Thursday, October 23, 2008

Bahagian Sokongan Keluarga ditubuh

Dipetik dari Utusan Online

PUTRAJAYA 22 Okt. - Malaysia menjadi negara Islam pertama mewujudkan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di bawah Jabatan Kehakiman Syariah (JKS) bagi mengatasi masalah penguatkuasaan perintah mahkamah berhubung soal pemberian nafkah dan penjagaan anak selepas perceraian

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pewujudan bahagian tersebut adalah komitmen JKS bagi memastikan wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa perceraian mendapat perlindungan serta dapat menjalani kehidupan dengan sempurna.

Menurutnya, ia juga merupakan antara usaha berterusan JKS dalam memartabatkan perundangan Islam di negara ini.

''BSK adalah lambang kepada komitmen JSK untuk menguatkuasakan perintah mahkamah dalam soal pemberian nafkah kepada bekas isteri dan anak-anaknya setelah berlaku perceraian.

''Perintah mahkamah walaupun diterima namun pelaksanaan tidak dapat dilakukan disebabkan kedegilan, kegagalan dan ketidakmampuan suami," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Penubuhan BSK di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie, Datuk Ibrahim Lembut.

Pada majlis itu, JSK menerima RM500,000 daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk diagihkan kepada BSK seluruh negara.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya berharap BSK dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan berkesan, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang agak sukar masa kini.

Malah, kata beliau, ia juga selaras dengan harapan masyarakat Islam mahu melihat institut kekeluargaan Islam di negara ini diurus dengan baik.

''Harapan itu perlu kerana kita tidak mahu lagi melihat perundangan Islam dilihat sebagai sistem alternatif sebaliknya ia harus menjadi tunjang kepada sistem yang ada di dunia ini.

''Saya percaya dalam suasana masalah ekonomi, politik dan sosial yang semakin rumit untuk diselesaikan, kini adalah masa yang sesuai untuk kita tonjolkan kelebihan sistem perundangan Islam," katanya.

************************************************************************************************

Tahniah dan syabas diucapkan kepada Malaysia dengan tertubuhnya Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di bawah Jabatan Kehakiman Syariah (JKS) bagi mengatasi masalah penguatkuasaan perintah mahkamah berhubung soal pemberian nafkah dan penjagaan anak selepas perceraian. Diharap bahagian ini bukan hanyalah pada nama dan dapat dijalankan dengan jayanya dalam memartabatkan sistem perundangan Islam....

-putrimalaysia-


1 comment:

PUTRAMAHKOTA said...

Bhg Sokongan Keluarga

Perlaksanaan BSK perlu dipertingkatkan dalam aspek pengurusan di peringkat pentadbiran agar pihak JKS dapat membuat satu MOU dengan Majlis agama islam di semua negeri berhubung dengan bantuan dana dari baitumal, zakat. serta mengadakan muqabalah bersama dengan Majlis fatwa kebangsaan agar peruntukkan BSK diletakkan dalam bentuk asnaf yang bagaimana? sbb ianya berkaitan dengan duit zakat.