Monday, August 10, 2009

H1N1 mangsa meningkat 26 orang

  • JUMLAH korban akibat selesema babi atau influenza A (H1N1) di negara ini terus meningkat dengan lapan lagi kematian direkodkan semalam.
  • Ia menjadikan jumlah kematian akibat wabak itu meningkat kepada 26 kes sehingga kini.
  • Jadual peperiksaan utama yang bakal diduduki pelajar hujung tahun ini kekal.
  • Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pelajaran yang diketuainya mempunyai pelan kontigensi untuk menangani perkara itu sekiranya jangkitan H1N1 tidak terbendung.
  • Semua masjid di seluruh negara digesa mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat akan datang bagi memohon negara diselamatkan daripada penularan wabak influenza A(H1N1).

Marilah kita bersama-sama berdoa kepada Allah agar wabak ini tidak menular dan mereka yang dijangkiti akan sembuh.Amin.....

Thursday, August 6, 2009

Desak Jeff Ooi minta maaf

Oleh ROKIAH ABDULLAHrokiah.abdullah@utusan.com.my.

PULAU PINANG 5 Ogos - Sejumlah 27 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di bawah Forum Penyelarasan Umat (Forum) hari ini menyelar tindakan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi yang mengaitkan syariah Islam sebagai ekstremisme, satu kenyataan yang disifatkan mengelirukan, berbaur jahat dan menimbulkan salah faham terhadap Islam.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Jemaah Islah Malaysia (JIM), Md. Roslan Hashim berkata, sebagai seorang ahli Parlimen dan juga Ketua Staf Pejabat Ketua Menteri, Lim Guan Eng, Ooi tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan negatif sebegitu yang hanya berpunca daripada pertelingkahan beliau dengan Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) Mohd. Razali Abdullah, yang juga ahli JIM.

Katanya, tindakan Ooi yang melambangkan kejahilannya tentang pemahaman asas Islam itu juga secara tidak langsung telah menimbulkan kemarahan dan keresahan umat Islam khususnya di negeri ini.

''Sebagai seorang ahli Parlimen sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan, kami mendesak Ooi supaya meletak jawatan sebagai Ketua Staf Pejabat Ketua Menteri dan menarik balik kenyataannya yang mengaitkan syariah Islam sebagai ekstremis.

''Kenyataan itu amat serius dan berlaku salah faham yang amat teruk tentang Islam. Dia seolah-olah melihat Islam satu yang ekstrem dan tak layak diguna dalam pentadbiran. Ini amat bertentangan dengan kenyataan 'mengikut pemerintahan Saidina Umar Abdul Aziz' dan amar ma'aruf nahi mungkar'' yang dilaungkan oleh kerajaan negeri dan Guan Eng," katanya.

Beliau dilantik oleh anggota Forum untuk menyampaikan memorandum menyelar tindakan Ooi itu di Pejabat Ketua Menteri di Komtar di sini hari.

Setelah hampir sejam menunggu dan berlaku 'drama' usir mengusir oleh Setiausaha Politik Guan Eng, Ng Wei Aik, memorandum tersebut berjaya disampaikan oleh Md. Roslan kepada Timbalan Ketua Menteri I, Dr. Mansor Othman.

Dalam kenyataannya kepada sebuah akhbar berbahasa Inggeris, 2 Ogos lalu, Ooi mendakwa Mohd. Razali mempunyai misi membentuk Malaysia sebagai negara yang akan menerima pakai undang-undang syariah sepenuhnya menjelang 2020 hanya kerana menjadi ahli JIM.

Ooi juga mengkritik hebat pihak majlis kerana membenarkan seorang ekstremis agama Islam di dalam pentadbirannya.

Ahli Parlimen Jelutong itu juga menambah, pihak kerajaan negeri telah membuka ruang bagi membolehkan seorang ekstremis Islam untuk menyusup masuk ke dalam sistem kerajaan tempatan.

Justeru, menurut Md. Roslan, Ooi tidak seharusnya dibiarkan terus memegang jawatan penting itu yang sepatutnya bertindak menjaga keharmonian penduduk negeri ini yang terdiri daripada pelbagai bangsa, bagaimanapun yang berlaku adalah sebaliknya.
***********************************************************************************
jangan bagi mereka naik kepala...

Beng Hock bunuh diri?

NOOR AZMAH IBRAHIMpengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 5 Ogos – Prosiding inkues siasatan kematian Teoh Beng Hock yang bermula hari ini diberitahu, terdapat kesan darah yang telah kering di bahagian lutut dan mulut mayat lelaki itu yang ditemui di koridor tingkat lima Plaza Masalam, selain seluarnya terkoyak.

Maklumat awal yang diterima pihak polis, lelaki itu disyaki membunuh diri.

Gambaran penemuan mayat tersebut diberikan oleh saksi kedua inkues iaitu juruteknik di bahagian penyelenggara di Plaza Masalam, Mohd. Ridzuan Samsuri selepas melihat mayat berkenaan.

Sejurus terpandang mayat tersebut, menurutnya, perasaannya bertukar panik dan tidak mampu mengeluarkan kata-kata hingga sukar bergerak serta terpaksa berjalan sambil tangan memegang dinding.

Mohd. Ridzuan memberitahu Mahkamah Koroner, dia pergi ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan telefon daripada pengawal keselamatan yang dipanggilnya sebagai Kak Siti selepas dimaklumkan ada orang tidur di koridor dalam keadaan mencurigakan.

Jelasnya, dia yang ketika itu berada di Restoran Pelita, tingkat dua plaza itu bersama rakannya bernama Rosli telah bergegas ke bahagian bumbung di tingkat lima bangunan itu.

‘‘Dalam perjalanan, saya ternampak memang ada seorang sedang berbaring dalam keadaan mencurigakan. Saya tidak menyentuhnya sebaliknya menghubungi penyelia,’’ kata saksi ketika disoal oleh peguam Tan Hock Chuan yang mewakili kerajaan Malaysia bagi membantu inkues.

Ketika disoal peguam pemerhati, Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Beng Hock mengenai laluan ke tempat mayat dijumpai, saksi menyatakan, laluan yang dimaksudkan bukan sahaja tidak boleh diakses oleh orang ramai bahkan tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

Katanya, hanya dua cara untuk masuk ke kawasan tersebut iaitu melalui tingkap pejabat tetapi perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu, itupun dengan cara melalui pintu jeriji.
Cara seterusnya, tambah saksi, ia perlu terlebih dahulu dilaporkan kepada pihak keselamatan dan bahagian penyelenggaraan sebelum jeriji dibuka.

Selain itu, menurut Mohd. Ridzuan, terdapat catatan log bagi petugas bahagian penyelenggara dan pihak keselamatan untuk masuk ke situ.

Mengenai sistem pendingin hawa, katanya, bagi ruangan kompleks beli belah tiada sistem kawalan penghawa dingin berpusat manakala bahagian pejabat pula termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pendingin hawa akan ditutup pada pukul 6 petang.

Ketika disoal oleh peguam Sreekant Pillai bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor, saksi memberitahu, dia hanya memandang mayat dari arah depan dan sisi tetapi tidak menelitinya dengan rapi.

Disoal oleh peguam Cheow Wee bagi pihak Majlis Peguam berhubung dua anak kunci jeriji besi, jelas Mohd. Ridzuan, ia disimpan oleh bahagian penyelenggara dan bahagian keselamatan.

Sementara itu, saksi ketiga inkues, penolong kanan bahagian keselamatan plaza itu, Mohd. Khairul Izwan M. Nasir, 29, pula menyatakan, dia ternampak seorang lelaki berkulit putih dalam keadaan mengiring sebelah kanan dan di kepala pula terdapat kesan darah yang sudah kering.

Mayat tersebut, katanya, telah ditutup olehnya dan Rosli menggunakan plastik hitam dan bahagian bucu dihimpit dengan batu bata setelah mendapat arahan ketuanya.

Berdasarkan beberapa keping gambar yang dirujuk kepada Mohd. Khairul, saksi itu memberitahu, dia tidak pasti sama ada bahagian poket seluar mayat dalam keadaan terkeluar atau sebaliknya.

Namun saksi itu pasti, seluar mayat terkoyak dan mempunyai kesan darah.

Dalam pada itu, Lans Koperal Abd. Karem Othman selaku saksi keempat menyatakan, maklumat awal yang diterima melalui panggilan telefon menyatakan tentang penemuan mayat lelaki Cina disyaki membunuh diri di Plaza Masalam.

Menurut anggota polis dari bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, maklumat awal itu dimaklumkan oleh seorang lelaki bernama Mohd. Khairul.

Selain itu, maklumat yang diterima daripada unit kereta peronda mengesahkan memang benar ada mayat lelaki Cina dipercayai membunuh diri.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas bersambung esok.

Monday, August 3, 2009

Anwar pengkhianat

Oleh SAHBULAH DARWIpengarang@utusan.com.my

BATU PAHAT 2 Ogos – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat besar terhadap perjuangan orang Melayu.

Timbalan Perdana Menteri turut menyifatkan Anwar sebagai pemimpin lidah bercabang kerana sanggup memutarbelitkan fakta mengenai usaha UMNO untuk memartabatkan orang Melayu.

“Dulu dia pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO seperti saya sekarang, tetapi dia sekarang menggunakan cara yang memperdayakan untuk memusnahkan perjuangan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini semalam.

Muhyiddin berkata, Anwar selaku Ketua Pembangkang kini menyebarkan dakyah untuk mencipta persepsi negatif terhadap usaha UMNO dalam mempertahankan hak keistimewaan Melayu dan institusi raja.

“Dia kata kepada semua orang bahawa UMNO zalim, tetapi beritahu saya sekarang dalam cara apa yang kita zalim? Kenapa dia tidak beritahu ini semasa dia jadi pemimpin kita?” soalnya.

Beliau mendedahkan taktik pembangkang mengulangi pembohongan hingga rakyat mempercayai penipuan itu.

“Hingga sampai ke tahap ini, orang menganggap apa yang dilakukan oleh UMNO adalah salah dan apa sahaja yang dilakukan kita tidak baik untuk rakyat.

“Maka semua kebaikan yang pernah kita lakukan membangunkan negara sejak 50 tahun lalu tidak lagi dihargai,” katanya.

Muhyiddin mengakui UMNO bukanlah parti yang tidak pernah melakukan kesilapan namun ia telah melakukan yang terbaik untuk menghapuskan rasuah, keangkuhan dan pengurusan yang tidak cekap.

“Tiada masalah untuk mengkritik kerana kita bukan maksum tetapi saya tidak boleh terima kalau pembangkang menghina dan tidak menghormati orang Melayu,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru ahli dan pemimpin UMNO mengubah persepsi negatif pembangkang terhadap parti dengan terus mendekati rakyat terutama di peringkat akar umbi.

Menurutnya, pendekatan itu jika dilakukan secara berterusan akan menyedarkan rakyat terhadap perjuangan ikhlas UMNO dalam membela nasib mereka terutama bangsa Melayu.

“Kita hanya mempunyai dua tahun untuk mengubah persepsi dan imej buruk itu,” katanya.

Menurutnya, UMNO juga bukan parti yang semata-mata mahukan undi rakyat pada setiap pilihan raya, tetapi untuk membela dan membangunkan mereka.

“Tetapi disebabkan dakyah serta pelbagai tuduhan pembangkang terhadap UMNO menyebabkan timbul persepsi buruk rakyat terhadap parti sejak kebelakangan ini,” katanya.

Ekoran itu, beliau berkata, tindakan segera perlu dilaksanakan mulai sekarang bagi mengembalikan semula keyakinan tersebut agar UMNO dapat terus berjuang untuk membela mereka.