Friday, May 29, 2009

Ideologi komunis hapus fitrah manusia

dipetik dari segmen rencana berita harian online
Oleh SAODAH ABD. RAHMAN

SISTEM komunis yang diamalkan oleh negara-negara komunis sama ada di Eropah atau Asia jelas menunjukkan sistem tersebut gagal dan semakin hari kian hilang pengaruhnya. Umat Islam diharamkan daripada menganuti ideologi komunis kerana ia bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak Islam.

Umat Islam yang menganut ideologi komunis dianggap sebagai orang yang menghancurkan agama Islam. Semua negara Islam yang diperintah oleh sistem komunis adalah mundur dan berada dalam sistem pemerintahan diktator.

Masyarakat Islam tidak dibenarkan melakukan ibadah dan masjid-masjid ditutup atau dijadikan sebagai muzium dan seumpamanya.

Pengaruh ideologi komunis yang berteraskan kepada sistem diktator dan konsep perkongsian kekayaan negara untuk semua rakyat gagal mempengaruhi pemikiran masyarakat dunia. Ini jelas kelihatan pada akhir tahun 1980-an wujud pergerakan revolusi secara besar-besaran menentang sistem pemerintahan komunis di negara-negara Eropah yang dikuasai oleh Soviet Union, Eropah Tengah dan Eropah Timur.

Sistem komunis yang tidak berteraskan kepada fitrah ciptaan manusia menghalang rakyatnya daripada berinteraksi dengan dunia luar.

Masyarakat Islam dalam negara komunis disiksa dan dibunuh jika mereka melakukan ibadah dan menyembah Allah. Ejen dan perisik komunis sentiasa memantau kegiatan masyarakat Islam sehingga mereka berada dalam keadaan ketakutan.

Hasil daripada sistem komunis menguasai negara-negara Islam melebihi empat puluh tahun maka generasi muda Islam yang dilahirkan dalam era pemerintahan komunis tidak mengenali agama Islam. Corak kehidupan mereka bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak Islam.
Konsep perkongsian hidup dan perkongsian kekayaan dalam corak sistem komunis tidak memberi sebarang faedah kepada rakyat sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang. Tidak ada konsep kebebasan dalam sistem pemerintahan komunis.

Sistem komunis bertentangan dengan naluri dan fitrah manusia. Manusia dianugerahkan oleh Allah keinginan untuk memiliki sesuatu berdasarkan daya dan usaha diri sendiri. Jika mereka tekun bekerja maka hasilnya adalah lebih dan berganda. Ini menggalakkan seseorang supaya tekun dan gigih untuk menjadi orang kaya dan mewah.

Setiap individu berlumba-lumba untuk memiliki sesuatu tanpa mengira masa dan jenis pekerjaan. Islam memperakui hak milik harta benda individu. Sesiapa yang tekun bekerja maka dia berjaya dan kaya. Sedangkan sistem komunis menghapuskan hak milik individu.

Sistem pemerintahan komunis mempunyai persamaan dengan sistem pemerintahan feudal dalam perkara berkaitan dengan dengan hak milik persendirian. Ketika sistem pemerintahan feudal, semua harta dan kekayaan negara dimiliki oleh golongan bangsawan dan mereka dianggap sebagai simbol kekuasaan dan kekayaan.

Istana-istana mereka dikelilingi oleh tembok-tembok yang tinggi dan rakyat diibaratkan sebagai hamba kepada golongan bangsawan.

Sistem komunis lebih teruk jika dibandingkan dengan sistem feudal. Sistem komunis menghapuskan identiti agama dan menghalang manusia daripada menyembah Allah. Sedangkan masyarakat beragama dalam sistem pemerintahan feudal dibenarkan untuk mengamalkan ibadah dan bebas menentukan hak peribadi dan diberi hak memiliki harta secara terbatas.

Setiap sistem pemerintahan yang berdasarkan konsep diktator dan kebebasan secara terbatas akan menghasilkan masyarakat yang kurang berwawasan. Pemerintahan komunis membendung rakyatnya daripada bergaul dengan warga asing kerana khuatir mereka akan menentang sistem pemerintahan komunis.

Hasil daripada sistem pemerintahan yang terlalu mengongkong rakyat, menafikan hak peribadi individu secara bebas, dan terlalu ghairah membangkitkan semangat kekayaan negara untuk rakyat dengan menggunakan pendekatan yang keras dan kejam maka rakyat menjadi bosan dan hilang semangat untuk memajukan negara.

Kehidupan mereka diibaratkan seperti kais pagi makan pagi kerana jika tekun bekerja tidak kesemua hasil yang dimiliki itu menjadi hak milik mereka kerana sebahagian besar menjadi hak milik negara.

Berdasarkan sistem pemerintahan begini maka setiap negara yang diperintah oleh sistem komunis menghadapi masalah kemiskinan dan kemunduran.

Kemiskinan dan tekanan hidup yang dihadapi oleh masyarakat Islam di bawah sistem pemerintahan komunis perlu dijadikan panduan kepada masyarakat Islam dalam negara ini bahawa ideologi dan sistem komunis tidak akan mampu membentuk sistem kemasyarakatan yang kukuh dan memberi kekayaan kepada masyarakat .

Kesemua negara yang diperintah oleh komunis adalah miskin dan mundur.

Sistem komunis menjurus manusia menjadi patung tidak bernyawa. Oleh itu tentanglah ideologi komunis supaya umat Islam lebih maju, berwawasan dan identiti mereka tidak terhapus.

Tidak ada baiknya Chin Peng pulang ke Malaysia.....

  • Kabinet mengarahkan pihak berwajib menulis semula kedurjanaan komunis dengan memperinci pembunuhan dan jenayah yang dilakukan agar generasi sekarang memahami mengapa PKM (Parti Komunis Malaya) diharamkan.
  • Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan , Datuk Seri Dr. Rais Yatim memberitahu kabinet mahu perkara ini dilaksanakan generasi sekarang jelas serta memahami bahawa komunis merupakan musuh negara.
  • Desakan beberapa pihak tertentu termasuklah pihak pembangkang supaya kerajaan membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya , Chin Peng wujud adalah kerana buku rujukan sejarah tidak menerangkan dengan jelas pengkhianatan dan kezaliman Komunis.
  • Dr. Rais berkata kementerian akan memantau blog-blog pro- Chin Peng dan memberi amaran kerana ia tertakluk di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.
  • Gerakan Penang pula berkata mereka menghormati keputusan kabinet untuk tidak membenarkan Chin Peng pulang ke Malaysia.

Putrimalaysia

Bak kata orang luka lama berdarah kembali andainya Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia.Putri rasa ramai yang tidak bersetuju daripada yang bersetuju. Manakan tidak, kezaliman mereka ini sehingga kini masih menghantui insan yang masih hidup pada zaman itu. Generasi muda sekarang tentu ramai yang tidak ambil tahu dan memahami keperitan yang dialami ketika zaman penuh berdarah yang mana Komunis bermaharajalela membunuh dengan zalim tidak kira lah siapa orang itu.

Mungkin mereka berkata "ala..itu kan semua dah tinggal sejarah, apa lagi yang nak di ungkit"...sedihlah kita andainya perkataan ini lahir daripada mulut warga Malaysia yanghampir 51 tahun Merdeka ini. pendedahan tentang kekejaman,kezaliman tentera Komunis suatu masa dulu perlu di iingatkan kepada generasi pelapis sekarang kerana mereka inilah yang bakal menerajui negara Malaysia satu masa nanti.

Kalaulah semangat patriotisme sudah tidak lagi di dalam hati anak-anak muda generasi sekarang ini tidak hairan andainya satu hari nanti negara yang dibina dan kekal merdeka 51 tahun ini akan hancur..Putri yakin bukan itu yang kita inginkan....Oleh itu marilah kita bersama-sama menghalang segala usaha membawa kembali fahaman Komunis ini apatah lagi membawa kembali bekas Ketua PKM (Parti Komunis Malaya) ke Malaysia. Ini adalah kerana ideologi Komunis ini adalah amat bertentangan dengan prinsip-prinsip rukunegara yang disemai di dalam kalangan rakyat Malaysia dan kita merupakan sebuah negara demokrasi berparlimen yang mempercayai setiap rakyat mempunyai haknya...

Generasi muda tidak boleh terpengaruh dengan anasir jahat ini yang secara terangnya merugikan bangsa dan menjatuhkan negara yang kita cintai...oleh mari kita semai semangat BENCIKAN KOMUNIS........ JANGAN TERIMA APA JUA BENTUK PERKARA YANG MENYOKONG FAHAMAN INI...

Pilihan Raya Kecil Manik Urai

  • Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 6 Julai 2009 sebagai hari penamaan calon bagi PRK Manik Urai dan 14 Julai 2009 merupakan hari mengundi.
  • PRK ini diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Manik Urai ,Ismail Yaacob (PAS) yang meninggal akibat diserang sakit jantung pada 25 May 2009 lalu.
  • Terdapat 12,293 pengundi berdaftar termasuklah pengundi pos seramai 25 orang.
  • Pecahan kaum di kawasan itu ialah 99.22% Melayu, 0.46% Kaum Cina, 0.23% India dan 0.09% lain-lain.
  • Dewan Petra di SMK Sultan Yahya Petra I di Kuala Krai akan dijadikan pusat undi dan 9 buah sekolah sebagai pusat pembuangan undi.
  • Suruhanjaya Pilihan raya berharap sekurang-kurangnya 85% orang akan keluar mengundi yang melibatkan kos sebanyak RM400,000 dan melibatkan 350 orang petugas pilihan raya.

KOMUNIS MENENTANG PENJAJAH? KENAPA MEMBUNUH?

DARI SURAT PEMBACA BERITA HARIAN 29/5/09 MS 34

Waris 12,000 korban komunis masih anggap Chin Peng ‘berhutang nyawa’SETENGAH abad lebih kemerdekaan menyaksikan negara berada dalam kestabilan politik, kemantapan dan kemajuan ekonomi selain kemakmuran serta kesejahteraan sosial segenap lapisan rakyatnya.Keadaan sedemikian dimungkinkan kerana perpaduan nasional yang padu dan erat, hasil kerjasama serta permuafakatan sehingga mengukuh semangat kekitaan dan kepunyaan seluruh masyarakat.Hakikat itu menjadikan kemerdekaan selama ini sebagai tanggungjawab masyarakat dalam proses pembinaan satu rupa bangsa dan negara Malaysia.Justeru, jika ada pihak mengambil kesempatan dengan usaha licik hendak mengeruhkan suasana harmoni sedia ada, pasti mereka akan dianggap petualang negara dan bangsa lantaran tidak mengambil kira atau menjaga sensitiviti rakyat.Tindakan kerajaan tidak membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, pulang ke Malaysia, seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah keputusan bijak dan jitu. Semua pihak patut menghormatinya.Keputusan kerajaan itu dibuat bagi mengelak timbul rasa kurang senang dan tidak puas hati di kalangan anggota pasukan keselamatan dan keluarga mereka yang pernah menjadi mangsa kekejaman komunis ketika darurat pada 1948-60 dulu.Malah, sensitiviti masyarakat setempat dan seluruh negara yang pernah merasai derita dan sengsara keganasan komunis turut tersentuh dan terbayang-bayang kegagalan Rundingan Damai Baling 1955 itu akibat keangkuhan komunis meneruskan perjuangan bersenjata.Chin Peng dilaporkan kini menetap di perkampungan khas di Selatan Thailand, persekitaran yang lazim kepadanya seperti terbongkarnya terowong rahsia tidak lama dulu.Menurut Gordon P Means (1976:290), darurat 12 tahun itu mengorbankan 11,609 nyawa termasuk 1,345 anggota keselamatan dan 2,473 orang awam.Angka itu belum mengambil kira yang cedera terhimpit dalam penderitaan sepanjang hayat.Kerajaan Persekutuan terpaksa menanggung kos RM203 juta (1953) dan RM169 juta (1954) untuk menentang ancaman komunis yang tidak beradab dan tidak berperikemanusiaan itu.Ketika Jepun menyerah kalah sementara menunggu ketibaan pasukan bantuan Inggeris dari India, Bintang Tiga mengambil kesempatan membunuh orang Melayu yang disyaki bersubahat dan bekerjasama dengan Jepun dan Inggeris.Mengikut cerita arwah bapa, ketika itu usia saya baru enam bulan dan seluruh kampung kami, Parit (2) Chikus (Sungai Manik) terletak tiga kilometer saja dari pekan Langkap, dijejaki dan digeledah puak berkenaan.Kami bersembunyi dalam semak beberapa langkah saja daripada jejak mereka.Mujur saya tidak menangis, sekali gus dapat menyelamatkan kami empat beranak sementara ramai jiran dikelar hidup-hidup sementara mayat mereka digantung di atas pokok dalam keadaan leher terkulai, menjadikan tempat itu fobia kepada penduduk sampai sekarang.Dalam perjumpaan dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Chin Peng dilaporkan berkata, perjuangan PKM yang diharamkan itu ialah menentang penjajah Inggeris.Kini, ada usaha diberitakan hendak menggiatkan fahaman komunis itu semula konon menentang penjajah bentuk baru.Biar apapun labelnya, ancaman komunis tetap berbahaya dan boleh merobek keamanan hidup rakyat, kestabilan politik nasional dan kemakmuran negara.Sensitiviti rakyat dapat dijaga dengan tidak mengungkit-ungkit nostalgia silam penuh tragis zaman darurat itu demi kelangsungan hidup berpremiskan perpaduan nasional sejati seperti dikecapi selama ini.
DR ILLIAS ZAIDI,Akademi Buku Malaysia,Kuala Lumpur.

Tuesday, May 26, 2009

Tolak komunisme

PUTRAJAYA 25 Mei – Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mahu sentimen bahawa komunisme mempunyai nilai-nilai nostalgia dan positif dilupuskan sama sekali dalam pemikiran seluruh rakyat Malaysia.

Sambil menyuarakan rasa amat terkejut dengan tindakan pihak tertentu yang cuba membangkitkan sentimen itu, beliau mengingatkan bahawa adalah satu bencana kepada negara ini jika ada pihak cuba menggalakkan kemunculan semula komunis di Malaysia termasuk menerusi media cetak dan blog.

‘‘Pada masa ini jelas menampakkan seolah-olah ada rangkaian untuk membawa masuk (bekas pemimpin Parti Komunis Malaya) Chin Peng ke Malaysia dengan cuba membuat penilaian dan peranan baru terhadapnya.

‘‘Inilah yang kita anggap satu kedurjanaan, unsur-unsur ini langsung tidak peka dengan pembunuhan beribu-ribu rakyat negara ini di tangan gerila komunis antara tahun 1948 hingga 1960 dulu. Saya yakin rakyat Malaysia tidak mudah tertipu,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Aminah dakwa PKR tawar jawatan, wang

BUKIT MERTAJAM 25 Mei - Calon Bebas, Aminah Abdullah hari ini tampil mendedahkan bukti Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang didakwa cuba menyogoknya dengan menawarkan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1) atau Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan wang RM88,000.

Menurutnya, jawatan TKM1 Pulau Pinang dan wang RM88,000 itu ditawarkan sekiranya beliau menang atas tiket Bebas dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti pada 31 Mei ini, tetapi dengan syarat beliau kembali menyertai PKR.

Katanya, jawatan Yang Dipertua MPPP dan wang RM88,000 ditawarkan jika beliau menarik diri daripada bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Jelasnya, bukti kedua-dua tawaran berserta wang tersebut, iaitu rakaman perbualan bersama dua wakil PKR yang datang menemuinya di rumahnya di Jelutong, Pulau Pinang pada 13 Mei lalu, akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Komtar, Pulau Pinang esok.
"Kalau saya teruskan bertanding (atas tiket Bebas) dan menang, PKR menawarkan jawatan TKM1 tetapi mesti masuk semula ke dalam parti PKR manakala kalau saya tarik diri pula, mereka tawarkan jawatan Yang Dipertua MPPP.

"Kedua-dua tawaran itu disertai dengan ganti rugi RM88,000 kerana itulah jumlah yang telah saya belanjakan untuk berkempen termasuk wang deposit untuk bertanding kerusi DUN Penanti," katanya pada sidang akhbar di Simpang Tiga, Kubang Ulu di sini hari ini.

Pada kira-kira pukul 11.50 pagi ini, beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) bertujuan melindungi keselamatan dirinya dan keluarga ekoran pendedahannya itu.

Aminah berkata, dua individu yang mewakili PKR adalah seorang pegawai khas Exco kerajaan negeri dan seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR.

Menurutnya, selain pita rakaman perbualan dalam bentuk cakera padat selama lebih tiga jam, beliau akan menyerahkan kepada SPR gambar-gambar ketika dikunjungi dua wakil PKR itu.

"Saya mendedahkan bukti ini kerana berpegang kepada prinsip dan bukan ditaja mana-mana pihak untuk bertanding atas tiket Bebas, sebaliknya berharap SPR menyerahkan laporan ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.

"Saya juga membuat pendedahan bukti hari ini bagi menyahut cabaran yang dilontarkan kepada saya oleh pemimpin PKR negeri,"

Menjelaskan lebih lanjut mengenai tawaran PKR itu, Aminah memberitahu, tawaran tersebut dibuat PKR kerana parti itu tidak yakin calon mereka, Dr. Mansor Othman boleh menang kerusi DUN Penanti.
***************************************************************************
Putri: Apa nak jadi dengan PKR ni...Kita tunggu dan lihat apa terjadi seterusnya....

Kemelut dalaman PPP kena selesaikan segera

Nampaknya kemelut dalam PPP semakin meruncing.. semua akhbar bermula semalam sedang rancak mebincangkan kemelut dalam parti ini yang melibatkan ketua Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas dan Senator Datuk T. Murugiah yang diumum Presiden PPP semalam. Putri fikir eloklah perbincangan di adakan dan nasihat daripada PM dan TPM adalah amat penting diberikan ketika ini agar ianya tidak menjejaskan imej BN keseluruhannya. Pihak pembangkang akan sedaya upaya untuk menunjukkan kelemahan BN dengan apa jua cara sekalipun..Janganlah kita tergoda dengan apa yang di putar belitkan mereka dan isu ini adalah salah satu daripadanya. So kemelut dalaman ni perlu diselesaikan segera..harap-harap semua pihak janganlah mudah melatah...

Pemuda PPP mahu Perdana Menteri bertindak

JOHOR BAHRU 25 Mei - Pemangku Ketua Pemuda Parti Progresif Penduduk (PPP), Jamaluddin Gulamhan meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil tindakan sewajarnya terhadap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah kerana menyalahgunakan kuasanya untuk kepentingan peribadi.

Beliau berkata, Murugiah turut mendakwa mesyuarat agung luar biasa (EGM) anjurannya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam turut mendapat sokongan Perdana Menteri.

"Beliau menyatakan kepada semua perwakilan bahawa perhimpunan anjurannya itu mendapat sokongan penuh Perdana Menteri. Persoalannya adakah perkara ini benar?
"Sikap dan tindakan Murugiah itu bukan saja menjejaskan nama dan kedudukan beliau sebagai Timbalan Menteri malah merosakkan imej kaumnya sendiri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kemelut dalaman PPP semakin memuncak semalam apabila Murugiah yang sebelum ini dipecat sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) dipilih sebagai presiden baru parti itu.

Pemilihan dibuat pada EGM oleh kira-kira 1,760 perwakilan yang didakwa melibatkan lebih dua pertiga cawangan PPP di seluruh negara di PICC, Putrajaya semalam.

Murugiah dipilih sebulat suara sebagai Presiden selepas undi tidak percaya ke atas Datuk M. Kayveas dilulus sekali gus membawa kepada pelucutan jawatan Presiden yang telah disandangnya sejak 1993.

Jamaludin berkata, pihaknya menerima laporan segelintir perwakilan yang mendakwa mereka tidak tahu tujuan sebenar perhimpunan itu diadakan sehingga mereka berada di dewan berkenaan.

Beliau berkata, tindakan mengadakan perhimpunan tersebut membuktikan bahawa Murugiah telah menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya selaku Timbalan Menteri.
"Perhimpunan haram yang dianjurkan semalam di Putrajaya itu adalah salah dari sisi undang-undang dan perlembagaan parti," tegasnya.

Beliau berkata, Pemuda PPP Johor bersama 22 ketua pemuda bahagian dari negeri ini sebulat suara menyokong kepimpinan Kayveas dan mahu beliau terus memimpin parti berkenaan secara sah.

"Saya selaku Pemangku Ketua Pemuda PPP bersama semua ketua pemuda negeri telah menyatakan sokongan penuh kami kepada M. Kayveas sebagai Presiden PPP yang sah," katanya.
***************************************************************************************
Timbalan Perdana Menteri ,Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berjumpa dengan Senator Datuk T. Murugiah dan Datuk M. Kayveas hari ini untuk meminta penjelasan berhubung krisis dalyang berlaku dalam “People’s Progressive Party”.

Beliau ingin mengetahui perkara sebenar tentang masalah yang di alami parti tersebut dan status sebenar PPP agar tindakan segera dapat diambil agar masalah ini tidak berlarutan dan menjadi semakin serius sehingga menjejaskan imej BN.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemelut dalaman PPP yang semakin memuncak apabila Murugiah, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang sebelum ini dipecat sebagai Anggota Majlis Tertinggi parti, dipilih sebagai presiden baru parti itu pada mesyuarat agung tergempar (EGM) parti semalam. Pemilihan dibuat pada EGM itu oleh 1,760 perwakilan yang didakwa melibatkan lebih dua pertiga cawangan PPP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)

Pada masa yang sama, Kayveas mempertahankan bahawa beliau masih presiden PPP yang sah dan menyelar tindakan Murugiah mengadakan EGM itu tanpa mendapatkan kelulusan Majlis Tertinggi parti.

Muhyiddin berkata Kayveas meminta untuk bertemu dengannya bagi menjelaskan kedudukan mengenai peristiwa itu dan pada masa yang sama beliau juga mahu tahu apa kesan daripada tindakan Murugiah

Monday, May 25, 2009

Jangan Menyalahertikan konsep 1 Malaysia

Datuk Seri najib Tun Razak mengatakan jangan ada pihak yang cuba untuk menyalah gunakan konsep 1 Malaysia sebagai cara membuat tuntutan terlampau atau yang tidak munasabah tetapi beliau berharap ia akan membantu dalam memantapkan lagi perpaduan.
Konsep 1 Malaysia juga perlu berlandaskan atas 3 prinsip utama iaitu penerimaan, kebebasan bersosial dan kenegaraan.

Dalam soal perpaduan kita tidak boleh mengambil ringan kerana perpaduan itu mengukuhkan lagi integrasi nasional yang merupakan kunci utama kejayaan sesebuah negara. Menurut beliau lagi adalah penting penting untuk kita memahami prisip kenegaraan termasuklah sejarah negara, perlembagaan persekutuan dan Rukun Negara.

Friday, May 22, 2009

Amaran terhadap Hindraf

KUALA LUMPUR 21 Mei – Pertubuhan haram Hindraf diberi amaran supaya tidak membuat tuntutan ekstrem atau masyarakat India di negara ini terpaksa menanggung kerugian.

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, tuntutan tidak munasabah yang menggunakan pendekatan ekstrem sehingga mengancam keselamatan negara hanya akan menyebabkan masyarakat India yang menyokong Hindraf dibenci selain terpaksa berdepan dengan tindakan undang-undang.

‘‘Saya mengingatkan pertubuhan haram seperti Hindraf jangan melampau dan ekstrem menuntut hak atas dasar demokrasi kononnya bagi memperjuangkan kaum India.

‘‘Kesan tindak-tanduk Hindraf itu akan menyebabkan masyarakat India lain akan dibenci sehingga boleh menimbulkan pergaduhan yang akhirnya merugikan kaum itu sendiri,’’ katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pendirian UMNO selaku parti tunjang dalam kerajaan berhubung ancaman Hindraf yang semakin lantang selepas pemimpinnya, P. Uthayakumar dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan Hindraf merancang mengadakan protes jalanan sekiranya arahan terhadap Uthayakumar untuk bertemu dengan Lembaga Penasihat ISA tidak ditarik balik.

Kata dua itu dikeluarkan oleh Pengerusi Hindraf, P. Waythamoorthy yang juga adik kepada Uthayakumar.

Menurut Ahmad, kerajaan tidak perlu melayan tuntutan Hindraf, sebaliknya, tindakan tegas perlu segera diambil agar kumpulan pelampau seperti itu dapat dihapuskan seperti tindakan yang pernah diambil terhadap kumpulan ektremis lain sebelum ini.

Katanya, jika kerajaan melayan tuntutan Hindraf ia hanya akan menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan masyarakat negara ini.

‘‘Kita tidak mahu sebarang pertubuhan haram yang kononnya mewakili kaum minoriti di negara ini bersuara terlalu nyaring sehingga menimbulkan keresahan kaum majoriti,’’ tegasnya

Thursday, May 21, 2009

HAYATI APA ITU 1 MALAYSIA


Menjadi harapan untukku menyaksikan

Umat yang bertuah ini kembali bersatu hati

Buangkan yang keruh ambillah yang jernih

Tiada yang lebih berharga selain dari perpaduan



Lupakanlah segala persengketaan

Hubungkan kembali tali persaudaraan

Kerna orang beriman itu bersaudara

Saling bertolong bantu berkasih mesra

Agar generasi kita di masa hadapan

Bangga dengan apa yang kita wariskan

Menjadi harapan untukku menyaksikan

Umat yang bertuah ini kembali bersatu hati





Bersatu kita teguh bercerai kita roboh

Yang berat sama dipikul

Yang ringan dijinjing sama

Sepakat membawa berkat

Asas hidup bermasyarakat

Amalkan hidup yang sihat

selamat dunia akhirat





Lupakanlah segala persengketaan

Hubungkan kembali tali persaudaraan

Kerna orang beriman itu bersaudara

Saling bertolong bantu berkasih mesra

Agar generasi kita di masa hadapan

Bangga dengan apa yang kita wariskan







Lagu ini mengimbau kembali saat putri berada di bangku sekolah dahulu. Jika dulu putri nyanyi tanpa faham apa makna lagu ini tetapi setelah putri perhatikan dan amati rupa-rupanya lagu ini adalah amat bersesuaian dengan konsep 1 Malaysia. Kalau nak ikutkan, konsep 1 malaysia ini sebenarnya memang dah sedia wujud..tetapi langkah-langkah memperkasakannya lah yang perlu dilakuakan. 1 Malaysia bermakna rakyat bersama-sama berganding bahu membangunkan Malaysia. Tanpa wujud perselisihan faham, tanpa perlu mempersoalkan keistimewaan sesuatu kaum, tanpa berbalah...itu lah maksudnya 1 malaysia. mungkin dari sudut pemahaman dan pandangan orang lain, lain pula yang diterjemahkannya. Tetapi ini adalah apa yang putri fikir. Setiap warga Malaysia seharusnya faham dan menghayati konsep 1 Malaysia ini dan perlu diserapkan sejak dari kecil lagi agar konsep ini dapat dihayati dan difahami bersama demi membina sebuah negara yang aman makmur dan harmoni...

Tuesday, May 19, 2009

Isu Perak: BN sedia berunding selepas keputusan mahkamah

KUALA LUMPUR 18 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) sedia berunding dengan pakatan pembangkang berhubung kemelut di Perak tetapi ia akan dilakukan selepas mahkamah membuat keputusan.

Beliau berkata, pada peringkat ini masing-masing harus menghormati keputusan sedia ada tanpa membuat sebarang tindakan yang boleh menimbulkan kekacauan serta menjejaskan ketenteraman awam.

‘‘Buat masa ini kita belum lagi berunding dengan pihak pembangkang kerana kita perlu tentukan kedudukan kes ini di sisi undang-undang. Kes ini mesti disahkan oleh mahkamah terlebih dahulu.

‘‘Oleh itu saya minta semua menghormati proses undang-undang dan masing-masing tidak boleh melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan kekacauan dan sekali gus boleh menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Perdana Menteri bagaimanapun mengulangi pendiriannya bahawa pembangkang tidak harus menetapkan sebarang syarat bagi mengadakan pertemuan tersebut.

Menjawab satu soalan lain, Najib berkata, terpulang kepada BN Perak untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Sementara itu, beliau menjelaskan tidak ada isu berbangkit berhubung dengan jaminan kerajaan sebanyak RM5 bilion kepada pihak Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

‘‘Ini bukan dalam bentuk wang tetapi dalam bentuk jaminan kerajaan. Kita (Kerajaan Pusat) merupakan rakan kongsi dengan kerajaan negeri.

‘‘Secara umumnya kita membuat jaminan, ini bukan hanya setakat RM5 bilion tetapi RM11 bilion. Kita mahu TIA membuat pelaburan di seluruh negara dan bukan hanya di Terengganu sahaja,” katanya.

Beliau berkata, dengan cara tersebut ia boleh merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara selain mampu menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI).

Hasil daripada kerjasama itu, katanya, pihak Kerajaan Pusat akan memperoleh 10 peratus daripada keuntungan keseluruhan yang diperoleh TIA.

Thursday, May 14, 2009

Pemimpin-pemimpin Pembangkang Bincang Krisis Perak Esok

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Pemimpin-pemimpin parti pembangkang akan mengadakan perjumpaan esok bagi membincangkan isu berhubung krisis politik Perak, dan bagi menentukan langkah seterusnya yang akan diambil.Anggota Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang berkata krisis Perak bukan sesuatu yang bersifat kenegerian semata-mata, tetapi ia adalah krisis yang menggambarkan perlembagaan dan institusi negara.Beliau yang ditemui pemberita selepas menghadiri satu forum umum di sini malam ini bagaimanapun enggan memberitahu di mana mesyuarat itu akan diadakan nanti.Penasihat DAP itu juga berkata beliau akan mencadangkan supaya satu perjumpaan diadakan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara itu kerana ia membabitkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.-- BERNAMA
*******************************************************************************
PUTRI yakin isu ini lah yang akan dimainkan di setiap pelusuk negeri oleh pihak pembangkang yang akan sentiasa mencari salah pihak kerajaan. Sekadar pendapat sahaja, putri merasakan kemelut politik di Perak ini tak akan selesai sehinggalah ada pihak yang mengalah dan membenarkan pilihanraya peringkat negeri dibuat kembali. Putri rasa ramai juga yang sependapat dengan putri. Apa yang utama sekarang ni adalah pembangunan negeri. Jangan pula dibiarkan berlanjutan lagi. Akhirnya yang rugi rakyat Perak sendiri. Kasihan mereka..mereka seperti berada dalam kapal yang mempunyai dua nakhoda tapi tak pasti kepada siapa mereka perlu patuh....Ape-ape pun kita tunggu dulu keputusannya....

DBKL Kaji Pelbagai Cadangan Untuk Tangani Jenayah Ragut

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mengkaji pelbagai cadangan bagi mencegah jenayah ragut di kota raya, termasuk rancangan membanyakkan jejambat pejalan kaki, membangunkan banyak pokok renek untuk laluan motosikal, di samping menghadkan laluan buat motosikal.Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Fuad Ismail berkata beliau sudah mengarahkan pegawai DBKL membuat kajian dengan sebuah institusi berkaitan perkara itu.Katanya bagi usaha penanaman pokok sebagai penghadang buat laluan motosikal, ia sudah dilaksanakan di beberapa laluan di pusat bandar, dan langkah itu akan dilaksanakan di kawasan-kawasan lain jika ia didapati berkesan."Penanaman pokok renek dapat menghadang motosikal daripada masuk ke laluan pejalan kaki, dan secara tidak langsung ia dapat mengelak jenayah ragut daripada berlaku," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di sini Rabu.Menurutnya selain itu sekiranya penanaman pokok dapat dibanyakkan, ia akan dapat mengindahkan lagi persekitaran bandar raya.Ahmad Fuad berkata pihaknya bagaimanapun tidak pernah mengeluarkan sebarang larangan terhadap kemasukan motosikal ke bandar raya, sebaliknya cadangan itu datangnya dari pihak polis, dan menurutnya perkara itu masih sedang dibincangkan oleh DBKL dan polis.-- BERNAMA
************************************************************************************
PUTRI:Cepat-cepatlah bertindak sebelum ia meruncing.....

Wednesday, May 13, 2009

Mat Rempit Mengganas Lagi

Putri sangat geram, marah dan sedih dengan jenayah mat rempit yang makin menjadi-jadi dan extreme sampai ada mangsa yang jadi korban jenayah tak berperikemanusiaan ini. Kerajaan perlu mengambil tindakan yang drastik dalam menangani isu ini yang makin membimbangkan.seakannya berjangkit-jangkit. Setiap minggu ada saje yang jadi mangsa mat rempit ni. Putri pun nak berkongsi pengalaman yang mana putri pun merupakan salah satu mangsa mat rempit ni. Nasib baik la tak ada apa2 berlaku. Kejadian tu belaku waktu malam masa putri naik motor dengan rakan. Kepada rakyat Malaysia. Sentiasalah berwaspada dengan keadaan sekeliling. dan semoga kejadian ini akan dibendung dengan baik oleh kerajaan. ......

Zambry kekal MB Perak

PUTRAJAYA 12 Mei - Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir untuk menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Dengan keputusan itu, status quo Zambry sebagai Menteri Besar Perak kekal buat masa ini sehingga rayuannya terhadap perintah Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) semalam diputuskan oleh Mahkamah Rayuan kelak.
Hakim Datuk Ramly Ali ketika memutuskan demikian turut memerintahkan agar tarikh awal ditetapkan bagi mendengar rayuan tersebut.
Hakim Ramly ketika membacakan penghakiman ringkasnya menyatakan, mahkamah menggunakan bidang kuasanya mengeluarkan perintah penggantungan tersebut berdasarkan kepada keunikan dan kepentingan situasi politik di Perak.
Beliau menyatakan, perkembangan di Perak bukan hanya melibatkan Zambry selaku Menteri Besar malah ia turut membabitkan keseluruhan perjalanan politik di negeri tersebut.
''Mahkamah menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi itu setelah berpuas hati bahawa perkembangan kes ini amat penting dan unik. Rayuannya akan didengar pada tarikh awal,'' ujar Hakim Ramly.
Semalam, Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim membenarkan permohonan semakan kehakiman Mohammad Nizar, 52, agar mahkamah mengisytiharkan beliau masih Menteri Besar yang sah berdasarkan perlembagaan negeri itu kerana beliau yang bertindak menasihati sultan untuk membubarkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bagaimanapun, setelah hampir 18 jam keputusan Mahkamah Tinggi dikeluarkan, Zambry memfailkan permohonan rasmi di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan kira-kira pukul 9.30 pagi ini agar perintah itu digantung sementara menunggu rayuan selesai.
Tindakan itu dibuat berikutan keputusan Hakim Abdul Aziz semalam yang menolak permohonan lisan peguam Datuk Cecil Abraham yang mewakilinya untuk menangguhkan perintah keputusan tersebut.
Permohonan itu ditolak setelah Abraham gagal mengemukakan nas undang-undang berkaitan penangguhan itu.
Selain permohonan penangguhan, Zambry hari ini turut memfailkan rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Notis rayuan itu difailkan melalui firma guaman, Tetuan Zul Rafique & Partners di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di ibu negara kira-kira pukul 9 pagi ini.
Dalam prosiding hari ini, peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Mohammad Nizar berhujah agar penangguhan perintah itu ditolak dan memohon mahkamah mengembalikan isu berbangkit ke Mahkamah Tinggi.
Beliau menyatakan, Hakim Mahkamah Tinggi sudah memberi laluan bahawa penangguhan boleh dibuat asalkan Zambry memfailkan permohonan secara bertulis di samping mengemukakan nas undang-undang yang berkaitan.
Sulaiman dalam hujahnya turut memohon agar satu tarikh awal ditetapkan untuk mendengar rayuan terhadap perintah tersebut bagi membolehkan ia diselesaikan segera.
''Jalan penyelesaian yang ada ialah menolak permohonan penangguhan atau mengembalikan ke Mahkamah Tinggi melainkan mahkamah berpendapat isu berbangkit sudah akademik kerana Zambry bukan lagi Menteri Besar Perak,'' ujar Sulaiman.
Menurut beliau lagi, Menteri Besar tidak boleh membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) melainkan setelah mendapat perkenan Sultan Perak yang mana ia pernah ditolak pada kali pertama permohonan dibuat.
Kata Sulaiman, jika mahkamah menetapkan tarikh awal, kemungkinan Sultan Perak akan menangguhkan perkenan baginda (agar Dewan dibubarkan) dan menunggu sehingga keputusan dikeluarkan.
Peguam Datuk Cecil Abraham yang mewakili Zambry pula berhujah, perintah Mahkamah Tinggi itu perlu ditangguhkan segera bagi menyekat Mohammad Nizar memperoleh perkenan Sultan Perak untuk membubarkan DUN.
Terdahulu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang bertindak sebagai pencelah bagi kerajaan Malaysia berhujah agar isu itu diselesaikan ke peringkat Mahkamah Persekutuan secepat mungkin.
Beliau menyatakan, perkembangan politik di Perak memberi kesan kepada seluruh negara dan jika dilengah-lengahkan akan menimbulkan krisis yang berpanjangan.
Sementara itu di luar mahkamah, peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun bersama-sama Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi Barisan Nasional (BN) memberitahu, keputusan itu menandakan kejayaan awal BN yang diperoleh berlandaskan kepada lunas undang-undang.
Menurut Mohd. Hafarizam, penangguhan itu dengan sendirinya menjadikan perintah semalam digantung manakala status quo Zambry serta barisan Exconya kekal.

Tuesday, May 12, 2009

Perubahan UMNO satu keperluan

Dipetik dari sumber : Bharian online

KUALA LUMPUR 11 Mei - Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan perubahan terhadap parti itu bukan lagi satu pilihan tetapi sudah menjadi satu keperluan yang tidak boleh dipandang ringan.
Sehubungan itu katanya, UMNO perlu berani membuat perubahan jika parti keramat orang Melayu itu mahu terus kekal relevan terutama di kalangan generasi muda hari ini.
Katanya, perubahan yang hendak dicapai juga hendaklah ikhlas dan sama sekali tidak boleh bersifat retorik semata-mata kerana rakyat hari ini memiliki minda yang kritis dan lebih terbuka.
Kata beliau, untuk UMNO mahu kekal, ia perlu merasai aspirasi dan denyutan nadi rakyat.
“UMNO tiada pilihan, kalau ingin menjadi parti relevan, parti yang teras pada pemerintahan, UMNO mesti merupakan parti berani buat perubahan, menerajui pembaharuan, berada di saf hadapan untuk menunjukkan hala tuju baru bagi negara kita secara keseluruhan.
“Kalaulah kita berada di kelok pembaharuan selama ini, kalaulah kita adalah parti yang menerajui perubahan, mengapa kita tidak sekali lagi bangkit dan muncul sebagai parti yang berani membuat perubahan.
“Saya yakin, walau pahit sekali pun pengalaman kita selama ini, walaupun kita berada di dalam keadaan getir, tetapi jika sanggup belajar daripada pengalaman waima pahit dan getir, kita jadikan itu sebagai ingatan dan sanggup lakukan perubahan besar, insya-Allah kita boleh bangkit menjadi parti lebih kuat, subur dan berjaya lagi,’’ katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan 63 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam ini.
Hadir sama Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Presiden, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Najib berkata, budi yang ditabur UMNO selama ini bukan kecil dan tidak boleh dinafikan, tetapi untuk parti itu terus mendapat tempat di hati rakyat, ia tidak hanya boleh bergantung kepada jasanya semata-mata.
“Saya mengajukan perubahan kerana mana-mana parti yang tidak berani buat perubahan, walaupun parti itu banyak jasa, akhirnya jasa itu akan tinggal dalam lipatan sejarah,” katanya
Tambah beliau, UMNO perlu menyemai budaya-budaya baru yang berpaksi pada semangat sanggup berkhidmat dan meletakkan kepentingan rakyat lebih daripada kepentingan lain.
“Budaya yang tawaduk, merendah diri, suka menyusur bersama-sama dengan rakyat mestilah budaya yang kita pupuk di kalangan ahli-ahli parti,” katanya.
Beliau berkata, jasa baik para pemimpin sebenarnya dinilai oleh rakyat sepanjang masa.
“Jangan ingat khidmat kita yang ikhlas itu tidak akan diperhatikan dan dihargai oleh rakyat, dan akhirnya sebagai orang Islam, kita percaya Allah SWT adalah penilai yang sebaik-baiknya kepada kita,” jelas beliau.
Pada majlis itu, beliau turut menyentuh gagasan pentadbirannya iaitu Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Katanya, soal Satu Malaysia bukanlah sesuatu yang baru sebaliknya penyambung kepada gagasan-gagasan para pemimpin lain sebelum ini.
“Apabila saya menyusul dengan Satu Malaysia, ia berpaksi kepada Perlembagaan negara kita, berpaksi pada Rukun Negara, hakikat dan realiti bahawa kita adalah negara majmuk dan kejayaan UMNO mestilah bersandar pada kejayaan orang Melayu dan sokongan rakan-rakan kita dalam Barisan Nasional (BN).
“Dengan semangat kebersamaan ini, maka kita akan dapat kekuatan yang baru untuk menghadapi pelbagai cabaran,” katanya.
Beliau juga menyentuh mengenai kemelut politik di Perak dan berkata, UMNO akan mencari penyelesaian yang terbaik berhubung perkara itu.
“Dalam sejarah UMNO, kita pernah terima keputusan mahkamah haramkan UMNO dan kita telah bangkit daripada keputusan itu dengan membina UMNO yang kita warisi sekarang.
“Saya percaya kita perlu ada semangat yang sama, kita menang dua keputusan mahkamah, kita kalah satu, kalau dari segi moralnya 2:1, ini bukan penghujung jalan, masih ada jalan untuk difikirkan langkah-langkah yang sewajarnya,” katanya.
Katanya, beliau akan bersama-sama pemimpin UMNO dan BN mencari akan berusaha bersama mencari jalan penyelesaian.

Mohammad Nizar sah MB Perak


KUALA LUMPUR 11 Mei - Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) hari ini memutuskan bahawa Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah.
Keputusan Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim itu sekali gus menamatkan krisis politik antara pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN) yang telah berlarutan sejak tiga bulan lalu.
Bagaimanapun keputusan tersebut masih belum muktamad kerana Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang dinamakan sebagai responden dalam permohonan itu masih boleh mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Dalam penghakimannya hari ini, Hakim Abdul Aziz turut menolak permohonan lisan peguam Datuk Cecil Abraham yang mewakili Zambry untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan tersebut sementara menunggu rayuan.
Beliau menolak permohonan itu setelah Abraham gagal mengemukakan nas undang-undang berkaitan penangguhan itu tetapi beliau menyatakan peguam itu boleh memfailkan permohonan penangguhan itu kemudian secara bertulis.
Zambry dipercayai akan memfailkan rayuannya esok sementara seorang lagi peguam yang mewakilinya memaklumkan bahawa pihaknya akan mendapat arahan lanjut berhubung permohonan penangguhan tersebut.
Terdahulu, dalam penghakiman lisannya, Hakim Abdul Aziz berkata, jawatan Menteri Besar Perak tidak boleh dianggap kosong kerana usul undi tidak percaya terhadap Mohammad Nizar tidak dibentangkan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Justeru, tegas beliau, Mohammad Nizar selaku pemohon dalam semakan kehakiman itu tidak boleh dikatakan hilang kepercayaan majoriti anggota DUN mengikut Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP).
''Berdasarkan amalan demokrasi, isu hilang kepercayaan majoriti hanya boleh diambil kira melalui undi tidak percaya terhadap pemohon (Mohammad Nizar). Melalui cara ini sahaja Menteri Besar boleh disingkirkan,'' kata Hakim Abdul Aziz.
Dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 13 Februari lalu, Mohammad Nizar, 52, memohon mendapatkan perintah perisytiharan bahawa beliau masih Menteri Besar Perak yang sah berdasarkan perlembagaan negeri itu kerana beliau yang bertindak menasihati sultan untuk membubarkan sidang DUN.
Mohammad Nizar yang dipilih sebagai Menteri Besar selepas pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-12 di negeri itu setahun lalu turut mendakwa, beliau tidak pernah meletak jawatan mahupun terdapat sebarang undi tidak percaya dibuat terhadapnya supaya melepaskan jawatan.
Hakim Abdul Aziz yang membacakan penghakimannya selama satu jam 10 minit turut berkata, jika sememangnya terdapat undi tidak percaya kepada Mohammad Nizar, mengapa BN tidak mengadakan persidangan khas DUN untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap pemimpin itu.
''Fakta yang tidak dinafikan ialah tidak terdapat undi tidak percaya terhadap pemohon sebelum beliau menemui Sultan kerana beliau tidak pernah disingkirkan melalui cara tersebut,'' ujar beliau.
Di samping itu, katanya, mengikut Perkara 16(6) UTKP, Sultan Perak tidak mempunyai kuasa untuk memecat Mohammad Nizar daripada jawatan Menteri Besar, meskipun Baginda mempunyai kuasa melantik.
''Sultan Perak juga tidak boleh menyingkir seseorang Menteri Besar hanya kerana pemegang jawatan itu tidak mendapat perkenan Baginda,'' katanya.
Sebaliknya, menurut Hakim Abdul Aziz, pemecatan Menteri Besar hanya boleh dilakukan oleh anggota-anggota DUN yang telah dipilih oleh rakyat.
Justeru, beliau menolak hujahan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail selaku pencelah dalam permohonan itu bahawa hanya dalam dua keadaan DUN boleh dibubarkan iaitu ketika Menteri Besar hilang sokongan majoriti anggota DUN dan apabila hampir tamat tempoh Dewan.
''Saya tidak bersetuju dengan hujahan Peguam Negara kerana mengikut Perkara 36 UTKP, tiada keadaan yang terhad bagi Menteri Besar untuk memohon pembubaran daripada sultan dan terserah kepada Menteri Besar untuk memilih masanya untuk menentukan pembubaran,'' kata Hakim Abdul Aziz.
Beliau turut tidak bersetuju dengan hujahan Peguam Negara dan Zambry selaku responden bahawa Mohammad Nizar dianggap telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar mengikut Perkara 16(6) UTKP.
Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Aziz turut menyentuh afidavit Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid serta keterangannya ketika dipanggil pada prosiding pemeriksaan balas.
(Ahmad Kamal memberi keterangan selepas Mohammad Nizar mempersoalkan afidavit Penasihat Undang-Undang Negeri itu yang dikatakan tidak konsisten)
Menurut hakim tersebut, Ahmad Kamal sebagai seorang pegawai kanan kerajaan bukanlah seorang saksi yang berkecuali dan adil apatah lagi dalam keterangannya beliau mengakui telah diarahkan untuk mengikrarkan afidavit sokongan terhadap Zambry setelah diarahkan oleh peguam Zambry.
''Ahmad Kamal sendiri memilih perkataan 'diarahkan' oleh peguam responden untuk mengikrarkan afidavit itu. Dia boleh menggunakan perkataan lain seperti 'diminta' atau 'beliau menawarkan diri'. Perkataan (diarahkan) yang digunakan amat keras,'' katanya.
Sehubungan dengan itu, pada hemat beliau, keterangan Ahmad Kamal diwarnai dengan arahan yang telah diterima oleh saksi tersebut.
Mengenai penemuan Mohammad Nizar dengan Sultan Perak di Istana Kinta pada 4 Februari lalu, Hakim Abdul Aziz berkata, beliau memilih untuk mempercayai versi Mohammad Nizar dan bukannya versi Ahmad Kamal.
Mohammad Nizar dalam afidavitnya menyatakan bahawa beliau tidak memohon perkenan Sultan Perak untuk membubarkan DUN disebabkan beliau tidak mengalami kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN.
**************************************************************************************
putri: Tak kisahlah siapa pun yang jadi MB. Janji nasib rakyat terbela. Bukannya hanya bersandarkan pangkat sahaja. Kalau tak, sampai bila pun pembangunan tak dpt dijalankan. dok begaduh sane sini. Sudah-sudahlah....