UTUSANONLINE
ALOR SETAR 11 Mei - Sehari selepas 1,700 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kawasan Parlimen Padang Serai dan Kulim-Bandar Baharu bertindak keluar parti, kini tiba giliran ahli Pas pula berbuat demikian.
Kali ini, sebanyak 61 ahli Pas dalam Bahagian Alor Setar bertindak keluar parti itu dan memohon menyertai UMNO selepas hilang keyakinan terhadap kerajaan negeri yang diterajui oleh Pas.
Kumpulan itu yang diketuai Timbalan Ketua Pas Cawangan Akar Penyengat, Abu Bakar Hussain, menyerahkan borang permohonan menyertai UMNO kepada Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md. Hanipah pada satu majlis di Taman Wira, Mergong dekat sini malam tadi.
Abu Bakar berkata, mereka bertindak demikian selepas mendapati sejak dua tahun pemerintahan pakatan pembangkang di negeri itu, Pas gagal menunaikan janji dan tidak turun padang membela rakyat.
Menurutnya, pakatan pembangkang juga gagal mentadbir secara berkesan dan rakyat diperdayakan 'sindrom cukup makan' dengan kerajaan negeri tidak melaksanakan program pembangunan untuk rakyat.
"Kami disuruh menunggu buah yang tidak gugur tetapi masalahnya, sampai bila kena menunggu," ujarnya ketika berucap pada majlis tersebut.
Katanya, tindak tanduk pemimpin Pas juga tidak menggambarkan bahawa mereka adalah pejuang Islam seperti digembar-gemburkan selama ini.
Tambahnya, dia bahagia dan gembira dengan keputusan yang diambil itu meskipun sudah berpuluh tahun menjadi ahli Pas kerana tidak sanggup lagi terpedaya selain bersedia berjuang bersama UMNO bagi mempertahan dan membangunkan negara ini.
"Saya sudah lama mengikuti perkembangan UMNO walaupun sebelum ini saya anggap UMNO sebagai parti lawan yang perlu ditentang habis-habisan.
"Saya dapati pemimpin UMNO seperti Datuk Ahmad Bashah sebenarnya mudah didekati rakyat dan ia adalah faktor yang menimbulkan kesedaran di kalangan kami," ujarnya.
Tegasnya, beliau juga berbuat demikian tanpa sebarang paksaan atau kerana dijanjikan habuan, sebaliknya atas kesedaran selepas melihat sendiri tingkah laku para pemimpin Pas yang disifatkan sebagai 'cakap tak serupa bikin' dan suka bermuka-muka.
Sebagai contoh, katanya, para pemimpin Pas akan melawat ke kawasan yang ditimpa bencana seperti ribut dan akan berlagak seolah-olah prihatin dengan nasib malang yang menimpa mangsa.
Namun, tambahnya, selepas itu mangsa tidak pula dihulurkan sebarang bantuan dan mereka dibiarkan begitu saja.
"Dalam memberikan bantuan pula, mangsa akan dibezakan dengan fahaman politik sedangkan saya dapati BN tidak seperti itu, malah semua orang akan mendapat bantuan.
"Kami sudah hilang keyakinan dan kepercayaan kepada Pas dan selepas duduk berbincang dan memikirkan semasak-masaknya, dengan fikiran terbuka kami memohon untuk menyertai UMNO.
"Biar pun tindakan kami ini akan dihina oleh para pemimpin Pas, kami sudah bertekad untuk tidak berpatah balik," katanya sambil disahut tepukan gemuruh kira-kira 150 orang yang hadir pada majlis itu.