Wednesday, July 16, 2008

Isu Debat Lagi...

Debat: Respon penyokong pembangkang dan kerajaan
Oleh Bernama
Rabu, 16 Julai 2008

KL: Debat khas mengenai isu harga minyak yang berlangsung Selasa malam, bukan sahaja mendapat respons positif daripada penyokong kerajaan tetapi juga pembangkang yang turut menganggapnya sebagai penyuburan kepada amalan demokrasi.

Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek, yang berpuas hati dengan perjalanan program itu berkata ia dapat memberi peluang kepada orang ramai mendengar sendiri hala tuju dan perkembangan isu minyak daripada kedua-dua pihak.

Ahmad Shabery berdebat dengan penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tajuk 'Hari Ini Bentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak' yang dianjurkan oleh AgendaDaily di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka di sini.

Ahmad Shabery berkata dengan pelaksanaan sistem perdebatan ala "US Presidental Debate", ia dapat membuktikan sesuatu debat itu dikhususkan bagi membincangkan tajuk yang ditetapkan dan ini mengelakkan pendebat melencong daripada topik yang dibincangkan.

Mengenai prestasinya, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk menilainya, termasuk sama ada beliau dikekalkan di dalam Kabinet. Sebelum ini Ahmad Shabery menyatakan kesediaannya digugurkan daripada jawatan Kabinet sekiranya gagal mempertahankan dasar kerajaan dalam perdebatan dengan Anwar mengenai isu kenaikan harga minyak.

Sebagai Menteri Penerangan, beliau berkata menjadi tanggungjawabnya untuk menerangkan dan mempertahankan dasar kerajaan sebaik mungkin kepada rakyat, termasuk bersedia bertanggungjawab sekiranya debat itu gagal mempertahankan dasar kerajaan.

Mengenai debat Selasa malam, Ahmad Shabery berkata Anwar gagal untuk mengemukakan mekanisme baru mengenai harga minyak dan menambah kata: "Pada pilihan raya yang lepas, Anwar berjanji lain dan sekarang beliau cakap lain."

Bagi Anwar pula, debat memberikan peluang kepada pembangkang untuk menjelaskan isu kenaikan harga minyak dan beliau berpuas hati dengan perjalanan acara berkenaan.

"Terima kasih kepada penganjur kerana menyediakan lokasi," katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata debat Selasa malam membuktikan Anwar memberi janji palsu kepada rakyat daripada segi menurunkan harga minyak jika Pakatan Rakyat dipilih untuk memerintah negara.

"Jelas Anwar tidak dapat melaksanakan manisfesto pilihan raya PKR untuk menurunkan harga minyak dan pada hari ini terdedah dan terbukti bahawa beliau hanya temberang," katanya.

Naib Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berkata program ini merupakan permulaan yang cukup baik dalam menyuburkan amalan demokrasi dalam negara.

"Tradisi perdebatan bukan satu perkara baru dan ia menjadi amalan di negara barat. Rakyat akan dapat membuat penilaian untuk membuat keputusan," katanya.

Beliau berkata adalah penting untuk Anwar menjelaskan mekanisme yang dijanjikan bahawa PKR mempunyai formula, dasar dan mekanisme yang terperinci bagi menguruskan isu minyak.

1 comment:

OTAI (Otak Tenang Akal Inovatif) said...

Tulislah isu baru pulak Aisah dah lama tak blog tu