Wednesday, July 15, 2009

Petanda angin perubahan

utusan.com.my

PASUKAN FRU cuba menenangkan penyokong Pas yang cuba bertindak agresif di tempat pembuangan undi Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai di SK Manek Urai, semalam.

TRONOH 14 Julai - Kekalahan tipis calon Barisan Nasional (BN) kepada calon Pas pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai hari ini menunjukkan angin perubahan daripada rakyat bertiup kuat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejayaan mengurangkan majoriti Pas pada pilihan raya umum lepas yang melebihi 1,200 undi merupakan satu isyarat jelas bahawa rakyat mahukan pembaharuan.

''Saya rasa bersyukur walaupun kita kalah 65 undi. BN berjaya kurangkan majoriti tetapi malangnya kita tidak dapat undi yang boleh meletakkan kita dalam keadaan menang.

''Saya rasa kita tidak harus kecewa kerana keputusan ini menunjukkan ada peningkatan sokongan yang cukup jelas kepada BN," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis tilawah al-Quran peringkat kebangsaan kali ke-52 di Universiti Teknologi Petronas di sini malam ini.

Muhyiddin mengulas mengenai kegagalan BN merampas kerusi DUN Manek Urai selepas calonnya tewas kepada Pas dengan majoriti tipis 65 undi.

Pas mengekalkan kerusi DUN Manik Urai setelah calonnya, Mohd. Fauzi Abdullah mengalahkan calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, keputusan itu juga menunjukkan petanda rakyat sudah mula memahami dan boleh menilai kepimpinan berwibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membawa pembaharuan kepada negara.

Justeru katanya, pemimpin dan penyokong BN tidak harus berasa terlalu kecewa malah perlu menjadikannya sebagai pendorong untuk bekerja lebih keras agar angin perubahan itu terus berlaku.

Sementara itu di KUALA KRAI, Tuan Aziz tidak kecewa dan patah semangat dengan kekalahannya malah akan meneruskan perjuangan membela kebajikan dan kesejahteraan penduduk Manek Urai.

Beliau berkata, kemenangan tipis Pas itu akan menjadi perangsang kepadanya untuk bekerja lebih keras terutama untuk menarik sokongan golongan muda kepada BN.

Pada masa sama, katanya, pengundi tua tidak akan sesekali dilupakan dalam agenda perjuangannya.

"Saya akan muhasabah dan lihat apa-apa faktor kekurangan dan membaikinya. Dalam pilihan raya kecil kali ini pengundi muda termasuk pengundi luar telah menunjukkan kembali sokongan mereka kepada BN dan UMNO," katanya pada sidang akhbar di sini malam ini.

Pengarah Jentera BN Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Datuk Mustapa Mohamed pula menyifatkan, keupayaan BN mengurangkan majoriti Pas kepada hanya 65 undi daripada 1,352 undi sebelum ini merupakan satu kemenangan moral kepada UMNO dan BN.

Katanya, ia mencetuskan permulaan kepada kebangkitan UMNO dan BN serta bukti jelas penerimaan rakyat terhadap pentadbiran Najib.

"Saya berpuas hati dengan proses demokrasi yang berjalan lancar tetapi amat kecewa dengan budaya samseng yang ditunjukkan oleh Pas, ia adalah amat memalukan bagi sebuah parti yang kononnya memperjuangkan Islam," katanya pada sidang akhbar yang sama.

Mohd. Fauzi pula ketika ditemui pemberita mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi yang memilih beliau untuk mewakili mereka.

"Saya ucap terima kasih kepada yang mengundi saya dalam pilihan raya ini, juga kepada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis," katanya.

Di KUALA LUMPUR, Ketua Penerangan UMNO Ahmad Maslan berkata, kemenangan tipis Pas membuktikan sokongan penyokong pembangkang telah mula kembali kepada BN dan rakyat mula menerima pendekatan yang diterapkan oleh BN.

Dari segi majoriti, tegasnya, BN dapat mengurangkan majoriti Pas di DUN Manek Urai apabila ada sebilangan pengundi yang sebelum ini tidak menyokong BN, telah kembali menyokong BN.

"Saya secara peribadi tidak merasa kecewa kerana bukan kesemua peti undi kita (BN) kalah... ada juga yang kita menang. Bagaimanapun kita telah berusaha sedaya upaya," kata Ahmad, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri kepada Bernama.

No comments: