Tuesday, May 11, 2010

1700 lagi ahli

1,700 lagi ahli PKR keluar parti

KULIM 10 Mei – Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kawasan Parlimen Padang Serai dan Kulim- Bandar Baharu hampir lumpuh apabila 1,700 ahlinya malam tadi mengisytiharkan keluar parti kerana hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebahagian besar daripada mereka merupakan masyarakat India yang menjadi ahli di cawangan Jalan Kattu Raja, Paya Besar, Taman Saderi, Taman Makmur, Taman Mutiara, Taman Sunga Kob, Taman Ria dan Pekan Padang Serai dalam Parlimen Padang Serai.

Cawangan-cawangan tersebut turut dibubarkan dan dua cawangan PKR dalam Parlimen Kulim- Bandar Baharu yang mengikut langkah sama ialah di Kampung Padang Buluh dan Ladang Dublin Pusat.

Seorang usahawan, R. Letchumanan, 60, yang mengetuai kumpulan terbabit berkata, keputusan membubarkan cawangan PKR dan jawatankuasa terbabit dibuat serta merta selepas mendapat mandat majoriti ahli yang tidak lagi percaya dengan perjuangan PKR .

Katanya, semua yang meninggalkan parti akan menyertai MIC dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Barisan Nasional (BN).

‘‘Kita sudah bosan dengan janji kosong pemimpin PKR lebih-lebih lagi Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan yang berlagak pandai dan cakap tak serupa bikin.

“Sudah dua tahun kami terpedaya, kini kami tak mahu lagi diabaikan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan borang menyertai MIC kepada Timbalan Pengerusi BN Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md. Hanipah pada majlis pemimpin bersama rakyat di Dewan Kattu Raja, Jalan Paya Besar, dekat sini malam tadi.

No comments: