Thursday, October 16, 2008

Hindraf diisytihar haram

KUALA LUMPUR 15 Okt. – Kerajaan hari ini mewartakan Hindu Rights Action Force (Hindraf) sebagai sebuah pertubuhan haram, satu tindakan yang menetapkan penglibatan sesiapa juga dalam pertubuhan itu merupakan satu kesalahan dari segi undang-undang.

Dalam satu kenyataan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, perintah itu dibuat hasil daripada pemantauan dan penyiasatan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) semenjak pertubuhan berkenaan ditubuhkan.

“Pengisytiharan itu diwartakan berkuat kuasa hari ini setelah (KDN) berpuas hati dengan segala fakta dan bukti bahawa Hindraf telah dan sedang digunakan bagi maksud memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara dan akhlak,” katanya.

Selain Hindraf, antara pertubuhan lain yang pernah diwartakan sebagai haram ialah Parti Komunis Malaya (PKM), Nasrulhaq, Al-Maunah dan Al-Arqam.

PKM diwartakan sebagai pertubuhan haram kerana mengangkat senjata menentang kerajaan dan pemberontaknya mencetuskan kacau bilau melalui cara keganasan dan membunuh anggota tentera sejak zaman sebelum merdeka.

Pergerakan Al-Arqam diharamkan berikutan kegiatan dan ajaran sesatnya menggugat ketenteraman negara.

Anggota-anggota Al-Maunah pula merompak senjata dari kem tentera bagi menggulingkan kerajaan. Beberapa ketuanya kemudian dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memerangi Yang di-Pertuan Agong dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Menurut Syed Hamid, kegiatan Hindraf bertentangan dengan Seksyen 5(1) Akta Pertubuhan 1966 dan ia boleh memudaratkan keselamatan awam, keamanan, ketertiban dan nilai-nilai moral di negara ini.

Beliau berkata, jika kegiatan Hindraf tidak dibendung, ketenteraman awam dan kedaulatan negara bakal terancam di samping keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum akan turut terjejas.

Jelasnya, tindakan pengharaman yang diambil itu bukan berasaskan kepada satu atau dua kegiatan Hindraf yang menyalahi peraturan dan undang-undang tetapi meliputi rentetan semua kegiatan serta aktiviti semenjak Hindraf ditubuhkan.

Selain itu, beliau mengakui Hindraf mempunyai ciri-ciri sebagai sebuah pertubuhan kerana mengemukakan permohonan pendaftaran kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 16 Oktober 2007.

Walaupun pendaftarannya tidak pernah diluluskan, pertubuhan Hindraf telah bergerak aktif dengan menganjurkan beberapa perhimpunan awam dan demonstrasi tanpa permit serta mengeksploitasi isu-isu perkauman.

Kesan kegiatan Hindraf itu, ujar Syed Hamid, ia mencetuskan kebangkitan penentangan sebahagian rakyat keturunan India terhadap kerajaan serta menimbulkan kebencian di antara orang Melayu dan India di negara ini.

Di samping itu, Hindraf juga, kata beliau, berusaha mendapatkan sokongan dari negara asing bagi memberi tekanan kepada kerajaan supaya tunduk kepada tuntutan-tuntutan mereka sehingga memberi kesan buruk kepada imej negara.

Menteri Dalam Negeri itu menasihatkan orang ramai supaya tidak melibatkan diri dengan pertubuhan Hindraf yang diharamkan dalam apa cara sekali pun pada masa akan datang.
************************************************************************************
Putri lega akhirnya HINDRAF diharamkan. Jangan la pulak nanti isu ni nak di politikkan dan wujud pulak statement "diskriminasi". Terang-terang apa yang dibuat HINDRAF ni salah. Sepatutnya lepas kejadian pertama tu HINDRAF dimansuhkan. Tapi kerajaan masih lagi memberi peluang mereka membetulkan keadaan. Sampailah kejadian terbaru yang putri rasa semua rakyat tahu iaitu sikap kurang ajar mereka yang tidak menghormati Majlis Rumah Terbuka sempena Aidilfitri. Syabas kerajaan. Langkah ini memang wajar dan patut sangat agar rakyat tahu mengikut undang-undang.
-putrimalaysia-

No comments: