Wednesday, May 12, 2010

Kaji sejarah sebelum tuduh kerajaan kuku besi

KUALA LUMPUR 11 Mei - Parti pembangkang perlu mengkaji semula sejarah tanah air sebelum menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagai pemerintah kuku besi.

Saranan itu dikemukakan oleh ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyifatkan pembangkang sengaja melemparkan tohmahan itu untuk meraih simpati rakyat.

Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, sejak pilihan raya bandaran pada 1951, rakyat negara ini mula diberikan kebebasan untuk memilih pemerintah daripada parti-parti yang bertanding.

''Banyak calon bertanding pada setiap pilihan raya umum tetapi rakyat negara ini terus memberikan mandat kepada BN untuk memerintah,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menolak dakwaan pemimpin pembangkang bahawa Malaysia sebuah negara kuku besi kerana pembangkang tidak mampu membentuk sebuah kerajaan.

Ramlah berkata, peluang terbuka luas untuk mana-mana parti bertanding dalam pilihan raya dan ia jelas membuktikan kerajaan BN tidak pernah melanggar prinsip demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini.

''Kerajaan juga tidak pernah mewujudkan undang-undang untuk menyekat penubuhan mana-mana parti pembangkang,'' katanya.

Jelas Ramlah, parti pembangkang di negara ini bukan sahaja boleh terus berkembang tanpa sebarang gangguan, malah kepimpinannya juga diwarisi dalam sesebuah keluarga.

Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid pula menjelaskan, demokrasi yang diamalkan oleh negara ini tidak mungkin akan diperoleh di negara-negara lain.

''Parti pembangkang sengaja mendakwa demikian kerana sehingga kini mereka masih gagal mendapat kepercayaan rakyat untuk menjadi pemerintah.

''Sebenarnya pemerintah negara bukan kuku besi tetapi 'terlampau' demokrasi kerana sanggup melayan tuntutan dua tiga orang sahaja atas alasan tidak puas hati di atas sesuatu perkara ,'' katanya.

Bagi Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia (PPPMM), Profesor Datuk Dr. Kamarudin Kachar, slogan 1Malaysia 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan kerajaan begitu mengutamakan rakyat dan jauh sekali daripada bersikap kuku besi.

''Slogan ini sudah cukup tepat bahawa kerajaan bersedia untuk mendengar dan cuba menyelesaikan apa jua masalah rakyat,'' katanya.

Sehubungan itu Kamarudin berkata, tuduhan parti pembangkang bahawa pemerintah sekarang adalah kuku besi perlu ditolak sama sekali oleh rakyat.-utusanonline-

No comments: