Monday, July 27, 2009

H1N1 ,kita wajar bimbang

KLANG 26 Julai - Penularan wabak Influeza A (H1N1) di negara ini semakin membimbangkan apabila jumlah penduduk tempatan yang diserang virus itu hampir mencatatkan 100 peratus bagi kes yang dicatatkan pada setiap hari.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, semalam misalnya 53 daripada 54 kes yang dicatatkan adalah penyebaran tempatan dan rakyat perlu merasa bimbang dengan perkembangan tersebut.

Menurutnya, kerajaan tidak mahu rakyat panik dengan situasi tersebut tetapi tidak dapat mengelak melaporkan perkara yang betul kepada media kerana kerajaan bersikap telus dan tidak menyembunyikan maklumat.

''Kita mahu dengan maklumat ini orang ramai lebih perhatian untuk menjaga kebersihan diri dan premis serta bekerjasama mengawal virus ini daripada terus merebak," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Derma Darah di Klang Parade di sini hari ini.

Tiong Lai memberitahu daripada sebanyak 1,075 kes H1N1 dicatatkan di negara ini setakat semalam hanya satu kematian dicatatkan atau 0.4 peratus manakala 574 kes diklasifikasikan kes import.

Katanya, sehingga kini empat pesakit masih dirawat di hospital dengan tiga daripadanya di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala seorang di wad biasa.

Katanya, walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengakui penularan wabak ini tidak boleh dihentikan tetapi hanya boleh diperlahankan, ekoran itu rakyat perlu bekerjasama menjaga kebersihan diri, premis dan alam sekitar.

''Kerajaan telah mengambil langkah sewajarnya seperti pemeriksaan dan kuarantin. Rakyat pula mestilah berkerjasama terutama bertindak cepat jika diserang simptom dijangkiti H1N1 dan sentiasa mengutamakan kebersihan dalam kehidupan seharian," ujarnya.

Namun katanya, setakat ini penyebaran virus itu masih di peringkat kluster iaitu hanya melibatkan sesuatu kumpulan seperti di pusat pengajian tinggi atau sekolah tetapi akan berubah kepada tahap paling membimbangkan jika menyerang tempat awam seperti berlaku di London, Bangkok dan Manila.

**************************************************************************************
Bagi memperlahankan penularan wabak ini, kerjasama orangramai amatlah diperlukan untuk melaksanakan langkah-langkah berikut:
  • Orang ramai diminta untuk terus dan sentiasa mengamalkan kebersihan diri terutamanya membasuh tangan secara rutin dan etika batuk. Mereka juga perlu mengamalkan social distancing (menjarakkan kedudukan sekurang-kurangnya 1 meter dengan individu lain serta mengurangkan majlis perjumpaan).
  • Mereka yang mempunyai tanda-tanda penyakit dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan daripada klinik-klinik yang berdekatan. Kes-kes yang bergejala ringan boleh berehat di rumah dengan sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran di tahap yang optimum.
  • Mereka juga dinasihatkan memakai mask dan jika gejala bertambah teruk untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut. Panduan menilai tahap kesihatan diri di rumah telah di muat naik ke laman web Kementerian Kesihatan sebagai rujukan orang awam.
  • Kejadian-kejadian jangkitan influenza-like illness (ILI) atau jumlah ketidakhadiran (absenteeism) di sekolah atau di tempat kerja yang luar biasa, hendaklah dilaporkan ke Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat untuk siasatan lanjut.
  • Bagi pelajar yang terlibat dengan penutupan kelas atau sekolah termasuk intitusi pengajian tinggi, perlu dimaklumkan bahawa hanya mereka yang tiada bersimptom sahaja dibenarkan kembali ke tempat pengajian mereka.
  • Mereka yang masih bersimptom perlu terus berehat di kediaman masing-masing sehingga sembuh atau tiada bersimptom. Tindakan ini perlu kerana mereka yang bersimptom masih mempunyai risiko untuk menularkan virus influenza kepada rakan karib mereka.

Maklumat influenza A(H1N1) termasuk aktiviti pencegahan boleh didapati melalui laman web Kementerian Kesihatan iaitu http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my ataupun melalui Talian Hotline influenza A(H1N1) Kementerian Kesihatan 03-88810200, 03-88810300, 03-88834414 dan 03-88834415 yang beroperasi antara 8.00 pagi hingga 9.00 malam setiap hari termasuk hari cuti dan kelepasan am.

Friday, July 17, 2009

Pengiraan undi Manek Urai tidak sah?

KOTA BHARU 16 Julai - Mungkinkah keputusan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai tidak sah dan kertas undi akan dikira semula yang akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN)?

Ia berikutan timbulnya desas desus wujud keraguan pada keputusan pengiraan di peti undi Manek Urai Lama di mana Barisan Nasional (BN) sepatutnya dikatakan menang dengan majoriti 289 undi tetapi hanya diumumkan 189 undi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Keputusan itu dikatakan memberi kesan yang besar sehingga menyebabkan BN kalah pada pilihan raya kecil itu dengan majoriti 65 undi Selasa lalu.

Ekoran itu, difahamkan UMNO Kelantan telah mengarahkan pasukan perundangannya supaya bersiap sedia membawa kes tersebut ke mahkamah.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Wan Zaid Wan Abdullah ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini mengesahkan wujudnya sedikit keraguan tetapi menolak wujudnya penyelewengan dalam pilihan raya kecil itu.

''Berdasarkan keputusan yang ada pada wakil BN di peti undi berkenaan, calon BN Tuan Aziz Tuan Mat mendapat 1,008 undi manakala calon Pas, Mohd. Fauzi Abdullah memperoleh 719 undi dan undi rosak sebanyak 19, oleh itu, kita menang dengan majoriti 289 undi.

''Tetapi ketika pengumuman dibuat di pusat penjumlahan undi, BN hanya menang dengan majoriti 189 undi. Ini yang menimbulkan tanda tanya kenapa keputusan tersebut berubah di pusat penjumlahan undi sedangkan di peti undi kita menang dengan majoriti 100 undi," katanya.
Wan Zaid berkata, perkara tersebut perlu diberikan perhatian oleh UMNO Kelantan dan dibincangkan dengan penasihat undang-undang parti sebelum di bawa ke mahkamah.

Katanya, keputusan pilihan raya kecil yang memberikan kemenangan kepada Pas dengan majoriti 65 undi itu juga tidak dapat diterima berdasarkan trend pengundi yang menolak parti tersebut.

''BN menang di lima peti undi berbanding Pas hanya menang di empat peti undi. Kita berjaya menembusi kubu kuat Pas contohnya di Peti Undi Laloh, Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru tak pernah dalam sejarah kita menang tetapi kita menang kali ini. Kita juga menang di Temalir dan Manjor.

''Di kubu kuat Pas seperti Peti Undi Peria, kita dapat mengurangkan majoriti daripada kebiasaannya lebih dari 350 undi kepada 88 undi sahaja. Data ini menunjukkan trend pengundi menolak Pas tetapi soalnya kenapa tiba-tiba keputusan penuh diumumkan kita kalah," katanya.
Menurut beliau, perkara tersebut hanya disedari selepas keputusan itu diumumkan di pusat penjumlahan undi dan mengikut peraturan SPR bantahan hanya boleh dibuat pusat pengiraan undi sahaja.

Katanya, difahamkan ketika di pusat pengiraan undi, semua pihak termasuk wakil Pas menerima keputusan BN menang dengan majoriti 289 undi dan disebabkan itu tidak ada kiraan semula undi dibuat di situ.

''Bila menyedari perkara ini berlaku kita cuba membantah di pusat penjumlahan undi di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra I tetapi ditolak. Mengikut perkiraan saya jika dijumlahkan dengan majoriti sebenar di Manek Urai Lama dan undi pos BN menang kira-kira 42 undi.

"Tetapi saya ingin tegaskan bahawa ini hanya pandangan saya dan bukannya untuk menuduh mana-mana pihak," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Noor Zahidi Omar berkata, beliau tidak mendapat maklumat yang jelas mengenai perkara tersebut.

Selasa lalu, SPR telah mengumumkan Mohd. Fauzi memenangi pilihan raya kecil itu dengan mendapat 5,348 undi manakala Tuan Aziz memperoleh 5,283 undi.

Mansuh PPSMI muktamad – TPM

dipetik dari utusan.com.my

PUTRAJAYA 16 Julai – Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diputuskan Kabinet minggu lalu adalah muktamad.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun ada gesaan supaya dasar itu dikekalkan di peringkat sekolah menengah, namun pendirian kerajaan adalah konsisten dengan tidak mengekalkan status quonya.

Cuma, tegas beliau, yang penting selepas ini adalah mencari kaedah memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid.

Ini termasuk memanggil pakar-pakar bahasa Inggeris dalam masa terdekat untuk memberi input membentuk kurikulumnya yang baru.

‘‘Setiap keputusan (Kabinet) mestilah konsisten, mungkin ada rasionalnya (sesuatu pandangan atau gesaan) kerana ia berdasarkan pengalaman.

‘‘Dan saya tidak kata ia (cadangan itu) tidak bagus tetapi dalam konteks ini, kita mestilah konsisten selepas membuat sesuatu keputusan yang cukup besar (memansuhkan PPSMI),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008 Kementerian Pelajaran kepada 396 kakitangan dan pegawai kumpulan pengurusan, profesional dan sokongan di sini hari ini.

Kabinet pada mesyuaratnya 8 Julai lalu memutuskan bahawa mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012.

Serentak itu, diumumkan juga strategi untuk memartabatkan bahasa Melayu (MBM) serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris (MBI) di semua peringkat persekolahan.

MCA baru-baru ini menggesa supaya PPSMI dikekalkan di peringkat sekolah menengah walaupun bersetuju status quonya ditarik balik di sekolah rendah.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, sebagai pengurus pendidikan, warga Kementerian Pelajaran perlu sentiasa proaktif, responsif dan bersedia untuk menangani perubahan dengan merangka dasar dan strategi sesuai dengan keperluan semasa.

Tegas beliau, mereka tidak boleh lagi berpuas hati dengan pendekatan dan strategi sedia ada.

‘‘Ini termasuklah kurikulum bahasa Inggeris yang perlu dimantapkan selaras dengan strategi pemantapan bahasa Inggeris yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran bermula 2012.

‘‘Murid di negara ini, baik di bandar mahupun di luar bandar, perlu dipastikan dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik melalui sistem pendidikan kebangsaan,” katanya.
**************************************************************************************
putriMalaysia: Bila diumumkan tentang PPSMI pembangkang bising, membazir lah, jadikan pelajar macam tikus makmal la (bahan ujikaji) lepastu bila kerajaan bertindak mansuhkan , macam-macam pulak dituduh kerajaan lagi...Apa yang mereka mahu sebenarnya?..nak kondem je apa yang dibuat kerajaan...erm ..tapi ape2 kerajaan jangan mudah mengalah. kena tetapkan pendirian andainya benar apa yang mereka rasa benar dan harus lakukan

Pengguna Tidak Setuju

Petikan : Utusan Online

KUALA LUMPUR 16 Julai – Pengumuman kerajaan untuk menaikkan kadar tambang bagi pengangkutan awam bermula 1 Ogos ini menimbulkan keresahan di kalangan orang ramai.

Pelayan restoran, Mohd. Hadi Mohd. Surajin, 18, berkata, kenaikan tambang pengangkutan awam terutama bas dan teksi itu adalah tidak wajar.

‘‘Tindakan tersebut tidak patut dilakukan kerana akan menyusahkan orang awam seperti saya yang kekurangan daripada segi kewangan,’’ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang dikenali sebagai Rajakobal, 19, pengumuman tersebut bukan berita yang gembira dan mahu didengar oleh rakyat.

‘‘Kenaikan tambang pengangkutan awam akan menyebabkan masyarakat berasa susah dan sedikit tertekan.

‘‘Kadar sedia ada sudah baik dan tidak perlu dinaikkan lagi,’’ katanya.

Rakannya, Suresh Jeeva, 19, juga bersetuju dengan pendapat tersebut.

‘‘Jika tambang naik susah bagi kami untuk pergi ke tempat pengajian kerana kami bergantung pada pengangkutan awam sepenuhnya,’’ katanya.

Seorang lagi pelajar IPT, Juliana Ibrahimi Husaimi, 19, berkata, dia tidak setuju dengan kenaikan tersebut kerana menyukarkan kehidupannya sebagai seorang pelajar.

‘‘Sebagai pelajar, saya perlukan wang untuk membeli buku-buku rujukan dan kenaikan tambang ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi wang pengajian saya,’’ katanya.

Dalam pada itu, seorang jurujual, Ivan Pius, 25, berkata, tindakan tersebut keterlaluan kerana kos hidupnya bakal meningkat kerana kenaikan tambang tersebut.

‘‘Kalau harga minyak naik 10 sen pun orang ramai sudah bising. Inikan pula tambang bas dan teksi yang naik, mesti orang lagi tidak setuju,’’ katanya.

Bagaimanapun menurut seorang Pereka grafik, Farid Hashim, 28, tindakan kerajaan menaikkan tambang pengangkutan awam itu wajar dilakukan.
**************************************************************************************
Putri: Erm..macam biasalah setiap apa yang dilakukan oleh kerajaan akan mendapat feedback yang positif atau negatif. Bagi putri benda ni mesti dah difikir dan diteliti serta dikaji dengan mendalam oleh pihak yang bertanggungjawab maka kita sebagai rakyat harus patuh. namun putri sendiri agak terperanjat apabila tambang teksi naik RM 1.kalau sebelum ni kita melangkah masuk je dalam teksi kena bayar RM2 je.Kalau nak galakkan lagi rakyat menaiki kenderaan awam puti rasa eloklah dikaji balik kenaikan ni. Mungkin ia agak membebankan rakyat yang bergantung penuh pada kenderaan awam....bagaimanapun putri tetap akur juga...

Wednesday, July 15, 2009

Petanda angin perubahan

utusan.com.my

PASUKAN FRU cuba menenangkan penyokong Pas yang cuba bertindak agresif di tempat pembuangan undi Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai di SK Manek Urai, semalam.

TRONOH 14 Julai - Kekalahan tipis calon Barisan Nasional (BN) kepada calon Pas pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai hari ini menunjukkan angin perubahan daripada rakyat bertiup kuat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejayaan mengurangkan majoriti Pas pada pilihan raya umum lepas yang melebihi 1,200 undi merupakan satu isyarat jelas bahawa rakyat mahukan pembaharuan.

''Saya rasa bersyukur walaupun kita kalah 65 undi. BN berjaya kurangkan majoriti tetapi malangnya kita tidak dapat undi yang boleh meletakkan kita dalam keadaan menang.

''Saya rasa kita tidak harus kecewa kerana keputusan ini menunjukkan ada peningkatan sokongan yang cukup jelas kepada BN," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis tilawah al-Quran peringkat kebangsaan kali ke-52 di Universiti Teknologi Petronas di sini malam ini.

Muhyiddin mengulas mengenai kegagalan BN merampas kerusi DUN Manek Urai selepas calonnya tewas kepada Pas dengan majoriti tipis 65 undi.

Pas mengekalkan kerusi DUN Manik Urai setelah calonnya, Mohd. Fauzi Abdullah mengalahkan calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, keputusan itu juga menunjukkan petanda rakyat sudah mula memahami dan boleh menilai kepimpinan berwibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membawa pembaharuan kepada negara.

Justeru katanya, pemimpin dan penyokong BN tidak harus berasa terlalu kecewa malah perlu menjadikannya sebagai pendorong untuk bekerja lebih keras agar angin perubahan itu terus berlaku.

Sementara itu di KUALA KRAI, Tuan Aziz tidak kecewa dan patah semangat dengan kekalahannya malah akan meneruskan perjuangan membela kebajikan dan kesejahteraan penduduk Manek Urai.

Beliau berkata, kemenangan tipis Pas itu akan menjadi perangsang kepadanya untuk bekerja lebih keras terutama untuk menarik sokongan golongan muda kepada BN.

Pada masa sama, katanya, pengundi tua tidak akan sesekali dilupakan dalam agenda perjuangannya.

"Saya akan muhasabah dan lihat apa-apa faktor kekurangan dan membaikinya. Dalam pilihan raya kecil kali ini pengundi muda termasuk pengundi luar telah menunjukkan kembali sokongan mereka kepada BN dan UMNO," katanya pada sidang akhbar di sini malam ini.

Pengarah Jentera BN Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Datuk Mustapa Mohamed pula menyifatkan, keupayaan BN mengurangkan majoriti Pas kepada hanya 65 undi daripada 1,352 undi sebelum ini merupakan satu kemenangan moral kepada UMNO dan BN.

Katanya, ia mencetuskan permulaan kepada kebangkitan UMNO dan BN serta bukti jelas penerimaan rakyat terhadap pentadbiran Najib.

"Saya berpuas hati dengan proses demokrasi yang berjalan lancar tetapi amat kecewa dengan budaya samseng yang ditunjukkan oleh Pas, ia adalah amat memalukan bagi sebuah parti yang kononnya memperjuangkan Islam," katanya pada sidang akhbar yang sama.

Mohd. Fauzi pula ketika ditemui pemberita mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi yang memilih beliau untuk mewakili mereka.

"Saya ucap terima kasih kepada yang mengundi saya dalam pilihan raya ini, juga kepada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis," katanya.

Di KUALA LUMPUR, Ketua Penerangan UMNO Ahmad Maslan berkata, kemenangan tipis Pas membuktikan sokongan penyokong pembangkang telah mula kembali kepada BN dan rakyat mula menerima pendekatan yang diterapkan oleh BN.

Dari segi majoriti, tegasnya, BN dapat mengurangkan majoriti Pas di DUN Manek Urai apabila ada sebilangan pengundi yang sebelum ini tidak menyokong BN, telah kembali menyokong BN.

"Saya secara peribadi tidak merasa kecewa kerana bukan kesemua peti undi kita (BN) kalah... ada juga yang kita menang. Bagaimanapun kita telah berusaha sedaya upaya," kata Ahmad, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri kepada Bernama.

Monday, July 13, 2009

Selamat mengundi....

Esok akan berlangsungnya Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai .Putri ucapkan selamat mengundi kepada semua warga Manek Urai..Buatlah pilihan yang bijak dalam memilih calon pilihan anda....