Tuesday, December 2, 2008

BN akan hadapi saingan sengit


KUALA LUMPUR 1 Dis. - Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said mengakui Barisan Nasional (BN) akan berhadapan saingan sengit pembangkang dalam usaha mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil nanti.
Katanya, ini kerana tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Wakaf Mempelam, Ladang dan Batu Burok dalam Parlimen itu dimenangi Pas pada pilihan raya umum Mac lalu, manakala hanya satu kerusi DUN dimenangi BN iaitu Bandar.
"Kita akui mungkin berhadapan pertandingan sengit tapi kita akan tetap pertahankan," katanya.
Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Projek Buku Elektronik antara Kerajaan Terengganu, syarikat Top IT Industries Sdn. Bhd., Intel Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Kerusi Parlimen Kuala Terengganu kosong apabila penyandangnya yang merupakan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail meninggal dunia secara mengejut pada Jumaat lalu, kerana diserang sakit jantung.
Ditanya mengenai calon kerusi tersebut nanti, Ahmad berkata, buat masa ini beliau masih belum membuat sebarang keputusan mengenainya lagi.
"Sudah tentu kita akan pilih calon yang ada potensi untuk menang. Bila sudah ada senarai calon nanti saya akan serah kepada Perdana Menteri. Keputusan akhir beliau yang akan buat," katanya.
Beliau berkata, BN tidak memikirkan soal calon dari parti pembangkang mana yang akan berlawan dengan calon BN tetapi akan lebih menumpukan kepada persiapan jentera BN bagi pilihan raya kecil itu nanti.
Katanya, mesyuarat mengenai gerak kerja pilihan raya kecil itu akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan semua aspek yang akan memastikan BN mendapat kemenangan.
Ahmad berkata, terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menentukan tarikh pilihan raya kecil.
"Tetapi kalau bulan ini mungkin agak sulit sedikit sebab keadaan banjir di Terengganu. Tetapi apa pun terpulang kepada SPR," katanya.
Kerusi Parlimen Kuala Terengganu dimenangi Allahyarham Razali pada pilihan raya umum 2004 menewaskan calon Pas, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dengan majoriti 1,933 undi.
Pada pilihan raya umum Mac lalu, Razali mengekalkan kerusi tersebut setelah menewaskan calon Pas, Mohamad Sabu dengan majoriti 628 undi.

No comments: