Friday, April 3, 2009

Abdullah serah surat letak jawatan / Najib angkat sumpah hari ini

Dipetik dari : Utusan



KUALA LUMPUR 2 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi menyerahkan surat peletakan jawatan serta memohon perkenan baginda bagi pelantikan penggantinya, Datuk Seri Najib Tun Razak.



Beliau yang menaiki kenderaan rasmi, Proton Perdana Eksekutif berwarna hitam dengan nombor pendaftaran WCH 13 memasuki pintu pagar utama Istana Negara tepat pukul 10 pagi, lima minit selepas ketibaan Tuanku Mizan.



Sejurus berakhir majlis berkenaan, Abdullah hanya membuat kenyataan ringkas bahawa beliau menyerahkan perkara berkenaan kepada Tuanku Mizan.



“Terserah kepada Tuanku,” katanya kepada pemberita yang memenuhi pekarangan luar Istana Negara.



Beliau meninggalkan Istana Negara 55 minit kemudian sambil tersenyum ceria dan melambaikan tangan kepada lebih 80 petugas media tempatan dan luar negara yang berkumpul sejak pukul 7.30 pagi.



Sementara itu, Najib pula kelihatan memasuki Istana Negara pukul 11.20 pagi untuk menghadap Tuanku Mizan berhubung peralihan kuasa itu.



Beliau yang menaiki Proton Perdana dengan nombor pendaftaran WRP 11 meninggalkan Istana Negara pada pukul 12.15 tengah hari.



“Terima kasih” kata Najib sambil melambaikan tangan dan tersenyum kepada petugas media.



Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dalam satu kenyataannya semalam berkata, Tuanku Mizan berkenan supaya istiadat mengangkat sumpah jawatan Najib sebagai Perdana Menteri diadakan pada pukul 10 pagi esok di Istana Negara.



*****************************************************************************************



KUALA LUMPUR 2 April – Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keenam di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara, esok.


Istiadat pengurniaan suratcara pelantikan dan mengangkat sumpah serta menyimpan rahsia itu dijadual berlangsung di Balairong Seri bermula pukul 10 pagi.


Majlis bersejarah yang dihadiri semua anggota Jemaah Menteri itu akan disiarkan secara langsung oleh TV1.


Najib yang mengambil alih jawatan Presiden UMNO daripada Abdullah pada Perhimpunan Agung parti minggu lalu, dijangka mengumumkan senarai menteri Kabinet pada Rabu depan.


Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dalam kenyataannya hari ini mengumumkan Tuanku Mizan telah memperkenankan pelantikan Najib sebagai Perdana Menteri.


Selepas upacara angkat sumpah, pada sebelah petang, Abdullah yang menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri pada 30 Oktober 2003 dijadual menyerahkan nota serah tugas kepada Najib di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.


Selain dihadiri anggota Jemaah Menteri turut dijadual bersama pada majlis berkenaan ialah Mohd. Sidek dan semua ketua setiausaha kementerian.


Najib kemudiannya akan menyampaikan ucapan sulungnya kepada kakitangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) sejurus majlis penyerahan nota serah tugas itu selesai.

*******************************************************************************************

Putri: Terima kasih Pak Lah ...ini bukanlah titik noktah perjuangan Pak Lah.Selagi Pak Lah masih punya nyawa perjuangan Pak Lah perlu diteruskan walaupun sudah tidak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri. Terima kasih di atas segala perjuangan yang telah dicurahkan ...jasa Pak Lah akan kami kenang dan hargai sampai bila-bila. Kepada Dato Seri Najib, selamat berjuang.walaupun pelbagai onak duri dan gelombang yang mendatang akan kami sama-sama berganding bahu dan kami akan sentiasa berada di belakang Dato Seri.

No comments: