Monday, July 27, 2009

H1N1 ,kita wajar bimbang

KLANG 26 Julai - Penularan wabak Influeza A (H1N1) di negara ini semakin membimbangkan apabila jumlah penduduk tempatan yang diserang virus itu hampir mencatatkan 100 peratus bagi kes yang dicatatkan pada setiap hari.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, semalam misalnya 53 daripada 54 kes yang dicatatkan adalah penyebaran tempatan dan rakyat perlu merasa bimbang dengan perkembangan tersebut.

Menurutnya, kerajaan tidak mahu rakyat panik dengan situasi tersebut tetapi tidak dapat mengelak melaporkan perkara yang betul kepada media kerana kerajaan bersikap telus dan tidak menyembunyikan maklumat.

''Kita mahu dengan maklumat ini orang ramai lebih perhatian untuk menjaga kebersihan diri dan premis serta bekerjasama mengawal virus ini daripada terus merebak," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Derma Darah di Klang Parade di sini hari ini.

Tiong Lai memberitahu daripada sebanyak 1,075 kes H1N1 dicatatkan di negara ini setakat semalam hanya satu kematian dicatatkan atau 0.4 peratus manakala 574 kes diklasifikasikan kes import.

Katanya, sehingga kini empat pesakit masih dirawat di hospital dengan tiga daripadanya di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala seorang di wad biasa.

Katanya, walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengakui penularan wabak ini tidak boleh dihentikan tetapi hanya boleh diperlahankan, ekoran itu rakyat perlu bekerjasama menjaga kebersihan diri, premis dan alam sekitar.

''Kerajaan telah mengambil langkah sewajarnya seperti pemeriksaan dan kuarantin. Rakyat pula mestilah berkerjasama terutama bertindak cepat jika diserang simptom dijangkiti H1N1 dan sentiasa mengutamakan kebersihan dalam kehidupan seharian," ujarnya.

Namun katanya, setakat ini penyebaran virus itu masih di peringkat kluster iaitu hanya melibatkan sesuatu kumpulan seperti di pusat pengajian tinggi atau sekolah tetapi akan berubah kepada tahap paling membimbangkan jika menyerang tempat awam seperti berlaku di London, Bangkok dan Manila.

**************************************************************************************
Bagi memperlahankan penularan wabak ini, kerjasama orangramai amatlah diperlukan untuk melaksanakan langkah-langkah berikut:
  • Orang ramai diminta untuk terus dan sentiasa mengamalkan kebersihan diri terutamanya membasuh tangan secara rutin dan etika batuk. Mereka juga perlu mengamalkan social distancing (menjarakkan kedudukan sekurang-kurangnya 1 meter dengan individu lain serta mengurangkan majlis perjumpaan).
  • Mereka yang mempunyai tanda-tanda penyakit dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan daripada klinik-klinik yang berdekatan. Kes-kes yang bergejala ringan boleh berehat di rumah dengan sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran di tahap yang optimum.
  • Mereka juga dinasihatkan memakai mask dan jika gejala bertambah teruk untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut. Panduan menilai tahap kesihatan diri di rumah telah di muat naik ke laman web Kementerian Kesihatan sebagai rujukan orang awam.
  • Kejadian-kejadian jangkitan influenza-like illness (ILI) atau jumlah ketidakhadiran (absenteeism) di sekolah atau di tempat kerja yang luar biasa, hendaklah dilaporkan ke Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat untuk siasatan lanjut.
  • Bagi pelajar yang terlibat dengan penutupan kelas atau sekolah termasuk intitusi pengajian tinggi, perlu dimaklumkan bahawa hanya mereka yang tiada bersimptom sahaja dibenarkan kembali ke tempat pengajian mereka.
  • Mereka yang masih bersimptom perlu terus berehat di kediaman masing-masing sehingga sembuh atau tiada bersimptom. Tindakan ini perlu kerana mereka yang bersimptom masih mempunyai risiko untuk menularkan virus influenza kepada rakan karib mereka.

Maklumat influenza A(H1N1) termasuk aktiviti pencegahan boleh didapati melalui laman web Kementerian Kesihatan iaitu http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my ataupun melalui Talian Hotline influenza A(H1N1) Kementerian Kesihatan 03-88810200, 03-88810300, 03-88834414 dan 03-88834415 yang beroperasi antara 8.00 pagi hingga 9.00 malam setiap hari termasuk hari cuti dan kelepasan am.

No comments: