Thursday, August 6, 2009

Beng Hock bunuh diri?

NOOR AZMAH IBRAHIMpengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 5 Ogos – Prosiding inkues siasatan kematian Teoh Beng Hock yang bermula hari ini diberitahu, terdapat kesan darah yang telah kering di bahagian lutut dan mulut mayat lelaki itu yang ditemui di koridor tingkat lima Plaza Masalam, selain seluarnya terkoyak.

Maklumat awal yang diterima pihak polis, lelaki itu disyaki membunuh diri.

Gambaran penemuan mayat tersebut diberikan oleh saksi kedua inkues iaitu juruteknik di bahagian penyelenggara di Plaza Masalam, Mohd. Ridzuan Samsuri selepas melihat mayat berkenaan.

Sejurus terpandang mayat tersebut, menurutnya, perasaannya bertukar panik dan tidak mampu mengeluarkan kata-kata hingga sukar bergerak serta terpaksa berjalan sambil tangan memegang dinding.

Mohd. Ridzuan memberitahu Mahkamah Koroner, dia pergi ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan telefon daripada pengawal keselamatan yang dipanggilnya sebagai Kak Siti selepas dimaklumkan ada orang tidur di koridor dalam keadaan mencurigakan.

Jelasnya, dia yang ketika itu berada di Restoran Pelita, tingkat dua plaza itu bersama rakannya bernama Rosli telah bergegas ke bahagian bumbung di tingkat lima bangunan itu.

‘‘Dalam perjalanan, saya ternampak memang ada seorang sedang berbaring dalam keadaan mencurigakan. Saya tidak menyentuhnya sebaliknya menghubungi penyelia,’’ kata saksi ketika disoal oleh peguam Tan Hock Chuan yang mewakili kerajaan Malaysia bagi membantu inkues.

Ketika disoal peguam pemerhati, Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Beng Hock mengenai laluan ke tempat mayat dijumpai, saksi menyatakan, laluan yang dimaksudkan bukan sahaja tidak boleh diakses oleh orang ramai bahkan tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

Katanya, hanya dua cara untuk masuk ke kawasan tersebut iaitu melalui tingkap pejabat tetapi perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu, itupun dengan cara melalui pintu jeriji.
Cara seterusnya, tambah saksi, ia perlu terlebih dahulu dilaporkan kepada pihak keselamatan dan bahagian penyelenggaraan sebelum jeriji dibuka.

Selain itu, menurut Mohd. Ridzuan, terdapat catatan log bagi petugas bahagian penyelenggara dan pihak keselamatan untuk masuk ke situ.

Mengenai sistem pendingin hawa, katanya, bagi ruangan kompleks beli belah tiada sistem kawalan penghawa dingin berpusat manakala bahagian pejabat pula termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pendingin hawa akan ditutup pada pukul 6 petang.

Ketika disoal oleh peguam Sreekant Pillai bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor, saksi memberitahu, dia hanya memandang mayat dari arah depan dan sisi tetapi tidak menelitinya dengan rapi.

Disoal oleh peguam Cheow Wee bagi pihak Majlis Peguam berhubung dua anak kunci jeriji besi, jelas Mohd. Ridzuan, ia disimpan oleh bahagian penyelenggara dan bahagian keselamatan.

Sementara itu, saksi ketiga inkues, penolong kanan bahagian keselamatan plaza itu, Mohd. Khairul Izwan M. Nasir, 29, pula menyatakan, dia ternampak seorang lelaki berkulit putih dalam keadaan mengiring sebelah kanan dan di kepala pula terdapat kesan darah yang sudah kering.

Mayat tersebut, katanya, telah ditutup olehnya dan Rosli menggunakan plastik hitam dan bahagian bucu dihimpit dengan batu bata setelah mendapat arahan ketuanya.

Berdasarkan beberapa keping gambar yang dirujuk kepada Mohd. Khairul, saksi itu memberitahu, dia tidak pasti sama ada bahagian poket seluar mayat dalam keadaan terkeluar atau sebaliknya.

Namun saksi itu pasti, seluar mayat terkoyak dan mempunyai kesan darah.

Dalam pada itu, Lans Koperal Abd. Karem Othman selaku saksi keempat menyatakan, maklumat awal yang diterima melalui panggilan telefon menyatakan tentang penemuan mayat lelaki Cina disyaki membunuh diri di Plaza Masalam.

Menurut anggota polis dari bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, maklumat awal itu dimaklumkan oleh seorang lelaki bernama Mohd. Khairul.

Selain itu, maklumat yang diterima daripada unit kereta peronda mengesahkan memang benar ada mayat lelaki Cina dipercayai membunuh diri.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas bersambung esok.

No comments: