.

Perdana Menteri berkata, usaha pembangkang itu tidak akan berjaya kerana tiada sebab untuk untuk mana-mana anggota kerajaan melompat menyertai pembangkang yang kalah pada pilihan raya umum lalu.

"Mereka tak akan berjaya. Mereka ingat kita ini bodoh. Ahli kita tidak akan meninggalkan parti kerana Barisan Nasional (BN) adalah di pihak yang menang.

"Kita membentuk kerajaan yang kuat dan kita akan terus lakukan apa yang kita mampu untuk membangunkan negara. Ini adalah satu peluang bagi parti, jadi kenapa pula ada yang mahu meninggalkan parti,'' katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Serantau Amerika Syarikat-Dunia Islam di sini hari ini.

Abdullah diminta mengulas tarikh baru yang ditetapkan oleh Ketua Pembangkang. Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merampas kuasa daripada BN.

Selepas gagal mengambil alih kerajaan pada tarikh 16 September seperti disasarkan sebelum ini, Anwar dalam ceramahnya di Kota Bharu baru-baru ini dilaporkan menetapkan pula awal Disember sebagai tarikh baru menubuhkan kerajaan.

Ketua pembangkang itu seterusnya mendakwa beliau mempunyai cukup bilangan Ahli Parlimen BN yang akan melompat untuk membentuk kerajaan sebelum Hari Raya Aidiladha yang dijangka disambut pada 8 Disember depan.
Dipetik dari Utusan Malaysia

No comments: