Monday, August 18, 2008

Tiada pihak boleh manipulasi lafaz sumpah: Muhyiddin

PUTRAJAYA: Tidak ada mana-mana pihak, termasuk Barisan Nasional (BN) yang boleh memanupulasi lafaz sumpah yang dibuat secara tertib dan mengikut syarak, kata Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin hari ini.

Beliau berkata oleh itu tidak ada apa yang perlu ditakutkan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bersumpah bagi membuktikan yang beliau tidak bersalah berhubung tuduhan liwat terhadapnya.

“Lafaz sumpah tak boleh dimanipulasi, setiap patah yang disebut di masjid di hadapan imam besar dibuat secara tertib dan mengikut syarak, jadi apa yang dia (Anwar) takut,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan motor terbaru keluaran Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd, di sini.

Beberapa akhbar hari ini memetik Anwar sebagai berkata beliau enggan bersumpah kerana bimbang sumpahnya itu akan dimanipulasikan pihak tertentu.

Jumaat lalu, bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, melafazkan sumpah laknat di Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur dengan mendakwa dirinya diliwat oleh Anwar.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, media massa juga mengambil sikap terbuka dengan melaporkan setiap perkataan yang disebut oleh Saiful dalam masjid semasa bersumpah, jadi tiada sesiapa yang boleh manipulasi tindakannya itu.

Katanya, Anwar perlu menyahut cabaran untuk bersumpah dengan mengangkat al-Quran, kerana beliau memang dikenali sebagai seorang yang berani dan pantas membuat keputusan dalam pelbagai perkara.

Sementara itu merujuk kepada pilihan raya kecil Permatang Pauh, Muhyiddin mengakui bahawa ia adalah pertempuran yang sengit buat BN, dan ia bukan satu pilihan raya yang mudah disebabkan oleh sentimen pengundi di kawasan itu.

“Itu sebabnya amat penting untuk memberi tumpuan kepada pengundi, dan lihat apa yang mereka harapkan. Ini juga adalah peluang bagi kerajaan untuk memberi penjelasan berhubung perbezaan dari segi dasar antara BN dan PKR," katanya. - Bernama

-------------------------------------------------------------------------------------

Tertarik dengan artikel ni.Putri nak tengok berani kah DSAI membuat akuan sumpah seperti yang dibuat oleh Saiful.... Respek dengan Saiful sebab berani menegakkan keadilan.Jadi sahutlah cabaran ni DSAI.Janganlah cepat melatah. Tak ada sesiapa pun yang nak manipulasi akuan sumpah yang akan DSAI buat..... Atau tak berani. Berani Kerana Benar. Takut Kerana Salah...

-putrimalaysia-

No comments: