Thursday, February 12, 2009

Pilihan raya kecil Bukit Gantang, Bukit Selambau mungkin serentak:SPR

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menolak kemungkinan tarikh pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang, Perak dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Selambau, Kedah diadakan serentak.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata keputusan mengenai perkara itu akan diputuskan pada mesyuarat khas esok, selepas pihaknya meneliti serta membincangkan dokumen berkaitan kekosongan kedua-kedua kerusi itu. Katanya, mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya kecil hanya boleh diadakan jika SPR dapat memastikan bahawa adanya kekosongan pada satu-satu kerusi Parlimen atau Dun berkenaan. “Bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang...kalau (penyandang) meninggal dunia, sudah tentu ada kekosongan. Kerusi Bukit Selambau pula, kita akan dapatkan maklumat dan dokumen sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

“Kalau kita dapat pastikan ada kekosongan kerusi DUN Bukit Selambau, kita akan adakan pilihan raya kecil. Kemungkinan lain (kalau tiada kekosongan), Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) sedia ada kekal,” katanya. Abdul Aziz berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada petugas-petugas pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu di sini, malam tadi. Kekosongan kerusi Parlimen Bukit Gantang berlaku ekoran kematian penyandangnya, Roslan Shaharum daripada PAS akibat diserang sakit jantung pada Isnin. Pada hari yang sama, V Arumugam, Dun Bukit Selambau. “Kita kena lihat semua aspek dan tidak membuat keputusan disebabkan dorongan pihak-pihak tertentu atau sebab kita menyokong pihak tertentu...tidak sama sekali.

“SPR menjalankan tugas dengan profesional, berdasarkan kepada undang-undang serta dokumen-dokumen yang diserahkan kepada kita. Setakat ini, pegawai-pegawai saya sedang siapkan dokumen berkenaan,” katanya. Terdahulu ketika berucap, Abdul Aziz berkata, pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang berlangsung dalam keadaan aman 17 Januari lalu, mendapat pujian daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin serta Jemaah Menteri dan pemimpin parti-parti politik. Katanya, semasa menghadap Tuanku Mizan bagi memaklumkan mengenai pilihan raya kecil itu baru-baru ini, Seri Paduka berasa bangga pilihan raya kecil itu dikendalikan dengan baik. Abdul Aziz berkata, pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu akan menjadi penanda aras serta contoh kepada mana-mana pilihan raya akan datang di negara ini. Calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut memenangi pilihan raya kecil itu dengan memperoleh 32,883 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang meraih 30,252 undi manakala calon, Bebas Azharudin Mamat @ Adam mendapat 193 undi. -Bernama
************************************************************************************************
putrimalaysia : Tahniah kepada kerajaan BN yang berjaya merampas kembali Perak daripada PR. Jangan sia-siakan peluang yang ada dan teruslah berkhidmat dengan lebih baik daripada sebelumnya...putri doakan kedua-dua pilihan raya ini akan memihak kepada BN...walaupun putri tahu bukan mudah namun jangan berundur sebelum berjuang.....

No comments: