Wednesday, September 24, 2008

SALAM AIDILFITRI..........

Cuma tinggal 6 hari saja lagi umat Islam di seluruh Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Di kesempatan ini putri ingin menyusun jari memohon maaf dan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin andai terkasar bahasa dalam penulisan blog putri. Semoga Hari Lebaran ini akan membuka lembaran baru dalam diri anda dan juga putri dalam memberikan yang terbaik kepada insan-insan yang tersayang.....



Salam Aidilfitri dari Putrimalaysia.........

Wednesday, September 17, 2008

DOLAK DALIH DSAI.....

16 September telah berlalu tanpa berlakunya pertukaran kerajaan. Agaknya mana lah Anwar nak menyorok. Angan-angannya nak tubuh kerajaan baru tak tercapai. Malah banyak pulak berdalih berhubung hasrat Pakatan Rakyat membentuk kerajaan baru.
Sekarang nak kemukakan pula empat syarat kononnya bagi memastikan peralihan kuasa itu berlaku secara damai. Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendakwa, syarat berkenaan juga bertujuan memastikan Barisan Nasional (BN) tidak mensabotaj keinginan rakyat dengan mencetuskan ketegangan kaum.
Empat syarat itu ialah:
  • Kerajaan BN memberi jaminan tidak akan menghindar atau menghalang Ahli Parlimennya untuk bertindak bebas mengikut hak Perlembagaan dan kesedaran masing-masing;
  • Kerajaan BN tidak boleh menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menahan Ahli Parlimen BN menyertai Pakatan Rakyat atau mana-mana 82 Ahli Parlimen Pakatan Rakyat sedia ada;

  • Kerajaan BN tidak akan mengisytiharkan darurat atau menggunakan kuasa polis atau menggantung Perlembagaan atau membubarkan Parlimen sebagai maklum balas terhadap hasrat Pakatan Rakyat untuk menubuhkan kerajaan baru; dan
  • Kerajaan BN tidak akan melakukan sekatan jalan raya bagi menghalang Ahli Parlimen memasuki Parlimen atau institusi kerajaan lain.
Syarat itu terkandung dalam surat Pakatan Rakyat kepada Abdullah yang dihantar tiga Ahli Parlimen pembangkang - Dr Hatta Ramli (Pas-Kuala Krai), Johari Abdul (PKR-Kubang Pasu) dan Anthony Loke Siew Fook (DAP-Rasah) ke Pejabat Perdana Menteri, kelmarin.
Apa lagi la Anwar ni. Buat rakyat jadi pening.Apa nak dia buat sebenarnya.Kita sebagai rakyat tunggu jela apa lagi sandiwara DSAI lepas ni.
-putrimalaysia-

Kronologi kenyataan Anwar Ibrahim mengenai angan-angan kerajaan baru

8 Mac
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, PKR, Pas, DAP dan seorang Bebas memenangi 82 daripada 222 kerusi Parlimen. Pakatan pembangkang memerintah di lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

1 April
Anwar mengumumkan PKR, Pas dan DAP membentuk Pakatan Rakyat (PR) untuk menyatukan kerjasama antara mereka.
23 April
Di Kota Kinabalu, Anwar berkata, PR sudah bersedia untuk membentuk kerajaan dan mempunyai cukup Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang bersedia melompat parti.
Anwar juga menegaskan pertukaran kerajaan akan berlaku selewat-lewatnya pada 16 September iaitu hari pembentukan Malaysia.
24 April
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tiada seorang Ahli Parlimen BN akan melompat parti dan mendedahkan Anwar "sedang mengarah sebuah permainan politik".
25 April
Anwar mengulangi keyakinannya untuk memerintah negara dan mewujudkan kerajaan baru kemungkinan pada bulan Jun, Julai atau 31 Ogos namun tetap tidak melebihi tarikh 16 September.
28 Jun
Bekas pembantu Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis mendakwa dia telah diliwat majikannya.
3 Julai
Naib Presiden PKR, Azmin Ali berkata kemungkinan terdapat penangguhan pada rancangan mereka membentuk kerajaan baru tetapi ia tetap menyatakan 16 September sebagai tarikh Anwar menjadi Perdana Menteri.
10 Julai
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyerahkan notis usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di pejabatnya di bangunan Parlimen.
31 Julai
Dr. Wan Azizah meletak jawatan sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh berkuat kuasa serta-merta bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar untuk bertanding pada pilihan raya kecil Permatang Pauh.
26 Ogos
Anwar mengekalkan penguasaan PKR di kerusi Parlimen Permatang Pauh apabila memenangi pilihan raya kecil kawasan itu. Dia menyatakan kerajaan baru akan dibentuk menjelang 16 September.
8 September
Seramai 49 anggota Parlimen BN berlepas ke Taiwan bagi melakukan lawatan sambil belajar mengenai teknologi pertanian yang diamalkan di negara kepulauan itu namun didakwa pembangkang sebagai langkah untuk menyekat perubahan pemerintahan.
12 September
Pemimpin PKR berlepas ke Taiwan selepas anggota Parlimen BN dalam perjalanan pulang ke Malaysia. PKR mendakwa memperoleh cukup ahli untuk membentuk kerajaan baru pada 16 September namun ia tidak berlaku walaupun ia tetap mendakwa proses itu akan terjadi dalam sedikit masa lagi.
15 September
Anwar yakin boleh menubuhkan kerajaan baru tetapi memberi tempoh dua minggu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengadakan rundingan.
16 September
Anwar yang mengadakan sidang akhbar di Petaling Jaya mendakwa mempunyai senarai 31 nama Ahli Parlimen BN yang akan melompat parti tetapi enggan mendedahkan nama-nama wakil rakyat terlibat.



Dipetik dari Utusan Malaysia

Hanya mainan politik Anwar

Oleh HABIBAH OMAR

KEPALA BATAS 16 Sept. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya beliau mempunyai senarai 31 orang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan melompat menyertai pakatan pembangkang sebagai satu permainan politik Anwar untuk menjejaskan kestabilan politik negara ini.

“Saya tidak fikir dia mempunyai nama-nama itu. Kalau dia ada senarai (31) nama, dia boleh bagi tahu, biar semua rakyat tahu, biar semua pengundi tahu apa yang telah dia lakukan kepada wakil rakyat mereka.

“Jika Ahli Parlimen itu ingin melarikan diri dengan menyertai pakatan pembangkang, rakyat tentu ingin tahu,” kata Abdullah pada sidang akhbar selepas Majlis Dermasiswa dan Sumbangan Hari Raya Yayasan Budi Penyayang di sini hari ini.

Perdana Menteri memberitahu, gimik peralihan kuasa 16 September adalah permainan politik Anwar untuk mencetuskan satu keadaan yang tidak baik kepada rakyat bagi membuatkan negara seolah-olah tidak mempunyai kestabilan politik.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak di Malaysia, baik pekerja sektor swasta mahupun kakitangan kerajaan, supaya memberi perhatian kepada hal-hal melibatkan pekerjaan, perniagaan dan tanggungjawab masing-masing.

“Ini yang paling penting untuk dilakukan, bukan jadi sibuk dan kelam kabut dengan apa yang dilakukan (oleh Anwar),” ujar beliau.

Menurut Abdullah, rakyat perlu memahami sekiranya benar Anwar telah mempunyai 31 senarai Ahli Parlimen BN, “dia tak tunggu, dia akan bagi tahu.”
Beliau menambah: “Tetapi dia (sebenarnya) tidak ada apa-apa.”

Perdana Menteri yakin rakyat tidak percaya dengan apa yang Anwar lakukan itu. “Ia satu pembohongan untuk mempopularkan dirinya,” kata beliau.

Abdullah juga menegaskan bahawa beliau tidak akan bertemu dengan Anwar kerana percaya Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu membuat cadangan untuk bertemunya dengan tujuan memanipulasikan pertemuan tersebut.

Malah, kata Perdana Menteri, pertemuan itu juga akan digunakan oleh Anwar sepenuhnya untuk mempopularkan dirinya.
“Saya tidak akan berjumpanya. Kalau dia jumpa saya, nanti dia buat cerita lain.
“Nanti, katanya, saya sudah setuju tentang itu dan ini. Ini semua dibuat bertujuan untuk mempopularkan dirinya... tujuan perang psikologi,” kata Abdullah.

Anwar pada sidang akhbar di pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini mendakwa 31 Ahli Parlimen BN telah bersetuju untuk menyertai pakatan pembangkang.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu enggan mendedahkan nama-nama berkenaan, sebaliknya mendakwa beliau akan memberikan senarai nama tersebut kepada Perdana Menteri apabila bertemu dengannya.

Mengenai surat yang dihantar oleh Anwar serta pemimpin Pas dan DAP kepadanya untuk meminta diadakan satu pertemuan segera berhubung isu rundingan kuasa, Perdana Menteri menafikan wujud surat seumpama itu.
Surat yang diterimanya daripada mereka, kata Abdullah, adalah berkaitan perkara umum.

“Tidak ada satu surat pun yang dihantar berkaitan pemindahan kuasa, surat itu atas hal perkara umum yang berkaitan situasi dalam negara. Itu soal lain yang akan ditentukan kemudian,” katanya.

Ditanya mengenai gesaan Anwar supaya Ahli Parlimen yang melompat parti tidak dikenakan tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Abdullah menyifatkan kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebagai sesuatu yang ‘gila’.

Perkara itu, tegas beliau, sengaja dibangkitkan seolah-olah kerajaan akan menggunakan kekerasan dengan memasukkan Ahli Parlimen berkenaan ke dalam penjara disebabkan mereka ingin melompat parti.

“Satu idea gila untuk (Anwar) mencadangkan yang saya akan masukkan mereka ke dalam tahanan ISA,” katanya.
Dipetik dari Utusan Malaysia

Tuesday, September 9, 2008

MENGHITUNG HARI......(16 SEPTEMBER) GIMMICK PKR

Tinggal TUJUH hari lagi menjelang 16 September 2008, tarikh yang amat dinanti-nantikan dan dikira penting kerana diramalkan bakal merubah landskap politik negara ini dengan gimmick yang mengatakan kerajaan BN akan tumbang dan diganti dengan Kerajaan Pakatan Rakyat.
Pada hari itu adalah hari yang disasarkan oleh Penasihat Umum PKR, Anwar Ibrahim kerajaan BN pimpinan Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd Najib Razak akan tumbang dan hancur.
Serentak itu juga jawatan Perdana Menteri akan berubah tangan kepada Anwar. Anwar akan membentuk kerajaan baru - kerajaan Pakatan Rakyat dan sekaligus akan menobatkan dirinya sebagai Perdana Menteri ke-6.

Sudah pasti mereka yang bertungkus lumus bersama Anwar termasuk yang berkempen di pilihan raya kecil Permatang Pauh lalu akan dilantik menjadi anggota Kabinet atau sekurang-kurangnya turut merasai tempias nikmat 16 September!
Di mana-mana saja orang ramai bercakap mengenai perubahan itu. Seolah penantian ketibaan 16 September membawa perubahan yang pasti. Penantiannya seperti penantian 1 Syawal yang akan dirayakan dengan penuh hikmah dan makna sebagai menandakan kemenangan manusia Muslim dalam perang melawan nafsu.Apakah semua ini akan berlaku???
Ada pendapat yang pro kontra mengenai 16 September. Ada yang menpercayai melampau terhadapnya menyebabkan mereka kini hanya duduk membilang saat, minit dan hari saja sampai mengabaikan kerja rutin lain.

Keyakinan mereka kepada teori yang dipersembahkan bagaimana perubahan dan kejatuhan itu berlaku cukup tinggi dan sukar untuk dirasionalkan lagi. Ada setengah menanti dengan pelbagai azam, termasuk memegang pisau cukur untuk membotakkan kepala sebaik saja fajar 16 September muncul.
Antara perkara yang tidak memungkinkan perkara ini terjadi adalah:-
Pertama dari segi teknikal. Pada tarikh berkenaan, Parlimen tidak akan bersidang jadi bagaimana perubahan (menjatuhkan) kerajaan berlaku kerana tidak ada persidangan pada hari itu, hanya Parlimen saja boleh melakukan apa-apa perubahan termasuk untuk mengadakan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.
Apa-apa tindakan termasuk undi tidak percaya akan dilakukan di Parlimen dan Yang di-Pertuan Agong akan menerima keputusan Parlimen dulu sebelum memberi perkenaan melantik sesiapa untuk menjadi PM setelah ianya dipersetujui oleh ahli Parlimen.
Kedua dari segi politik. Adalah tidak logik kalau ada ahli Parlimen BN berhijrah kepada Pakatan semata-mata kerana hendak menyokong Anwar. Adalah mustahil ahli parlimen MCA dan MIC meninggalkan BN kerana Presiden MCA, MIC dan Gerakan telah beberapa kali mengeluarkan kenyataan akan terus bersama BN. Presiden MCA sendiri mengatakan bahawa UMNO, MIC dan MCA telah bersama-sama membentuk Parti Perikatan dan tidak ada sebab mengapa mereka mesti meninggalkan BN.
Ketiga dari segi moraliti dan integriti. Adalah tidak bermoral andainya sesebuah kerajaan diambil alih melalui cara yang tidak bermoral.Kerajaan yang ditubuhkan atas penghijrahan dan tawaran kebendaan akan dilihat sebagai tidak bermoral dan ini sesuatu yang tentunya akan dititik beratkan.
Maka dapatlah kita simpulkan bahawa kenyataan DSAI untuk membentuk kerajaan baru pada 16 September adalah satu pembohongan dan tidak akan berlaku. Ia hanyalah omongan kosong dan satu pembohongan besar yang tidak berasas dan merupakan populist statement bagi mempengaruhi rakyat jelata. Adalah diyakini BN akan terus menerajui kerajaan pada 16 September itu nanti.
-Putrimalaysia-