Thursday, June 19, 2008

Apa dah jadi ni SAPP?


Ali Rustam gesa MP BN tolak usul


Oleh Bernama
Khamis, 19 Jun 2008
MELAKA: Semua anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) perlu menolak usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen Isnin ini, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Beliau berkata semua anggota parlimen BN perlu mempertahankan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN.
"Tindakan untuk mengemukakan usul tidak percaya kepada Perdana Menteri di parlimen (dijangka Isnin ini) adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tidak demokratik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini sebagai mengulas kenyataan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee hari ini bahawa partinya telah hilang kepercayaan terhadap Abdullah dan dua anggota parlimennya Eric Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawau) akan menyokong usul itu.
Mohd Ali yang juga Ketua Menteri Melaka berkata "Yong Teck Lee dan SAPP perlu dipecat daripada menjadi anggota BN".
Beliau berkata semua anggota parti komponen BN mesti ada disiplin dan mesti membincangkan hal-hal parti.
"Dalam mesyuarat BN beliau (Yong) menyatakan sokongan kepada Abdullah sebagai Perdana Menteri dan presiden BN bagaimana di luar beliau menyatakan hilang keyakinan kepada Perdana Menteri yang juga Presiden BN," katanya.
Di PUTRAJAYA, Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Shahrir Abdul Samad berkata beliau yakin tindakan yang diambil oleh SAPP itu tidak akan menyebabkan parti komponen lain dalam BN mengambil tindakan yang sama.
"Saya tidak fikir begitu. Saya tidak fikir mereka dengan tiba-tiba satu keadaan di mana anggota BN lain akan meninggalkan parti ini.
"Saya tidak fikir mereka mempunyai kepimpinan atau pun mereka konsisten dalam isu mereka kerana anda dengar pelbagai komen yang dibuat oleh anggota Parlimen berlainan daripada parti itu.
"Ia agak tidak jelas apa mereka lakukan. Jadi, kita tidak pasti apa yang mereka buat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Shahrir yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata beliau tidak nampak usul yang akan dibawa oleh dua anggota Parlimen Sabah pada sidang Parlimen minggu depan akan mendapat sambutan.
Beliau berkata ini kerana wakil kerajaan akan membentangkan usul mengenai kenaikan harga barang dan petrol, termasuklah isu subsidi dan inflasi untuk dibahaskan pada sidang tersebut.
"Ia masih belum jelas apa sebenarnya yang akan berlaku. Mungkin akan ada perkara lain akan berlaku. Tentunya tidak wajar buat kenyataan masih kabur, saya sendiri tidak pasti apa pendirian SAPP.
"Tetapi pokoknya dalam sistem Parlimen, bagaimana nak menguruskan usul undi tak percaya itu? Kalau ia seperti usul atau perbahasan, kita lihatlah. Pokoknya memang ada usul kerajaan pada hari Isnin dan kita lihat bagaimana sambutan kepada usul ini," katanya.
Mengulas mengenai kepimpinan Abdullah, Shahrir berkata : "Beliau telah menemui pemimpin akar umbi dan dalam keadaan baik bagi seseorang yang dilihat dan nampaknya diserang dari setiap sudut.
"Beliau masih membuat keputusan yang agak jelas dan tegas dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri," kata Shahrir.
----------------------------------------------------------------------

No comments: